Jasa tidak ternilai
BAGI mendapat keredaan ibu bapa bukan satu perkara mudah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Keredaan Allah
berada dalam keredaan ibu bapa
dan
kemurkaan Allah
berada dalam kemarahan mereka”
(Riwayat al-Tirmizi).
Cuba perhatikan tugas dan peranan bapa
dalam sesebuah keluarga.
Sebagai ketua keluarga,
bapa bertungkus-lumus mencari nafkah
untuk menyara kehidupan isteri serta anak
di bawah tanggungannya.
Tidak kurang juga pengorbanan ibu,
bermula kesusahan ketika mengandungkan anak
selama sembilan bulan dan bergadai nyawa melahirkan,
kemudian turut menguruskan rutin hariannya
seperti mengasuh, memasak,
mengemas serta membasuh pakaian.
Malah, ada ibu yang turut keluar bekerja
bagi meringankan beban suami.
Berdasarkan gambaran umum
mengenai tanggungjawab dan pengorbanan ibu bapa,
tidak ada seorang pun anak yang dapat
menyangkal ibu bapa amat berjasa
dalam kehidupan mereka.
Oleh itu, menjadi kewajipan anak
menghormati dan berbakti
kepada kedua-dua ibu bapa
sebagai penghargaan tertinggi
serta membalas jasa mereka.
Berbakti kepada ibu bapa ialah
berbuat baik terhadap mereka,
melaksanakan hak mereka serta menjauhi
tingkah laku yang boleh menyakiti hati mereka.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu
telah perintahkan, supaya engkau
tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata,
dan hendaklah engkau
berbuat baik kepada ibu bapa.
Jika salah seorang dari keduanya,
atau kedua-duanya sekali,
sampai kepada umur tua
dalam jagaan dan peliharaanmu,
maka janganlah engkau berkata kepada mereka
(sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘uuh’,
dan janganlah engkau menengking mereka,
tetapi ucapkanlah kepada mereka
perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Dan hendaklah engkau merendah diri
kepada keduanya kerana belas kasihan
dan kasih sayangmu dan doakanlah
(untuk mereka, dengan berkata):
“Wahai Tuhanku,
cucurilah rahmat kepada mereka berdua
seperti mana mereka mencurahkan kasih sayangnya
memelihara dan mendidikku semasa kecil”
(Surah al-Isra’ ayat 23-24).
Kewajipan berbakti kepada ibu bapa
tidak terhenti apabila mereka meninggal dunia.
Walaupun mereka
sudah tiada lagi di dunia ini,
anak perlu
sentiasa memanjatkan doa untuk mereka,
menunaikan wasiat dan janji mereka,
melakukan perkara yang mereka sukai,
berbuat baik dengan saudara-mara mereka
serta sentiasa memuliakan sahabat mereka.
Diriwayatkan daripada Abi Usaid Malik bin Rabi’ah
bahawa ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah,
tiba-tiba datanglah seorang lelaki daripada kabilah
Bani Salamah berkata:
“Ya Rasulullah,
adakah terdapat kebaikan yang dapat
saya lakukan kepada kedua-dua ibu bapa saya
yang sudah meninggal dunia?
Rasulullah menjawab:
Ya, ada. Engkau berdoalah untuk keduanya,
meminta diampunkan dosa-dosanya,
tunaikan wasiat dan janji-janjinya,
hubungkan silaturahim dengan saudara
dan keluarganya dan hormati serta muliakan
kawan-kawannya”
(Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan Ibn Hibban).
Jelas, tugas menghormati dan berbuat baik
kepada ibu bapa amalan utama
yang perlu dilakukan sepanjang masa.
Diriwayatkan daripada Abu Zar al-Ghifari
bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa
yang menziarahi kedua-dua ibu bapanya,
maka Allah mencatat untuknya
setiap langkahnya dengan 100 kebaikan
dan menghapuskan 100 kejahatan
serta mengangkat untuknya 100 darjat,
apabila dia duduk
di hadapan kedua-dua ibu bapanya
serta bercakap dengan perkataan yang baik,
maka kelak pada hari kiamat Allah akan
memberi kepadanya cahaya yang memancar
di hadapannya. Apabila dia kembali
dari ziarahnya itu, maka kembalilah dia
dengan mendapat keampunan”
(Riwayat al-Bukhari).
Islam memerintahkan menghormati ibu bapa itu
berbentuk umum tidak kira sama ada mereka
beragama Islam atau tidak.
Cuma bagi ibu bapa yang bukan beragama Islam,
perintah menghormati itu bersyarat iaitu
selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya
yang beragama Islam melakukan
perkara mensyirikkan Allah.
Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas
bahawa Ummu Sa’ad adalah seorang kafir.
Kerana terlalu benci kepada Rasulullah,
pada suatu hari Ummu Sa’ad berkata kepada anaknya:
“Bukankah Allah
menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu?
Demi Allah,
aku tidak akan makan dan minum
sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad”
(Riwayat Muslim).
Berikutan peristiwa itu,
Allah menurunkan ayat 8 daripada
Surah al-’Ankabut yang bermaksud:
“Dan
Kami wajibkan manusia berbuat baik
kepada kedua ibu bapanya;
dan jika mereka berdua mendesakmu
supaya engkau mempersekutukan Aku
(dalam ibadatmu) dengan sesuatu
yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya
maka janganlah engkau taat kepada mereka.
Kepada Akulah tempat kamu semua kembali,
kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu
segala yang telah kamu kerjakan.”
Peristiwa itu dikuatkan lagi dengan wasiat
Luqman al-Hakim kepada anaknya
dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan
Kami wajibkan manusia
berbuat baik kepada ibu bapanya;
ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan
demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya)
dan tempoh menceraikan susunya ialah
dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian)
bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu;
dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali
(untuk menerima balasan).
Dan jika mereka berdua mendesakmu
supaya engkau menyekutukan Aku
dengan sesuatu yang engkau - dengan akal fikiranmu -
tidak mengetahui sungguh adanya,
maka janganlah engkau taat kepada mereka;
dan bergaullah dengan mereka di dunia
dengan cara yang baik.
Dan turutlah jalan orang-orang
yang rujuk kembali kepada-Ku
(dengan tauhid dan amal-amal yang salih).
Kemudian kepada Akulah
tempat kembali kamu semuanya,
maka Aku akan menerangkan kepada kamu
segala yang kamu telah kerjakan”
(Surah Luqman ayat 14-15).
Itulah
antara pergaulan dengan ibu bapa
yang dianjurkan Islam.
Hormat dan taatlah kepada ibu bapa
selagi suruhan mereka itu tidak melanggar
atau bertentangan dengan syariat Islam.
Mengingkari perintah ibu bapa
termasuk dalam dosa besar.
Jika menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ saja
dikira sebagai menyakiti dan menderkaha,
apatah lagi jika ada di antara anak yang mencerca,
memaki dan memukul ibu bapa mereka.
Rasulullah menganggap
menderhaka kepada ibu bapa
sebagai dosa besar selepas syirik.
Diriwayatkan daripada
Anas bin Malik r.a, katanya:
Nabi pernah menceritakan mengenai dosa besar.
Baginda bersabda yang bermaksud:
“Menyekutukan Allah,
menderhaka kedua-dua ibu bapa,
membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu”
(Riwayat Muslim).
Selain itu,
terdapat peristiwa yang menimpa mereka
yang menderhaka kepada ibu bapa.
Salah satunya ialah peristiwa Al-qamah.
Al-qamah seorang sahabat yang kuat beribadat,
namun tidak dapat melafazkan kalimah tauhid
pada saat kematiannya.
Ini kerana Al-qamah
pernah melakukan perbuatan
yang mengguris hati ibunya
akibat terlalu cinta kepada isterinya.
Betapa beratnya dosa menyakiti ibu bapa,
lidah Al-qamah seakan-akan terkunci.
Tiada sepatah perkataan pun
terkeluar daripada mulutnya.
Azab yang menimpa Al-qamah berakhir
setelah ibunya memaafkan
kesalahan yang dilakukannya.
Janganlah kerana suatu perkara remeh,
seseorang anak
sanggup melupai dan menderhakai ibu bapa.
Justeru, tidak wajar sama sekali
anak bertindak menghantar ibu bapa mereka
yang lanjut usia ke rumah orang tua
atau rumah kebajikan dengan alasan ‘menyusahkan’,
‘membebankan’ dan ‘tidak ada masa’.
Ketika usia semakin lanjut itulah
mereka amat memerlukan layanan,
perhatian, belaian dan kasih sayang anak seperti kita
memerlukan kasih sayang dan perhatian mereka ketika kecil dulu.
Balaslah
kesusahan dan kepayahan ibu bapa
memelihara kita dengan sesuatu
yang menggembirakan mereka.
Perhatian dan kasih sayang anak
kepada ibu bapanya lebih penting
daripada wang ringgit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.