Jumaat, 20 Januari 2012

Khutbah Jumaat : 20/01/2012


Khutbah Jumaat:

Lindungi nyawa

elak lakukan perbuatan mudarat



Angka kemalangan maut meningkat kerana sikap tidak sabar pengguna jalan raya HIDUPNYA seseorang menandakan ia masih bernyawa dan berpeluang meneruskan perjuangan di alam fana ini. Oleh itu, manusia perlu memelihara dan melindungi nyawa supaya kehidupannya dapat diteruskan sebagai hamba Allah SWT.






Jika nyawa tidak dipelihara, akan terjadilah kebinasaan, kerosakan dan seterusnya membawa kepada kematian yang sia-sia. Kehidupan dan kematian seseorang insan adalah hak mutlak Allah SWT yang tiada sesiapapun boleh mempertikaikannya.
Lantaran itu Allah SWT boleh memendekkan umur seseorang dengan kehendak dan kuasa-Nya dan dengan kehendak dan kuasa-Nya jugalah ia boleh memanjangkan umur seseorang. Firman Allah SWT yang bermaksud:






“Dan Allah yang menciptakan kamu;

kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu

yang dikembalikan kepada peringkat umur

yang lemah sehingga menjadi lupa akan sesuatu

yang telah diketahuinya;

sesungguhnya Allah Maha Mengetahui,

lagi Maha Kuasa.”

(Surah al- Nahl, ayat 70)








Oleh itu, kita patut bersyukur nikmat yang Allah SWT
kurniakan melalui nyawa diberikan yang membolehkan kita menikmati indahnya kehidupan, keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita.
Apabila nyawa terpisah dari badan, semua itu tidak berguna lagi. Kita wajib memelihara dan melindungi nyawa sendiri atau nyawa orang lain. Melindungi nyawa bermaksud memelihara dan menjaganya dengan mengelakkan diri daripada terbabit perbuatan boleh mengundang kecelakaan.










Berdasarkan laporan, kemalangan jalan raya
adalah penyebab terbesar kepada kematian. Statistik trafik Polis Bukit Aman menunjukkan 414, 421 kes pada 2010 dan 449,040 (2011). Statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus dan daripada jumlah itu purata kemalangan bagi 2011 adalah sebanyak 51 kemalangan setiap satu jam.
Musim perayaan, musim paling sibuk bagi pengguna jalan raya. Bagi memastikan keselamatan pengguna, pihak berwajib seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah agensi bertanggungjawab memastikan pengguna jalan raya selamat sampai ke destinasi masing-masing.









Ops Sikap 25 bermula pada 16 Januari 2012 adalah satu langkah pencegahan kejadian yang tidak diingini ketika pulang bercuti nanti. Namun, berdasarkan pemerhatian, masih ada pengguna jalan raya mempunyai sikap endah tak endah terhadap kempen keselamatan ini. Mereka mengamalkan sikap tidak sabar ketika memandu di jalan raya. Disebabkan itu, walaupun langkah pencegahan dilakukan, angka kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat setiap tahun menjelang musim perayaan. Janganlah disalahkan orang lain jika berlaku kemalangan atau kematian di musim perayaan ini . Kita hendaklah bersikap sabar ketika memandu supaya keselamatan kita dan orang lain terjamin. Allah SWT berfirman yang bermaksud:








“Wahai sekalian orang yang beriman!

Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan)

sembahyang; kerana sesungguhnya Allah

menyertai orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah, ayat 153)








Selain itu ada beberapa faktor antara punca utama
kemalangan menyebabkan kehilangan nyawa. Faktor pertama ialah sikap manusia, iaitu memandu dalam keadaan mengantuk, kurang tumpuan ketika memandu, memandu lebih had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, berlumba secara haram terutama penunggang motosikal.
Kedua, faktor mekanikal kenderaan, kurang prihatin terhadap penyelenggaraan seperti brek dan tayar. Ketiga, faktor kejuruteraan jalan, keadaan jalan raya kurang baik, gangguan seperti kerja pembaikan jalan dan keempat faktor cuaca, hujan lebat menyebabkan jalan licin atau jerebu.










Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya, itulah ungkapan sewajarnya difikirkan bersama bagi mengambil langkah keselamatan secara berterusan.
Perbuatan menimbulkan mudarat dan berbahaya yang boleh membawa kepada kematian seperti menunggang motosikal secara berbahaya, tidak mematuhi peraturan jalan raya, tidak memiliki lesen memandu adalah tindakan tidak memelihara dan melindungi nyawa. Walaupun tindakan seperti itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa secara langsung tetapi lama kelamaan atau silap percaturan boleh menyebabkan kematian.









Allah SWT berfirman yang bermaksud:







“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah,

dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu

ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah

kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha

memperbaiki amalannya.”


(Surah al-Baqarah, ayat 195)








Marilah bersama kita memelihara dan melindungi nyawa diberikan Allah SWT dengan mengelak daripada kemalangan. Generasi muda perlu dididik mematuhi undang-undang. Jangan biarkan anak memandu kenderaan tanpa lesen atau tidak menggunakan topi keledar kerana itu mengundang kecelakaan.




Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.