Ahad, 12 Februari 2012

Sabar penghalang penat, tekun pembawa dekat









Sabar penghalang penat,


tekun pembawa dekat










Sifat kerajinan terhasil menerusi usaha baik
secara berterusan tanpa paksaan, arahan








RAJIN adalah satu perkataan pendek
pada sebutan tetapi luas pengertian dan kesannya
dalam kehidupan.
Ia adalah sifat akhlak terpuji
yang menjadi penentu
kepada kebaikan, kejayaan,
keimanan dan ketakwaan
di dunia dan akhirat.











Saya terpanggil untuk mengupas sifat ini
apabila mendengar luahan seorang pemandu teksi
ketika berada di Jakarta. Melihatkan ramainya masyarakat Indonesia
yang sibuk dengan pelbagai urusan termasuk
yang paling ketara berniaga di jalanan,
pemandu itu menyatakan satu sifat yang mereka perlu ada
untuk meneruskan kehidupan ialah sifat rajin.









Desakan kehidupan juga menyebabkan sifat rajin
menjadi sebati bagi mereka walaupun mengendalikan perniagaan
secara kecil-kecilan dan hampir sama antara satu sama lain.
Saya sangat tertarik dengan penjelasan ringkas pemandu itu.









Sememangnya sifat kerajinan menjelma
melalui usaha baik secara berterusan,
dengan sukarela dan kesungguhan tanpa paksaan
atau arahan semata-mata.







Peribahasa Melayu ada menyebut
‘sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat’
bermaksud seseorang yang sabar berusaha
akan mendapat hasilnya.









Segala nikmat yang terbentang luas di muka bumi ini pun
tidak akan dapat dinikmati tanpa kerajinan.
Dengan adanya sifat rajin itulah, manusia dipilih
menjadi khalifah Allah SWT memakmurkan muka bumi.









Bahkan jika diamati, rajin juga adalah benih
yang membiakkan cabang nilai murni yang lain seperti
berdisiplin, komited, tekun, profesional, cekap, kreatif dan inovatif.
Dengan erti kata bahawa semua cabang nilai itu
tidak akan tumbuh tanpa benih kerajinan.









Rajin bukan sekadar punca kejayaan material dan duniawi
seperti kejayaan dalam pelajaran dan pekerjaan
tetapi yang lebih utama adalah kejayaan dalam pegangan akidah.
Ia termasuk dalam pelaksanaan hukum syarak
khasnya ibadat khusus seperti solat, puasa, haji dan zakat.








Semua ibadat ini tidak tertunai tanpa adanya
sifat rajin umat Islam dalam menunaikannya
di kala susah mahupun senang. Dengan sebab itulah,
ahli fiqah turut membincangkan hukum berdosa
meninggalkan ibadat wajib dengan sengaja
semata-mata kerana sifat malas.








Malah, untuk menambah dan memperbaharui iman juga
memerlukan kerajinan hatta untuk membuang duri di jalanan.
Justeru semua kebaikan yang terhasil daripada sifat rajin itu
menjadikannya ibadat dan sedekah kepada pelakunya.










Sabda Rasulullah SAW bahawa
setiap kebaikan itu adalah sedekah.
Walaupun yang mendapat manfaat
daripada hasil kerajinan kita adalah haiwan sekalipun.










Sabda Rasulullah SAW :






“Tiada seorang Muslim

yang menanam apa jenis tanaman

atau bercucuk tanam, lalu dimakan

sebahagiannya oleh manusia atau haiwan

ataupun sesuatu, melainkan ia menjadi sedekah.”





(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)









Ajaran Islam juga melarang kita
daripada sifat malas melalui larangan gaya hidup
dengan cara meminta-minta dan kebimbangan
terjerumus ke lembah kekufuran kerana berada
dalam kemiskinan dan kefakiran yang disebabkan
oleh kemalasan berusaha.








Peringatan Rasulullah SAW bermaksud:









“Hampir-hampir kefakiran itu

membawa kekufuran.”


(Riwayat Muslim).












Dari aspek pekerjaan pula,
masyarakat yang malas
menjadi mundur dan negara tidak berjaya
untuk dibangunkan
menjadi negara maju.












Lantaran Allah SWT berfirman
agar selepas selesai melakukan kerja,
maka ikutilah ia dengan kerja lain.









Rasulullah SAW adalah contoh terbaik
dalam mempamerkan nilai kerajinan holistik.
Meliputi rajin beribadat, rajin bekerja
dan rajin membantu masyarakat.







Rasulullah SAW bersabda :








“Tiada seseorang

yang lebih baik daripada mereka

yang memakan makanan

hasil usaha tangannya sendiri.”




(Riwayat al-Bukhari)






Rasulullah SAW juga mengajar sahabat
untuk membaca doa bagi mengelakkan diri
daripada malas iaitu:







“Ya Allah

sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu

daripada kesedihan dan kesusahan,

perasaan lemah dan malas,

sikap bakhil dan penakut,

hutang yang mengganggu fikiran

dan orang yang menindasku.”

(Riwayat al-Bukhari).








Saidina Umar Al-Khattab juga menganjurkan
masyarakatnya untuk menjaga maruah diri melalui kerajinan.
Katanya:







“Kalau aku melihat

seorang pemuda tanpa pekerjaan,

jatuhlah dia daripada pandangan mataku.”









Justeru, kerajinan boleh memberikan gambaran baik dan buruk sesuatu bangsa. Justeru, negara kita menjadikan pengalaman negara Timur seperti Jepun, Korea dan Taiwan sebagai contoh, khasnya dalam aspek kualiti kerja termasuk kerajinan, ketekunan dan disiplin melalui Dasar Pandang Ke Timur pada 1982.









Biasanya, kerajinan terbentuk apabila ada sesuatu habuan atau hajat yang ingin diperoleh. Seseorang rajin berdoa apabila dalam kesusahan atau masalah, rajin belajar apabila menghampiri tarikh peperiksaan, rajin bekerja apabila inginkan pangkat dan pendapatan.







Oleh itu, perlulah kita sentiasa meningkatkan kefahaman dan menyemarakkan jiwa dengan mewujudkan ‘persekitaran rajin’ melalui faktor ‘tolak-tarik’. Faktor tolakan termasuklah melalui galakan dan contoh amalan baik ahli keluarga dan rakan serta majikan melalui amalan kepemimpinan melalui teladan.









Sistem pemantauan, peraturan dan tindakan bagi yang gagal melaksanakan kerja boleh menjadi faktor tolakan untuk terus rajin dan tekun. Faktor tarikan pula ialah sistem ganjaran dan imbuhan, penghargaan, persekitaran kondusif termasuk dari aspek keselamatan, kebersihan, kemudahan tempat kerja, teknologi, hubungan sesama pekerja yang baik, kesihatan, sistem kerja yang teratur dan nilai yang didokong bersama dalam organisasi.









Kedua-dua faktor tolak-tarik ini boleh mewujudkan amalan bekerja dan mewujudkan budaya organisasi berasaskan kerajinan. Justeru, marilah kita berusaha memupuk budaya kerja dengan rajin kerana rajin itu mendekatkan kita kepada kejayaan dan ketakwaan sedangkan malas itu mendekatkan kita dengan kemunduran dan kekufuran.














Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.