Jumaat, 4 Mei 2012

Semai sikap pemaaf dalam jiwa Muslim


Semai sikap pemaaf dalam jiwa Muslim


Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


Contohi Rasulullah pembawa misi kedamaian, kesejahteraan



PADA saat pembebasan kota Makkah, Rasulullah SAW berada di hadapan kaum Quraisy yang selama belasan tahun pernah memusuhinya, malah mereka pernah berusaha untuk membunuh Baginda.



Rasulullah SAW berkata kepada kaum Quraisy: “Wahai orang Quraisy! Menurut pendapat kamu sekalian, apakah yang akan aku lakukan terhadap kamu sekalian? Jawab mereka: Yang baik-baik, saudara yang pemurah dan sepupu kami yang mulia. Mendengar jawapan itu, Rasulullah pun berkata: Pergilah kamu sekalian. Kamu semua sekarang sudah bebas.”


Tanpa menunjukkan sedikit pun tanda kebencian mahupun rasa ingin membalas dendam, Rasulullah SAW memaafkan mereka.
Dalam peristiwa ini, kita melihat betapa luhurnya dan lapangnya dada Rasulullah SAW memberi maaf terhadap mereka yang selama itu pernah memusuhi, membenci, menghina serta menyakiti hatinya.

Berkaitan kelebihan sifat pemaaf ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan tiga perkara berikut, dia akan dihisab dengan mudah dan akan terus masuk syurga dengan rahmat Ilahi. Pertama, memberi kepada orang yang bakhil. Kedua, menyambung silaturahim dengan orang yang memutuskannya, dan ketiganya, memberi maaf kepada orang yang zalim.” (Hadis riwayat Tabrani)



Selanjutnya, sifat Allah SWT yang Maha Pengampun (al-Ghafur) sewajarnya menjadi satu motivasi untuk membentuk sifat pemaaf dalam jiwa Muslim. Sebuah syair ada mengungkapkan walau dosa hamba menggunung tinggi, namun keampunan Ilahi seluas langit.



Hal ini mengisyaratkan bahawa setiap insan terdedah untuk melakukan kesilapan, yang kemudian dikaitkan dengan luasnya pengampunan Ilahi yang disediakan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).” (Surah al-A’raf, ayat 199)



Ayat ini menyingkap bahawa menahan marah, memaafkan dan berbuat baik adalah kesatuan nilai yang mendasari makna ketakwaan kepada Allah SWT. Menahan marah tanpa memaafkan bukannya sifat orang yang bertakwa, sebaliknya sifat seorang pendendam.



Sifat menahan marah adalah salah satu sifat orang bertakwa yang dijanjikan Allah SWT sebagai penghuni syurga. Orang yang mampu menahan marah bererti dia mampu meleburkan dirinya dalam diri orang lain dan membuang jauh-jauh sifat ego yang memusnahkan diri.



Pernah satu ketika, Rasulullah SAW sebagai seorang komandan perang menyusun sendiri barisan tentera dalam peperangan Badar. Baginda SAW mendatangi seorang perajurit yang berdiri agak ke hadapan dari barisan pasukan.



Justeru, Rasulullah SAW menekan perajurit itu dengan tongkatnya supaya dia berundur ke belakang sedikit sehingga barisan tentera menjadi lurus.



Perajurit itu berkata: “Wahai Rasulullah, tongkat itu menyakiti perutku. Jadi, aku harus membalas. Lalu Rasulullah SAW memberikan tongkatnya kepada perajurit itu seraya berkata: Balaslah. Perajurit itu pun maju ke depan dan terus mencium perut Baginda SAW sambil berkata: Aku tahu aku akan terbunuh syahid pada hari ini. Dengan cara ini, aku dapat menyentuh tubuhmu yang suci, wahai Rasulullah.”



Akhirnya, perajurit itu masuk ke medan juang, menyerang musuhnya dengan pedangnya sehingga dia mati syahid dalam peperangan.



Demikianlah betapa penyayang dan penyantunnya Rasulullah SAW bersama umatnya yang menunjukkan bahawa Baginda SAW bukanlah insan yang sukakan kepada permusuhan, sebaliknya Rasulullah SAW adalah pembawa misi kedamaian dan kesejahteraan dunia.

Sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbia’, ayat 107)






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.