Berselawat lebih utama
SAYA keliru sama ada lebih baik kita bersedekah al-Fatihah
ke atas nabi SAW atau berselawat ke atas baginda.
JAWAPAN
Pastinya berselawat ke atas baginda
adalah lebih utama berbanding bersedekah fatihah.
Ini kerana perintah berselawat ke atas baginda jelas dalam al-Quran.
Allah SWT dan para malaikat
sentiasa berselawat ke atas baginda.
Yang demikian jelas dalam firman Allah SWT
yang bermaksud:
" Allah dan malaikat-Nya berselawat
(memberi segala penghormatan dan kebaikan)
kepada Nabi (Muhammad SAW);
wahai orang-orang yang beriman
berselawatlah kamu kepadanya
serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan
yang sepenuhnya.
(Al-Ahzab: 56)
Imam al-Tabari menjelaskan
dalam tafsirnya, selawat dalam ayat ini
bermaksud 'memberkati'.
Dengan kata lain,
Allah SWT dan para malaikat
mengucapkan keberkatan ke atas
baginda Rasulullah SAW.
Selepas turun ayat ini
baginda membacakannya kepada para sahabat,
di antara sahabat ada yang bertanya:
"Wahai Rasulullah
ucapan Salam ke atas tuan
telah kami ketahui, bagaimana pula
dengan ucapan selawat?
Lantas baginda mengajarkan mereka
mengenai selawat:
Allahumma solli 'Ala Muhammad
wa 'ali Muhammad wa baarik 'ala Ibrahim
wa 'ala 'Ali Ibrahim,
innaka hamidun majid. "
Ada juga yang menamakan selawat ini
dengan selawat ibrahimiyyah.
Berdasarkan riwayat, ada beberapa bentuk selawat
yang lain diajar oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat
pada ketika diajukan soalan berkaitan dengan selawat.
Namun selawat ibrahimiyyah
dibaca dalam solat selain daripada
selawat ke atas baginda yang ringkas.
Perlu juga diingat bahawa selawat yang diucapkan
dalam solat adalah rukun dalam solat,
tanpanya tidak sah solat.
Namun selawat yang wajib
dalam solat telah melepaskan kita daripada kewajipan selawat.
Ini kerana di kalangan ulama yang berpendirian selawat
yang diperintahkan Allah ke atas
orang yang beriman adalah wajib,
dikira berdosa bagi mereka yang tidak
berselawat ke atas baginda.
Dengan demikian selawat ke atas baginda
di luar solat adalah sunat yang sangat dituntut.
Mereka yang banyak berselawat pastinya
akan dapat merasakan kehebatan Dan keberkatan
selawat ke atas baginda.
Selawat ke atas baginda SAW
adalah suatu yang tidak wajar diabaikan,
sedang Allah SWT dan para malaikat sentiasa
bahkan berterusan akan berselawat ke atas baginda,
iaitu mengucapkan keberkatan ke atas baginda.
Di dalam kitab-kitab hadis,
para ulama mensyarahkan bahawa jika selawat
daripada Allah SWT maksudnya, puji-pujian.
Jika selawat itu daripada para malaikat
adalah bermaksud doa.
Di antara kelebihan dan keutamaan selawat
ke atas baginda dapat dilihat melalui
beberapa hadis Rasulullah SAW
yang bermaksud:
"Sesiapa yang berselawat ke atas aku
di pagi hari sebanyak 10 kali
dan di kala petang 10 kali maka dia akan
beroleh syafaatku.
(Riwayat al-Tabraniy)
"Orang yang paling utama bagiku
di hari kiamat adalah orang yang banyak
selawatnya ke atas aku".
(riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Hibban)
"Sesiapa yang berselawat ke atasku
sekali nescaya Allah berselawat ke atasnya 10 kali
dan dihapuskan baginya 10 kesalahan dan diangkat 10 darjat.
(Riwayat Ahmad)
Banyak lagi riwayat yang menyebut
kelebihan berselawat ke atas baginda
yang tidak sempat disebut di sini.
Namun sebagai seorang Muslim yang inginkan cinta Rasulullah SAW
pastinya akan banyak berselawat ke atas baginda.
Mustahil bagi akal apabila mengaku cinta
tetapi tidak disebut dan disuburkan
cinta tersebut dengan berselawat.
Saya yakin sesungguhnya mereka yang membanyakkan selawat
ke atas baginda dengan penuh kasih sayang dan cinta
yang tidak berbelah bagi ke atas baginda akan melayakkan diri
untuk beroleh syafaat Rasulullah SAW.
Saya juga ada membaca beberapa riwayat
yang menyebut bahawa selawat dan salam yang diucapkan
oleh seseorang ke atas baginda SAW akan disampaikan oleh malaikat
yang ditugaskan untuk menyampaikan salam dan sejahtera
yang diucapkan oleh seseorang kepada baginda SAW.
Bayangkan, hari ini kalau ada di antara kita
yang berselawat ke atas Rasulullah SAW kemudian
selawat dan salam itu disampaikan oleh malaikat kepada nabi SAW,
indahnya hari tersebut.
Maka bagi beroleh keberkatan hidup
Dan kasih sayang Allah SWT maka memperbanyakkan selawat
seharusnya menjadi rutin dalam diari kehidupan seharian.
Beruntunglah mereka yang membanyakkan selawat
ke atas baginda dan rugilah mereka yang mengabai
dan melengahkan selawat ke atas baginda SAW.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.