Jumaat, 27 April 2012

Jumaat bermaksud berhimpun




Keistimewaan melaksanakan

amalan hasanah pada Jumaat



HARI Jumaat mempunyai banyak

keistimewaan yang seharusnya dimanfaatkan

dengan melaksanakan amalan hasanah.

Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Ibnu Katsir

mengatakan Jumaat bermaksud berhimpun.


Pada hari Jumaat
kaum muslimin dihimpunkan
di masjid untuk mendengar khutbah dan mendirikan
solat Jumaat dua rakaat.




Hari Jumaat cukup istimewa kerana Allah telah
mengatakan tawaran hebat iaitu ganjaran pahala
besar terhadap amal ibadah dan amalan hasanah yang dilakukan
Disebabkan besarnya pahala dijanjikan Allah,
maka rugilah sesiapa yang mengabaikan kehadiran hari Jumaat
tanpa amalan salih dan kebajikan.







Kita sering membaca laporan media
yang cukup mengguris hati apabila adanya segelintir
anak muda tanpa rasa malu dan segan merempit
pada waktu khutbah Jumaat dibacakan dan semasa jemaah
menunaikan solat Jumaat.









Malah ada yang
mengambil peluang berlumba motosikal
selepas saja selesai menunaikan solat.
Ini suatu gambaran negatif dan mempamerkan kurang hormat
kepada hari Jumaat yang mulia itu.
Ada juga yang sengaja mengambil peluang
pada hari Jumaat melaksanakan aktiviti luar
seperti berkelah hingga mengabaikan solat Jumaat.










Jumaat sebagai penghulu segala hari
adalah hari pengampunan yang Allah berikan
kepada hamba-Nya. Anas berkata,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:








“Sesungguhnya

Allah tidak meninggalkan seorangpun

dalam kalangan orang Islam pada hari Jumaat,

melainkan ia pasti diberi-Nya pengampunan.”


(Hadis riwayat at-Tabrani)









Jadi, kita sewajarnya memanfaatkan hari Jumaat
untuk memperbanyakkan bacaan istighfar
memohon keampunan. Rasulullah SAW juga
ada memberitahu bahawa pada hari Jumaat
ada satu waktu yang begitu eksklusif untuk berdoa
kerana amat mustajab.










Abu Hurairah mengatakan,

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Pada hari Jumaat itu ada satu saat yang mana

sekiranya berkebetulan dalam solat seseorang hamba,

lalu dia bermohon kepada Allah, pasti akan

diberikan apa yang dimintanya sambil

Rasulullah SAW mengisyaratkan

dengan tangan Baginda bagi menggambarkan

betapa sekejapnya saat itu.”



(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)







Kita seharusnya berusaha mencari waktu
yang dikatakan mustajab berdoa pada hari Jumaat.
Meskipun tidak dinyatakan waktu yang tepat,
kita tidak wajar memandang remeh
ruang dan peluang untuk berdoa.









Seperkara lagi pesanan Rasulullah SAW
berkaitan keistimewaan hari Jumaat ialah
tawaran Allah menggandakan pahala
terhadap sesiapa saja yang melakukan amalan soleh,
begitu juga perbuatan mungkar dan dosa,
turut digandakan kiraan dosanya.










Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:





“Sesungguhnya

pada hari Jumaat seluruh makhluk

termasuklah jin dan manusia

akan berasa gementar, dan pada hari itu juga

dilipat gandakan kebajikan dan kejahatan,

dan hari yang mana akan berlakunya kiamat.”

(Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah)






Abu Hurairah berkata,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:






“Akan dilipatgandakan pahala

yang dilakukan pada hari Jumaat.”

(Hadis riwayat at-Tabrani)







Antara amal ibadah yang sangat
dianjurkan pada hari Jumaat ialah
membanyakkan bacaan selawat dan menggandakan
kerja kebajikan untuk manfaat masyarakat.








Biasanya pada hari Jumaat
ada kalangan masyarakat kita mengadakan
aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan.
Ini satu kegiatan yang sangat bernilai tinggi
dalam Islam kerana selain memelihara kebersihan
tanah perkuburan, aktiviti itu mampu
mengeratkan ukhuwah.


Sebagai menghormati hari Jumaat yang mulia, sewajarlah kita beramal sebaik yang terdaya untuk memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah selain menjadikannya landasan membina masyarakat bersatu padu menerusi kerja kebajikan serta amalan hasanah.













Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.