Selasa, 24 Januari 2012

Pakai tudung cantik, tetapi gagal penuhi tuntutan syariat




Pakai tudung cantik,

tetapi gagal penuhi tuntutan syariat


Oleh Ashraf Muslim





Pakaian beri gambaran salah konsep menutup aurat






ORANG Islam mudah menerima? Persoalan itu wajar kita tanyakan apabila hakikatnya nampak begitu kerana apa juga yang terbaru dan terkini, pastinya kita tidak mahu ketinggalan. Mungkin perasaan perlu mengikut aliran dan tidak mahu ketinggalan mendorong kita mengikut arus.








Sebenarnya tidak salah mengikut arus, tetapi dalam kecenderungan kita menjadi sebahagian daripada perubahan, ada batas serta peraturan yang perlu dipatuhi khususnya sebagai umat Islam, tuntutan agama sentiasa menjadi penanda aras terhadap apa juga tindakan yang ingin kita lakukan.







Justeru, amat menyedihkan apabila ada yang mempertikaikan keputusan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama kerana yang diputuskan itu tidak memenuhi kehendak pihak tertentu atau secara jelas menentang kemahuan mereka.






Namun, saya bukan hendak membangkitkan beberapa
insiden besar yang berlaku dalam masyarakat
apabila ada pihak menentang atau mempersoalkan keputusan mereka
yang arif dalam hukum agama dengan pandangan
serta perbahasan mengikut pemikiran mereka.







Apa yang ingin saya ketengahkan ialah pemandangan biasa
dilihat dalam kalangan remaja, belia dan orang muda,
malah ada juga golongan dewasa yang menjadikan pemakaian tudung
ibarat pertunjukan fesyen, siapa lebih terkini gayanya
atau bijak menggayakan fesyen bertudung.







Sekali lagi, tidak salah bergaya untuk kelihatan cantik
kerana Allah sukakan yang cantik, tetapi biarlah kecantikan itu
yang benar-benar cantik. Dalam erti kata lain,
kecantikan pemakaian tudung biarlah mengikut syariat
serta matlamat utama kenapa ia diwajibkan terhadap perempuan Islam.







Apa yang terjadi sekarang,
pemakaian tudungnya sangat cantik dengan pelbagai gaya,
tetapi secara keseluruhan ia gagal memenuhi hikmah disyariatkan
bertudung apabila baju dipakai melekat pada badan,
berada di atas punggung dan seluar pula mengikut bentuk kaki,
tidak kira yang kurus panjang atau tidak kurang yang padat berisi.







Malah, ada yang apabila duduk,
ternampak pula sebahagian kulit badan di belakang
walaupun rambut yang menjadi sebahagian aurat
sudah elok tertutup. Itu yang menimbulkan persoalan,
inikah cara berpakaian yang dianjurkan Islam
kerana rasanya semua tahu akan jawapannya.







Perkembangan ini antara sedar atau tidak
turut memberi gambaran salah terhadap konsep
menutup aurat yang disarankan agama Islam.
Oleh itu, marilah bersama kita menilai,
memikirkan semula serta mengambil tindakan sebaiknya
supaya niat memenuhi tuntutan agama benar-benar
memberi manfaat serta ganjaran pahala,
bukan sebaliknya, menjadi usaha sia-sia.







Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:





“Wahai Nabi,

suruhlah isteri-isterimu,

anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman,

supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup

seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar),

cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal

(sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu

mereka tidak diganggu.

Dan (ingatlah) Allah

adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”



(Surah al-Ahzab, ayat 59)






Menyedari perlunya menjaga batasan antara lelaki dan perempuan,
kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah menggalakkan
wanita yang datang untuk mendapatkan rawatan memakai
telekung supaya batas aurat itu terjaga sebaiknya.
Sebahagian besar yang datang memang menutup aurat dan bertudung,
tetapi bagi kami, lebih baik mengambil langkah
boleh mencegah daripada timbulnya fitnah.






Ini hanyalah pandangan peribadi kerana saya akur
naluri manusia yang berbeza serta pandangan terhadap
sesuatu itu pelbagai mengikut tahap kefahaman atau cara mereka
ingin memahami sesuatu peraturan dan syariat agama.
Tetapi sebagai insan kerdil yang melihat berlaku
kelemahan dalam masyarakat, rasanya tidak salah
saya membangkitkan isu ini.






Tambahan dengan pembaharuan yang berlaku begitu pantas,
industri pakaian serta fesyen turut menerima tempiasnya
maka kita dapat lihat macam-macam rekaan terkini
memenuhi pasaran. Ada yang sesuai untuk wanita Islam
dan ada jelas tidak mematuhi kehendak syarak.






Dalam membicarakan soal pakaian wanita,
Islam tidak menetapkan pakaian tertentu,
tetapi wanita Islam perlu mengikuti garis panduan syarak
dengan memastikan pakaian itu hendaklah menutup aurat mereka,
menutup dengan sebenar-benarnya.






Antara tujuan berpakaian itu ialah untuk
menutupi atau melindungi bahagian yang tertentu.
Jika mereka memilih pakaian nipis atau jarang hingga boleh
dikesan atau dilihat auratnya, maka ini bererti pakaian
yang dipakai sudah tidak berfungsi lagi.





Semoga ibadah kita dan kesungguhan
memenuhi tuntutan syariat menjadikan kita
termasuk dalam golongan yang sentiasa mendapat
keredaan serta rahmat Allah.





INFO




Ayat untuk gangguan sihir,
surah al-Fusilat (ayat 25-44) dan surah al-Mukminun (ayat 105-118).
Amalkan membacanya dan banyakkan berdoa kepada Allah.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.