Lailatulqadar
ganjaran amal seribu bulan
Lailatulqadar adalah malam berlaku pada Ramadan,
malam penuh keberkatan kerana Allah SWT mencucuri pelbagai rahmat,
keampunan serta keberkatan kepada mereka yang beramal
dengan khusyuk, penuh ikhlas.
Allah SWT berfirman:
" Sesungguhnya
Kami menurunkan al-Quran itu
pada malam yang penuh keberkatan
dan sesungguhnya Kamilah
yang memberi peringatan. "
(Surah ad-Dukhan, ayat 3)
Firman-Nya lagi:
" Sesungguhnya
Kami telah menurunkan al-Quran itu
pada malam kemuliaan. "
(Surah al-Qadr, ayat 1)
Mereka yang beramal pada malam itu,
Allah SWT berikan ganjaran kebaikan yang sama nilai
dengan beramal seribu bulan.
Firman Allah SWT:
" Malam al-Qadar itu
lebih baik daripada seribu bulan. "
(Surah al-Qadr, ayat 3)
Ada beberapa laporan menceritakan sebab Allah SWT
menurunkan malam al-Qadar untuk Nabi Muhammad SAW.
Menurut Imam Malik, Rasulullah SAW mendapati umur umatnya
tidak sepanjang umat sebelum mereka.
Peluang umat beramal
Baginda SAW memohon kepada Allah SWT memberi peluang
umatnya supaya dapat beramal sama nilainya dengan amalan umat
sebelum mereka. Berdasarkan permohonan inilah Allah SWT
menurunkan lailatulqadar.
Syeikh Muhammad Abduh berpendapat malam itu
diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana al-Qadar itu
bermakna ketentuan atau takdir.
Pada malam itu, Allah SWT mula mentakdirkan
agama-Nya dan memerintahkan Nabi-Nya bagi menyeru
manusia kepada agama dan melepaskan mereka
daripada segala kerosakan.
Pendapat ulama
Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza
pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata
sebahagian ulama menyatakan malam itu
bergilir dari tahun ke tahun.
Ertinya apabila tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan,
jadi tahun akan datang pada malam berbeza.
Hal sama dikatakan Ibn Hazim, lailatulqadar ada kalanya
malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.
Menurut jumhur ulama, malam lailatulqadar berlaku
pada malam sama setiap Ramadan iaitu malam 27 Ramadan
berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Ubai bin Kaab
yang dilaporkan Tirmizi dan hadis daripada Muawiyah
yang dilaporkan Abu Daud, Saya mendengar Rasulullah berkata:
" Carilah lailatulqadar itu pada malam 27 Ramadan. "
Namun, dalil paling kuat mengenai lailatulqadar ialah
hadis daripada Aisyah yang dilaporkan Imam Bukhari,
Carilah sedaya upaya kamu lailatulqadar itu pada
sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.
Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini
sebenarnya adalah kenyataan tidak ada satu dalil
jelas menunjukkan bila malam itu berlaku tetapi
sepakat dengan hadis daripada Aisyah, ia berlaku
pada malam ganjil akhir Ramadan.
Sumber: Buku Adab Ramadan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.