Ahad, 25 Mac 2012

Cakap banyak, mulut celupar tanda akhlak buruk


Persoalan Agama:

Cakap banyak, mulut celupar

tanda akhlak buruk


Bersama Ustaz Zahazan



SAYA ada beberapa soalan mengenai sikap seorang rakan saya yang mempunyai perangai menyakitkan hati. Kalau ditegur, dia kata memang begitu perangainya. Bolehkah seseorang yang mempunyai akhlak buruk berubah menjadi baik. Bagaimanakah yang dikatakan akhlak baik yang dikehendaki agama.




RASHID,
Klang, Selangor DE.









RASULULLAH SAW bersabda bermaksud:




“Perbaikilah akhlak (budi pekerti) kamu sekalian.”

Imam Ghazali menyebut dalam Ihya’ ulumiddin: “Bagaimana kita boleh menolak

perubahan akhlak dan kelakuan pada manusia. Perubahan juga boleh berlaku pada

binatang. Bukankah burung helang yang asal sifatnya liar itu boleh dijinakkan? Begitu

juga dengan kuda yang degil dan menentang sifatnya, dapat dijinakkan menjadi patuh

serta menurut. Semua itu adalah perubahan dalam akhlak dan sikap.”






Orang yang menyatakan

akhlak atau sikap tidak mungkin boleh berubah,

maka kita tanya kepadanya:


“Sekiranya akhlak dan kelakuan itu tidak mungkin

untuk berubah, maka sudah tentulah tidak ada gunanya peringatan

yang kita dituntut untuk menyampaikannya,

atau nasihat-menasihati antara satu sama lain,

ataupun pendidikan.”







Hakikat budi pekerti itu

adalah perilaku (hal dan keadaan)

yang meresap dalam jiwa seseorang.

Perilaku inilah yang menerbitkan perbuatan

dengan perasaan senang dan mudah,

tanpa perlu lagi kepada pemikiran dan pertimbangan.







Jika yang terbit daripada perilaku itu

perbuatan elok dan terpuji menurut ukuran akal mahupun syarak,

maka perilaku ini dinamakan budi pekerti yang baik.

Sebaliknya, jika yang terbit adalah perbuatan jahat,

maka perilaku yang menjadi sebab terbitnya

segala perbuatan jahat itu dinamakan budi pekerti yang jahat.






Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis bermaksud:


“Sesungguhnya

orang yang terdekat kepadaku

di hari kiamat ialah yang terbaik akhlaknya.”







Sudah sepatutnya orang yang beriman

dengan Rasulullah SAW bersemangat untuk menghiasi dirinya

dengan semua bentuk akhlak mulia.

Sehingga Rasulullah SAW mencintainya dan dekat dengannya

di akhirat kerana sikap dan kelakuannya mengikut apa yang

Baginda perintah.


Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:




“Sesungguhnya

yang paling aku cintai

di antara sekalian kamu

dan paling dekat kedudukannya kepadaku

di akhirat adalah mereka yang terbaik akhlaknya.

Dan yang terburuk di antara kamu sekalian bagiku

dan terjauh dariku di akhirat iaitu

mereka yang terburuk akhlaknya.

Mereka itulah

‘Tsarsarun’,

‘Mutafaihiqun’

dan

‘Mutasyaddiqun’.”







Maksud Tsarsarun ialah orang yang banyak cakap,

mutafaihiqun ialah orang yang sombong

dan mutasyaddiqun ialah mereka yang cakap tanpa berhati-hati.





Justeru, sesiapa yang ingin dicintai Rasulullah SAW

dan ingin dekat dengannya di akhirat, hendaklah ia

memperbaiki perangainya dan bersungguh-sungguh

hingga tercapai cita-citanya.







1 ulasan:

  1. mohon bertanya pak ustaz..akhlak seseorag boleh diketahui salah satunya melalui lisan seseorg..misalnya menyakitkan hati orang..tetapi apa hukum seorang pendidik yang mendidik anak buahnya dengan lisan yang menyakitkan misal nya "awak buat kerja pakai otak ke lutut?" niat dia maybe nak mengajar agar buat lebih baik..so adakah dia di kategori akhlak buruk?dan macam mana sikap nya itu boleh buat anak buahnya tidak menyukainya..mohon penjelas terperinci..kerana tidak ada seorang pun yang mampu menjawab soalan saya..terima kasih.

    BalasPadam

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.