Khutbah Jumaat:
Keupayaan polis
pertahan keamanan negara amat dihargai
SEMPENA Hari Ulang Tahun Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke-205pada 25 Mac ini, mimbar akan membincangkan khutbah bertajuk
'Benteng Keamanan'.
Perubahan suasana politik dunia global masa kini dan tekanan
serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia
menuntut kita menguasai kekuatan ketenteraan,
kepolisan dan keupayaan mempertahankan negara.
Oleh itu sebagai sebuah negara berdaulat,
perlulah diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka panjang
untuk menyemai rasa tanggungjawab membela kemuliaan
maruah diri, bangsa dan negara.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu
bertolong-tolongan untuk membuat
kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu
bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat)
dan pencerobohan serta bertakwalah kepada Allah
kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya
(bagi sesiapa Yang melanggar perintah-Nya).”
Sejak 1807 hingga sekarang kita mempunyai pasukan polis
yang berkemampuan menjaga keselamatan agama, rakyat dan negara
daripada segala ancaman musuh yang boleh menggugat kedaulatan negara.
Sebagai orang Islam, kita berbangga kerana mengetahui
institusi penting itu sudah wujud sejak zaman Khulafa’ ar-Rashidin lagi.
Saidina Umar al-Khattab umpamanya, menjalankan penyusunan
pentadbiran bagi memastikan kelicinan jentera pemerintahannya
dan antara perkara yang dilakukannya ialah mewujudkan
sebuah pasukan bagi menjaga keamanan orang awam.
Saidina Umar sendiri turut serta menjalankan tugas berkenaan
apabila menjalankan rondaan pada waktu malam untuk
melihat keadaan rakyatnya dan menjaga
keselamatan dan kebajikan mereka.
Pada zaman kerajaan Umayyah dan Abbasiah,
wujud jawatan ketua polis iaitu Sahib al-Shurtah.
Di Andalusia pula digelar Sahib-al-Madinah,
dengan pasukan polisnya
Shurtah al-Kubra dan Shurtah al-Sughra.
Ketika zaman Kerajaan Melayu Melaka,
Temenggung menjalankan tugas sebagai ketua polis
dengan dibantu oleh hulu balang. Mimbar ingin menegaskan
bahawa tugas dan tanggungjawab mempertahankan agama dan negara
amat besar ganjarannya di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 95 bermaksud:
“Tidaklah sama keadaan orang yang duduk
(tidak turut berperang) dari kalangan orang yang beriman
selain daripada orang yang keuzuran dengan orang
yang berjihad (berjuang) di jalan Allah dengan harta dan jiwanya. "
Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda
dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk
dengan kelebihan satu darjat.
Dan tiap-tiap satu Allah menjanjikan
dengan balasan yang baik (Syurga), dan dilebihkan Allah
akan orang yang berjuang atas orang yang tinggal duduk
(tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur)
dengan pahala yang amat besar.”
Betapa pentingnya fungsi
pasukan keselamatan di dalam Islam
tidak dapat dinafikan, terutama apabila kita melihat
kepada Maqassid syariah, iaitu memelihara agama, akal, keturunan,
nyawa dan harta benda. Anggota keselamatan kita pada waktu ini
sedikit sebanyak membantu umat Islam untuk mencapai
kelima-lima matlamat itu.
Pada masa yang sama, haruslah diingatkan bahawa
kita perlu sentiasa memelihara hubungan kita dengan Allah SWT,
iaitu Hablun min Allah,
dan hubungan kita dengan manusia,
iaitu Hablun min al-nas.
Maka, bagi memastikan kedua-dua bentuk hubungan itu
terpelihara dan dapat dilaksanakan dengan baik,
keamanan dan kedamaian adalah diperlukan.
Di sinilah peranan yang dimainkan oleh mereka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apabila orang ramai melihat seorang zalim,
tetapi tidak merubah kemungkaran yang dilakukannya,
hampir-hampir Allah SWT menimpakan mereka
dengan balasan dari sisinya.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Sebagai umat Islam yang beriman,
kita disaran oleh Rasulullah SAW agar tidak berdiam diri
apabila kemungkaran berlaku. Sesuatu perlu dilakukan
untuk mencegah kemungkaran tersebut daripada terus merebak
dan mengganggu ketenteraman kita, keluarga dan masyarakat.
Dengan kuasa yang diberikan oleh undang-undang negara
melalui Akta Polis 1967, pastinya masyarakat melalui pasukan polis
yang bertugas sepanjang masa, akan dapat mencegah dan menghentikan
kemungkaran dengan lebih berkesan.
Namun demikian, itu tidak bermaksud kita boleh
menyerahkan tugas berkenaan secara bulat-bulat
kepada pasukan keselamatan semata-mata.
Tanggungjawab mencegah kemungkaran masih berada
di bahu kita dan kita perlu memberikan kerjasama
dan bantuan yang sewajarnya.
Berdasarkan Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan
untuk membuat kebajikan dan bertakwa,
dan janganlah kamu bertolong-tolongan
pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan serta
bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya
Allah maha berat azab seksa-Nya
(bagi sesiapa Yang melanggar perintah-Nya).”
Mengakhiri khutbah, mimbar ingin berpesan kepada semua
anggota keselamatan dan umat Islam sekalian, sempena sambutan
Hari Ulang Tahun PDRM ini, agar berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan tawakal kepada Allah SWT serta berkhidmat
dengan amanah mengikut ajaran Islam.
Sumber JAKIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.