Khutbah Jumaat:
Perbanyak puasa sunat,
eratkan silaturahim pada Syaaban
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Keutamaan bulan Syaaban
di atas semua bulan itu,
seperti keutamaan aku
di atas semua nabi
dan keutamaan bulan Ramadan itu
di atas semua bulan
ibarat keutamaan Allah SWT
di atas semua hamba-Nya.”
“Sesungguhnya
Allah SWT telah menciptakan laut
dari sinar di bawah Arasy,
lalu menciptakan satu Malaikat
yang mempunyai dua sayap,
satu sayapnya di timur dan
sayapnya yang lain di barat,
sedang kepalanya di bawah Arasy
dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh.
Apabila seseorang hambanya membaca selawat
untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT
menyuruh Malaikat itu, supaya
menyelam di air. Malaikat itupun menyelam,
kemudian keluar dari dalam air
serta mengibas-ngibaskan kedua-dua sayapnya,
sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu
yang sangat banyak sekali.
Maka Allah SWT menciptakan
daripada tiap-tiap titis air itu,
satu Malaikat yang memohonkan ampunan
bagi orang yang membaca selawat,
sampai hari Kiamat.”
Antara amalan digalakkan dalam bulan ini ialah ibadah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini.
Sabda Rasulullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang afdal berpuasa, Nabi SAW menjawab yang bermaksud:
“Bulan Syaaban kerana
untuk mengagungkan Ramadan.
Nabi SAW ditanya lagi:
Sedekah apakah yang lebih afdal?
Nabi SAW menjawab:
Sedekah di bulan Ramadan.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Pada bulan Syaaban juga ada satu malam yang sangat dinanti-nantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban kerana pada malam itu Allah SWT memberikan kelebihan kepada hamba-Nya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya.
Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis diriwayatkan Ibn Majah daripada Abu Hurairah yang bermaksud:
“Allah SWT
melihat kepada makhluk-Nya
pada malam Nisfu Syaaban lalu
mengampuni makhluk-Nya
kecuali orang musyrik dan orang
yang bermusuhan.”
(Hadis riwayat Ibn Majah)
Untuk mencapai kelebihan bulan ini, umat Islam di anjurkan melakukan puasa sunat dan qiamullail. Inilah ibadah diutamakan Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan puasa sunat pada 15 terakhir Syaaban.
Memperkukuhkan tali silaturahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia penting kerana ia bersangkutan hubungan manusia dengan Allah SWT. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia selagi mereka bermaafan.
Sucikan diri daripada perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadan supaya amal ibadah pada bulan berkat ini dapat dirasai kemanisannya.
Beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan untuk menjadikan jiwa sentiasa tetap dengan pendirian.
Memperbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan segala dosa dilakukannya saban waktu. Dosa semakin hari semakin bertambah terutama dosa kecil daripada percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan.
Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi titik hitam dalam hati yang menyebabkan hati semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh daripada petunjuk Allah SWT. Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun selagi pintu keampunan itu terbuka.
Sumber: Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.