Selasa, 17 Januari 2012

Mohon perlindungan azab kubur antara tasyahud, salam



Mohon perlindungan azab kubur

antara tasyahud, salam



DARIPADA Aisyah,
bahawa seorang wanita Yahudi datang menemuinya
lalu menyebutkan azab kubur, lalu wanita itu berkata kepada Aisyah:




“Semoga Allah melindungimu daripada azab kubur.






Aisyah berkata:

Maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda:


Ya, azab kubur adalah benar. Aisyah berkata:

Maka setelah itu aku tidak melihat Rasulullah SAW
mengerjakan sesuatu solat melainkan Baginda memohon
perlindungan daripada azab kubur.”






Hadis ini juga mengandungi anjuran berlindung daripada azab kubur dalam solat dan tempat memohon perlindungan antara tasyahud dan salam.







Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu berada dalam keadaan tasyahud, maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah dari empat perkara dengan berdoa: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada seksaan neraka jahanam, daripada seksa kubur, daripada fitnah semasa hidup dan selepas mati serta daripada kejahatan fitnah Almasih Ad-Dajjal.”





Pensyarah kitab At-Tahawiyah,
berkata khabar daripada Rasulullah SAW mengenai azab kubur
dan nikmatnya, soalan dua malaikat, maka wajib mempercayai
serta beriman dengannya.






Perkara yang menyelamatkan daripada azab kubur
ialah syahid di medan perang. Rasulullah SAW bersabda:






“Orang yang mati syahid beroleh enam perkara di sisi Allah:

Diampunkan dosa pada darah yang mula-mula keluar,

diperlihatkan tempatnya dalam syurga,

diselamatkan dari azab kubur,

aman pada hari kebangkitan dari kubur,

diletakkan mahkota kebesaran atas kepala dibuat

dari yaqut yang lebih baik dari dunia dan isinya,

dikahwinkan dengan tujuh puluh dua bidadari,

dan diizinkan memberi syafaat kepada tujuh puluh orang

dari kaum kerabatnya.”






Berjihad di jalan Allah hingga mati.
Daripada Fudhalah bin ‘Ubaid, dari Rasulullah SAW sabdanya:




“Setiap mayat ditutup amalannya melainkan

orang yang mati berjuang di jalan Allah,

maka sesungguhnya amalannya tetap

diterima pahalanya hingga hari kiamat

dan aman dari fitnah kubur.”







Mati pada hari Jumaat dan malamnya. Daripada Abdullah bin ‘Amru,
daripada Nabi SAW sabdanya:




“Tidak ada seorang muslim yang mati

pada hari Jumaat melainkan Allah

melindunginya dari fitnah kubur.”





Mati dengan sebab penyakit perut. Rasulullah SAW bersabda:




“Sesiapa yang dibunuh oleh perutnya

maka dia tidak akan diseksa dalam kuburnya.”






Amal salih lain seperti dijelaskan dalam hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hatim dan ‘Sahihnya’ dari Abu Hurairah daripada Nabi SAW sabdanya:




“Sesungguhnya mayat mendengar

bunyi hentakan tapak kasut orang yang menghantarnya

ketika mereka meninggalkan kuburnya,

jika dia seorang mukmin, solat berada di sisi kepalanya,

puasa berada di sebelah kanannya, zakat berada di sebelah kirinya,

amalan kebajikan dari sedekah, silaturahim,

kebaikan dan ihsan kepada manusia berada di sisi kakinya,

lalu malaikat mendatangi dari sisi kepalanya,

maka solat berkata tidak ada di sisiku pintu masuk,

kemudian kebajikan dari sedekah,

silaturahim, kebaikan dan ihsan kepada manusia berkata:

tidak ada di sisi pintu masuk...”






Telah jelas bagimu jalan keselamatan maka berpegang teguhlah dengannya, berjalanlah atas hidayatnya, semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk mengerjakan amal soleh.





Petikan buku 101 Nasihat Rasulullah SAW

Untuk Menjadi Muslimah Paling Bahagia










Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.