Jumaat, 27 April 2012

Elak sertai gerakan mencabar keutuhan moral, kesusilaan








Khutbah Jumaat:


Elak sertai gerakan

mencabar keutuhan moral, kesusilaan



SISTEM moral dan etika antara sistem
yang mempengaruhi kehidupan manusia serta
mencerminkan keimanan seseorang.
Peraturan yang digariskan
dalam sistem moral dapat mempengaruhi
lingkungan kehidupan insan dan menjadi pedoman serta panduan.






Sejarah membuktikan keruntuhan sistem moral
akan menghakis ketamadunan yang dibina, tidak kiralah
betapa hebatnya tamadun itu. Diceritakan
dalam al-Quran bagaimana umat ditimpa
bala bencana dahsyat disebabkan kebejatan moral,
kelemahan iman dan menularnya budaya hidup songsang.






Lihat saja bandar Sodom yang didiami
umat Nabi Lut satu ketika dulu telah dihempas
ke bumi hingga mengakibatkan bandar itu hancur
dan kesannya kita dapat lihat sehingga sekarang.







Firman Allah SWT yang bermaksud:





“Dan

Nabi Lut ketika ia berkata kepada kaumnya:

Patutkah kamu melakukan perbuatan keji,

yang tidak pernah dilakukan oleh

seorang pun di dunia ini.

Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki

untuk memuaskan nafsumu bukan kepada wanita,


bahkan kamu ini adalah kaum

yang melampaui batas.”

(Surah al-Aa’raf, ayat 80-81)







Amalan cara hidup songsang sebagai
lesbian, gay dan biseksual sebenarnya bertentangan
undang-undang, norma agama dan moral di negara kita.
Amalan itu diharamkan dan termasuk dalam dosa besar.







Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:





“Sesungguhnya

yang paling aku takuti menimpa umatku

adalah perbuatan kaum Lut.”

(Hadis riwayat Ibn Majah)







Gerakan mencabar keutuhan moral dan kesusilaan
masyarakat berteraskan ajaran Islam dapat dilihat
menerusi penganjuran demonstrasi dan perhimpunan
mempromosikan budaya hidup songsang termasuk
gerakan LGBT oleh kumpulan bertopengkan
perjuangan hak asasi manusia.









Penganjuran program seperti Seksualiti Merdeka
pada dasarnya adalah manifestasi ideologi kemanusiaan
sekular yang sekarang ini bergerak pantas di dokong
arus pemikiran liberalisme atau budaya kebebasan
secara melampau tanpa menghiraukan kepentingan umum.










Apa yang menjadi kebimbangan ialah
kemudaratan yang memberi kesan terhadap
kelangsungan tamadun dan kehidupan beragama manusia.
Kita sedar pelbagai cara dilakukan mereka yang tidak
bertanggungjawab melemahkan kehidupan bermoral,
perpaduan umat Islam serta keamanan negara.










Antaranya melalui pencemaran budaya,
gerakan budaya hidup songsang, penyebaran fitnah
perpaduan sama ada melalui media massa, alam siber
yang melanggari undang-undang negara.











Mereka juga mengadakan pelbagai helah
termasuk mencetuskan perhimpunan haram
dan demonstrasi jalanan atas dasar menuntut
hak dan kebebasan. Namun objektif isu yang
diperjuangkan begitu kabur dan tersasar.








Setiap insan tidak memiliki kebebasan mutlak,
bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh
prinsip dan peraturan ditetapkan syarak yang
bersumberkan wahyu Allah SWT. Hak digariskan
dan dijamin oleh Islam sudah pasti tidak bertentangan
dengan hak Allah yang menjamin kemaslahatan umum.








Sesuatu yang diperjuangkan sebagai hak
mestilah sesuatu yang tidak sama sekali
bertentangan dengan kebenaran, keadilan,
kewajaran dan kesesuaian fitrah insan serta
tidak mendatangkan kemudaratan, musibah,
malapetaka atau kehancuran terhadap masyarakat.











Justeru, umat Islam diseru supaya tidak
bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh
pujuk rayu dan tipu daya mereka.
Marilah bersama mempertahankan tanah air
dari merebaknya budaya songsang
dan berlakunya kekacauan.










Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT
sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar.







Firman Allah yang bermaksud:






“Jika Allah menolong kamu

maka tidak ada sesiapa pun

yang akan dapat mengalahkan kamu;

dan jika ia mengecewakan kamu,

maka siapakah yang akan dapat

menolong kamu sesudah Allah

(menetapkan yang demikian)?

Dan (ingatlah), kepada Allah jugalah

hendaknya orang yang beriman itu

berserah diri.”




Surah Ali-Imran, ayat 160)







Di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa
bagi menghentikan kekacauan dan kehancuran
oleh gerakan yang memperjuangkan amalan
hidup menjijikkan itu. Berdasarkan maqasid syariah,
tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga
lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.










Salah satu prinsip penting yang mesti
dilaksanakan umat Islam bagi memastikan
kedaulatan agama kekal terpelihara ialah
dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran.









Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.