Fahami doa
minta Allah
tunjukkan jalan lurus
DOA
kadang-kadang minta lain tapi buat lain
malah ada juga bertentangan dengan apa yang kita minta
tapi kita sebut ‘aamiin’.
Bila imam baca doa
kita di belakang main sebut saja,
aamiin tapi tak tahu dan tak faham apa yang imam baca.
Doa sebenarnya permintaan,
kalau kita meminta sesuatu kita mesti faham,
barulah masuk ke hati dan sedar apa yang kita minta.
Bila faham semasa berdoa
sangat menolong kita mencarinya
selepas berdoa dalam kehidupan seharian.
Kalau main minta atau main angkat tangan saja
sedangkan tak faham apa-apa
boleh dianggap bermain-main dengan doa.
Sudah puluhan tahun kita meminta
perkara sama tapi tak dapat-dapat.
Sebenarnya bukan Allah tak perkenankan
tapi kita sendiri yang hanya pandai minta
tetapi tak pandai cari.
Minta tapi tak cari sama seperti berangan-angan.
Antara yang kita mesti minta setiap hari
sebanyak 17 kali sehari semalam ialah
‘ihdinassiratal mustaqim’
ataupun maksudnya
‘ tunjukilah kami jalan yang lurus.’
Besarnya doa ini,
kita diwajibkan membacanya setiap kali
di dalam sembahyang sebanyak
17 kali sehari.
Doa ini tidak didahulukan
melainkan selepas kita memuji Allah dahulu
bahawa segala pujian itu meliputi pada-Nya
dan Dia adalah Tuhan yang
Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Besarnya juga doa ini
ia tidak didahulukan melainkan kita berikrar
mengaku sebenar-benarnya hanya Allah,
Tuhan yang kita sembah dan tempat
kita meminta pertolongan.
Setiap hari minta ‘jalan yang lurus’.
Tahukah kita apa jalan yang lurus itu?
Kalau tak tahu kena belajarlah
sebab jalan yang lurus itu sangat penting.
Sesetengah remaja hanya tahu jalan betul,
jumpa jalan betul terus merempit.
Orang Palestin mati di jalan Allah kita mati jalan raya.
Kalau kita perhatikan
sebaik sahaja kita meminta jalan yang lurus,
‘ihdinassiratal mustaqim’ Allah mentafsirkan jalan lurus itu
Tuhan terangkan jalan yang Allah sudah berikan nikmat-Nya
kepada orang-orang yang terdahulu.
Siapakah orang-orang ini?
Mereka adalah rasul, nabi, sahabat-sahabat dan aulia’.
Mereka kekasih Allah, Tuhan yang menganugerahkan
nikmat besar kepada mereka.
Nikmat pula ialah nikmat iman,
Islam dan ihsan. Hanya dengan jalan iman,
Islam dan ihsan, barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus,
jalan yang sama dilalui oleh kekasih Allah
iaitu rasul, nabi dan wali Allah.
Mereka melalui jalan itu dan Allah tunjukkan jalannya.
Maka yang kita minta itu adalah untuk mengikut
jalan seperti mereka supaya kita benar-benar
sampai kepada Allah.
Jalan yang lurus itulah
yang akan sampai kepada Allah.
Selain itu,
ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah.
Allah terangkan lagi dalam surah Al-Fatihah,
minta dijauhkan kita daripada dua jalan
yang tidak sampai kepada Allah iaitu
jalan orang yang Allah murkai
dan jalan orang-orang yang sesat.
Jalan orang yang Allah murkai
adalah jalan orang-orang yang tidak percaya Tuhan
seperti Namrud dan Firaun.
Mereka menolak Allah
dan mereka adalah orang
yang mendapat laknat Allah.
Jalan orang yang sesat pula ialah
seperti Yahudi dan Nasrani (kristian).
Walaupun mereka percaya Tuhan,
tetapi jalan yang mereka lalui bertentangan
dengan kehendak Tuhan.
Justeru, mereka tidak akan sampai kepada Tuhan.
Orang yang boleh sampai kepada Tuhan
adalah orang yang mengikuti jalan lurus.
Jalan itu
ditempuh oleh rasul, nabi, sahabat,
tabiin dan wali Allah sebelum ini.
Maka,
kita mengharapkan belas kasihan
supaya Allah tunjukkan kita jalan
yang sampai kepada-Nya.
Dinyatakan tadi jalan itu
adalah iman, Islam dan ihsan.
Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Tuhan
kepada kita jika kita mendapatkannya.
Namun,
ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati
seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita.
Barulah
kita mendapat
jalan yang lurus.
Kalau sekadar
slogan atau cakap-cakap saja,
itu dikira belum dapat lagi.
Cubalah muhasabah diri kita
sejauh mana kita bersungguh-sungguh
ketika berkomunikasi dengan Allah.
Paling kurang ayat al-Fatihah
yang kita baca seharian, antara faham,
kehendak dan realiti
biarlah selari
seiring dan sejalan.
Fahamilah, hayatilah,
amalkanlah serta perjuangkanlah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.