Khamis, 5 Januari 2012

Bertawakal tidak bermakna tanpa usaha, doa





Persoalan Agama:


Bertawakal tidak bermakna

tanpa usaha, doa



USTAZ, kita sebagai manusia disuruh untuk bertawakal kepada Allah SWT dalam setiap usaha dilakukan. Tetapi biasanya kalau usaha kita gagal kita akan kecewa. Soalan saya, adakah maksud tawakal itu kita pasrah kepada Allah tanpa kita melakukan apa-apa? Bagaimanakah kalau kita bertawakal tetapi gagal dalam usaha?






HAMBA ALLAH,


Kuala Lumpur.


Alhamdulillah wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 122 yang bermaksud:






“Hanya kepada Allah orang beriman bertawakal.”








Perkataan tawakal diambil daripada kata ‘wakala’ yang dasarnya sama dengan kata wakil. Perintah bertawakal sama maknanya dengan firman Allah SWT dalam ayat 9 surah al-Muzzammil:






“Jadikanlah Dia wakil.”







Apabila seseorang mewakilkan orang lain, maka sebenarnya dia sudah menjadikan individu itu sebagai dirinya dalam persoalan berkenaan sehingga seorang wakil melaksanakan apa yang dikehendaki oleh orang yang menyerahkan kepadanya perwakilan. Menjadikan Allah sebagai wakil atau bertawakal kepada Allah SWT bererti menyerahkan kepada-Nya segala persoalan. Dialah yang mengingini atau bertindak sesuai dengan hendak manusia yang menyerahkan perwakilan itu. Makna ini akan menimbulkan salah faham jika tidak dijelaskan lebih mendalam seperti mereka menyangka bahawa tawakal itu bererti pasrah dan tidak berdaya.









Perlu diingat bahawa keyakinan mengenai Keesaan Allah SWT antara lainnya bererti bahawa zat, sifat dan perbuatan-Nya tidak dapat disamakan dengan perbuatan manusia walaupun nama mungkin sama.
Contohnya, sifat kasih Allah SWT atau kemurahan-Nya (Allah Maha Pengasih dan Maha Pemurah). Kasih dan pemurah boleh saja menjadi sifat makhluk namun hakikat kasih dan pemurah Allah SWT tidak dapat disamakan dengan apa yang dimiliki oleh makhluk-Nya. Ini disebabkan perbuatan menyamakan sifat Allah SWT dengan sifat makhluk boleh menggugurkan makna Keesaan Allah SWT yang kepada-Nya diwakilkan segala persoalan adalah Zat yang Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan segala Maha yang mengandungi makna pujian.









Sebaliknya manusia memiliki keterbatasan dalam segala hal.
Kalau demikian, tawakal atau perwakilan-Nya sudah tentu berbeza dengan perwakilan manusia. Jika saudara mewakilkan orang lain untuk melakukan atau melaksanakan sesuatu, maka saudara sudah menugaskannya melaksanakan perkara itu dan saudara tidak perlu terbabit lagi. Namun, dalam perkara menjadikan Allah SWT sebagai wakil, manusia dituntut untuk melakukan sesuatu yang berada dalam batas kemampuannya. Kata tawakal bukanlah bermaksud penyerahan tanpa usaha manusia terlebih dulu.










Dalam satu hadis riwayat at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda kepada seseorang yang tidak menambatkan untanya dengan alasan bertawakal iaitu:







“Tambatkanlah dulu (untamu) kemudian sesudah itu bertawakallah.”










Menjadikan Allah SWT sebagai wakil bererti seseorang hendaklah meyakini bahawa Allah SWT yang mengadakan sesuatu yang terjadi di alam semesta ini seperti dia kehendaki dan tindakannya sehala kehendak dan ketentuan Allah SWT. Seorang Muslim dituntut untuk berusaha, tetapi pada masa yang sama dia dituntut (selepas berusaha semaksimum) untuk bertawakal kepada Allah. Kemudian menantikan hasilnya seperti kehendak dan ketetapan Allah SWT.









Saudara boleh berusaha dalam batas yang dibenarkan disertai dengan cita-cita yang berkobar-kobar untuk meraih sesuatu. Jika saudara gagal meraihnya, jangan berputus asa serta melupakan anugerah Allah SWT yang selama ini telah saudara peroleh dan nikmati. Demikianlah, wallahua’lam.















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.