Ahad, 29 Januari 2012

Pengaduan Nabi Nuh



Pengaduan Nabi Nuh





Setiap yang bertaubat pasti Dia menerima taubat sebanyak manapun dosa yang dilakukan serta kekufuran dan kemusyrikan. - Gambar hiasan






ALLAH SWT telah menyebut perihal Nabi Nuh yang diperintahkan agar mengingatkan kaumnya sebelum mereka ditimpa kemurkaan dan seksaan-Nya yang amat pedih.





Nabi Nuh yang menerima seruan Allah itu terus memberi peringatan kepada kaumnya dan memerintahkan mereka agar bertakwa dan mentaati-Nya supaya Allah SWT mengampunkan dosa dan memanjangkan umur mereka.





Berikutnya diterangkan kisah Nabi Nuh bermunajat dan membuat pengaduan kepada Allah bahawa baginda telah mengingatkan mereka dengan apa yang diperintahkan.





Tetapi kaumnya telah menderhaka dan menolak peringatan yang diberikan kepada mereka.




Seruan baginda tidak memberi apa-apa faedah selain mereka terus menolaknya.




Kadang-kadang Nabi Nuh menyeru mereka secara terang-terangan dan adakalanya secara sembunyi.





Baginda memerintahkan mereka memohon keampunan di atas dosa mereka agar Allah SWT menurunkan hujan, menganugerahkan harta dan anak-anak serta mengurniakan kebun-kebun dan sungai kepada mereka.





Kemudian, baginda mengingatkan mereka tentang kekuasaan, keagungan Allah SWT dan keluasan kudrat-Nya serta memalingkan pandangan mereka kepada Allah SWT yang telah menciptakan mereka secara berperingkat.





Allah yang telah menciptakan langit secara bertingkat, menjadikan bulan yang bersinar di langit, matahari sebagai pelita dan bumi sebagai hamparan untuk kehidupan mereka.





Keadaan yang demikian membolehkan mereka berjalan-jalan dari satu lembah ke lembah yang lain.




Firman Allah SWT:




" Nuh berkata:

Ya Tuhanku sesungguhnya aku

telah menyeru kaumku malam dan siang,

maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran).

Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman)

agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka

ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (kemukanya) dan mereka tetap

(mengingkari) dan menyombongkan diri dengan cara yang melampau ."



(Nuh: 5-7)





Ibnu Kathir berkata:




"Nabi Nuh a.s. menyatakan tidak pernah diam

dan alpa menyeru kaumnya supaya mentaati

dan mencari keredaan-Mu namun

mereka terus lari daripada kebenaran."





Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Abbas:



"Mereka mengingkarinya agar dia

tidak mengetahui mereka."





Sa'id bin Jubair dan al-suddi berkata:



"Mereka menutup kepala dan telinga supaya

tidak mendengar apa yang dia katakan."





Syed Qutub berkata:



"Itulah satu gambaran kegigihan pendakwah

yang menyampaikan dakwah pada setiap kesempatan

yang didapatinya dan gambaran kedegilan

kaumnya mempertahankan kesesatan."





Gambaran itu memperlihatkan sifat-sifat kebudak-budakan mereka yang degil iaitu menyumbat jari dalam telinga dan menutup kepala dan muka dengan baju.





Mereka melakukan sedemikian dengan harapan tidak mendengar segala seruan Nabi Nuh.




Firman Allah SWT:




" Kemudian sesungguhnya aku

telah menyeru mereka (kepada iman)

dengan cara terang-terangan.

Kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi)

dengan terang-terangan dan dengan diam-diam.

Maka aku katakan kepada mereka:

Mohonlah ampun kepada Tuhanmu,

sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun. "

(Nuh: 8-10)




Ibnu Kathir berkata:




"Iaitu kembalilah kamu kepada Allah SWT

dan tinggalkanlah segala perbuatan lama kamu

serta bertaubatlah kamu kepada-Nya.

"Ini kerana siapa yang bertaubat pasti Dia

menerima taubat sebanyak manapun dosa

yang dilakukan serta kekufuran dan kemusyrikan."







Al-Maraghi berkata:




"Aku (Nabi Nuh AS) katakan kepada mereka:


Mohonlah pengampunan daripada dosa-dosamu

kepada Tuhan dan bertaubatlah kepada-Nya

dari segala unsur kekafiran atau menyembah tuhan

yang selain-Nya serta mengesakan Dia

dengan cara mengikhlaskan ibadah kepada-Nya."





Berdasarkan ayat-ayat yang dibincangkan, jelas membuktikan kegigihan Nabi Nuh AS dalam menyampaikan risalah Allah SWT.





Pada masa yang sama baginda mengajak umatnya supaya beristighfar kepada tuhan tetapi malangnya mereka mengingkari dan tidak mahu beriman kepada Allah SWT.





Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada kisah ini untuk mentaati perintah Allah dalam apa jua keadaan sekalipun. Amin.











Sumber


Sabtu, 28 Januari 2012

Mukmin sejati dorong perdamaian ummah



Mukmin sejati dorong perdamaian ummah


Oleh Ustaz Zaman




SESUNGGUHNYA perselisihan antara umat manusia disebabkan penerimaan terhadap sesuatu isu dan sejauh manakah kebijaksanaan mereka menangani isu itu. Ini fitrah sejak diciptakan Adam ketika Allah SWT menciptakan manusia sebagai khalifah di muka bumi.







Firman Allah SWT bermaksud:





“Dan ingatlah (wahai Muhammad)

ketika Tuhanmu menyeru para Malaikat

seraya berkata:

Aku akan menciptakan manusia

sebagai khalifah di bumi.

Malaikat menyahut:

Apakah Kamu akan menjadikan makhluk

yang melakukan kerosakan dan pertumpahan darah

sebagai khalifah, sedangkan kamilah makhluk

yang sentiasa bertasbih kepada-Mu.

Firman SWT: Aku lebih mengetahui dari apa yang kamu tidak ketahui.

(Surah al-Baqarah, ayat 30)
Perselisihan seumpama ini akan terus menjadi fenomena umat sehingga berlakunya kiamat. Justeru, ia juga sebagai ujian bagi mereka seperti dirakamkan Allah SWT dalam firman bermaksud:





“Dan kami jadikan sebahagian dari kamu

berselisih pendapat sebagai ujian

bagi kesabaran yang kamu miliki.”

(Surah al-Furqan, ayat 20)







"Dan kami jadikan sebahagian dari kamu

berselisih pendapat sebagai ujian

bagi kesabaran yang kamu miliki."



- Surah al-Furqan, Ayat 20






Penilaian kepada hasil ujian ini akan menghasilkan beberapa golongan antaranya mereka yang bijak dan berwawasan, tidak kurang juga mereka terus menanamkan sifat kebencian berpanjangan lantaran pemikiran mereka yang sempit.





Lidahnya akan mendahului hati dan pemikiran lalu keluarlah ucapan tidak layak sebagai seorang beriman. Begitu juga yang menggunakan mata pena melalui penulisan untuk merealisasikan matlamat walaupun hanya pandangan semata-mata di mana kepastian dan kebenaran masih samar.





Firman Allah SWT yang bermaksud:





“Firaun berkata:

Aku hanya kemukakan pandanganku

dan semuanya untuk kebaikan kalian semua.”



(Surah Ghaafir, ayat 29)






Contohi Imam Syafie ketika berada di makam Baginda SAW dengan menyebut kalimah penuh pengajaran untuk semua: “Semua pandangan boleh diterima atau ditolak melainkan pandangan empunya kubur ini.” Syaitan mempunyai strategi tersendiri dalam usaha mencipta permusuhan di kalangan manusia sehingga pada waktu kecederaan di mana tiada jalan untuk mereka berbuat demikian.





Sabda Baginda SAW yang bermaksud:






“Sesungguhnya syaitan berputus asa

untuk mengganggu mereka bersolat

di kalangan penduduk kepulauan Arab

tetapi dia berjaya

mencipta permusuhan di kalangan mereka.”

(Hadis riwayat Muslim)






Orang mukmin sebenar ialah
mereka yang bertindak sebagai penasihat yang berjaya
menyatukan semua kumpulan tanpa
mencipta sebarang kerosakan.
Selain, disulamkan doa yang baik untuk kesatuan umat
serta memastikan segala pandangan serta kritikan
sebagai batu loncatan untuk menjana
pengalaman dan kejayaan pada masa depan.





Perlu diingatkan, Allah SWT boleh saja menjadikan manusia berada di satu landasan tanpa berselisih, ia sunnatullah yang akan berlaku demi kebaikan manusia.




Firman Allah SWT yang bermaksud:






“Allah SWT boleh menjadikan kamu

satu umat jika dia (Allah) kehendaki

tetapi mereka akan sentiasa berselisih

melainkan mereka yang mendapat rahmat.”




(Surah Hud 118 dan 119).






Ini menunjukkan perselisihan yang menemui jalan penyelesaian satu rahmat daripada Allah SWT. Kitab suci al-Quran sarat kelebihan untuk mereka yang berdamai dalam kesepakatan pada sesuatu perselisihan.







Lebih 30 kali diulang perkataan damai antaranya, perdamaian membawa kebaikan dalam surah An-Nisa’, ayat 128; bertakwalah kepada Allah dan berdamailah antara kamu (surah Al-Anfal, ayat 1); jika ada di kalangan dua golongan berselisih, maka damaikanlah keduanya (surah Hujurat, ayat 9); jika mereka yang berselisih dapat berdamai, maka mereka akan mendapat keredaan Allah SWT (surah An-Nisa’, ayat 35).






Sabda Baginda SAW bermaksud:






“Mahukan kamu kukhabarkan

akan sesuatu yang lebih baik daripada puasa,

solat dan bersedekah?

Itu perdamaian antara dua berselisih

kerana perselisihan satu kerosakan.”




(Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)







Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)









Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0042.




Hadis Sahih Bukhari Jilid 1.


Hadis Nombor 0042.





Dikhabarkan oleh Abu Hurairah r.a.,

katanya pada suatu hari
Nabi saw. duduk

bersama-sama jemaah, tiba-tiba datang kepadanya

seorang laki-laki bertanya.

"Apakah ertinya iman?"

Jawab Rasulullah,

"Iman ialah percaya kepada Allah, kepada Malaikat-Nya,

kepada Rasul-Nya, dan kepada berbangkit (sesudah mati)."

Tanya orang itu pula,

"Apakah ertinya Islam?"

Jawab
Nabi,

"Islam iaitu menyembah Allah dan tidak mempersekutukanNya,

menegakkan solat, membayar zakat, dan puasa Ramadhan."

Dia bertanya lagi,

"Apakah ertinya ihsan?"

Jawab
Nabi,

"Ihsan ialah menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Dia.

Biarpun engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya

Dia melihat engkau."

Tanya orang itu pula,

"Bilakah hari kiamat?"

Jawab
Nabi,

"Orang ditanya
(Nabi) tidak lebih tahu

dari orang yang menanya.

Tetapi akan ku terangkan tanda-tandanya:

(1) apabila budak perempuan melahirkan majikannya

dan (2) apabila gembala unta telah bermegah-megah

dalam gedung yang indah mewah.

Dan kiamat itu salah satu dari lima rahsia

yang hanya Allah mengetahuinya."

Kemudian
Nabi membaca ayat:

Innallaaha 'indahu 'ilmus sa'ah,

wa yunazzi lulghaitsa wa ya'lamu maa,

fil arhaam, wa maa tadri nafsum ma dza taksibu

ghadaa wa maa tadri nafsum biayyi ardhin

tamutu innallaaha 'aliimun khabir."

("Hanya Allah yang mengetahui hari kiamat dan turunnya hujan,

dan yang mengetahui bayi apa yang di dalam rahim ibu;

(Allah juga mengetahui) apa yang tidak diketahui orang,

kerja apa yang akan dilakukannya esok;

(Allah juga mengetahui) apa yang tidak diketahui orang,

di bumi mana dia akan meninggal.

Sesungguhnya Allah Maha Tahu lagi Maha Pintar."

- S. Luqman, 31:34

Setelah itu orang tersebut pergi.

Maka sabda
Nabi,

"Panggillah dia kembali!"

Tetapi mereka tidak nampak orang itu lagi.


Nabi
bersabda,

"Itulah Jibril,

dia mengajarkan agama kepada umat manusia."





Jumaat, 27 Januari 2012

Persoalan makanan halal, haram tidak boleh diambil mudah




Khutbah Jumaat:



Persoalan makanan halal,


haram tidak boleh diambil mudah





HALAL membawa maksud luas mengenai tatacara hidup orang Islam yang menitikberatkan aspek halalan thoyyiba iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan sihat. Dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk ketrampilan peribadi seseorang yang akhirnya menyumbang kepada pembentukan ummah.





Sebagai umat Islam kita wajib memastikan sumber makanan dan minuman adalah halal dan memenuhi panduan pemakanan syariat Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud:





“Wahai sekalian manusia!

Makanlah dari apa yang ada di bumi,

yang halal lagi baik,

dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan;

kerana sesungguhnya syaitan itu

ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”




(Surah al-Baqarah, ayat 168)






Ibn kathir dalam kitabnya Tafsir Ibn Kathir menyatakan, perkataan toyyiba itu membawa maksud baik, bermanfaat serta elok dari segi tabiat dan syarak. Thoyyiba merangkumi dua perkara iaitu soal fizikal dan kerohanian.





Ia mestilah selari dengan syariat, tidak bercanggah dan disertai keikhlasan kepada Allah SWT. Makanan halal di sisi syarak adalah makanan bersih zatnya, suci kaedah perolehannya serta bebas dari sebarang kemudaratan, sebaliknya makanan haram sekalipun lazat tetap keji di sisi Allah SWT.






Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:






“Wahai orang yang beriman,

makanlah barang yang bersih daripada apa

yang kami kurniakan kepada kamu.”




(Hadis riwayat Muslim)







Oleh itu, seorang Islam sama ada pengusaha makanan halal dan individu hendaklah mengambil kira setiap perkara dari segi modal perniagaan, pelaburan, hasil pendapatan serta hendaklah dijauhi unsur haram seperti judi, riba atau rasuah.





Ajaran Islam amat menitikberatkan persoalan makanan halal dan bersih kerana makanan haram yang dimasukkan ke dalam tubuh seseorang akan membawa kepada kesan mendalam terhadap tingkah laku, budi pekerti, kejernihan hati serta penerimaan doa kepada Allah SWT.





Panduan pemakanan dalam Islam adalah berlandaskan konsep memberi kemudahan, menjaga nyawa, menjamin kesihatan tubuh badan dan akal. Kerana itu setiap makanan yang memberi manfaat kepada tubuh badan dan akal fikiran dibenarkan oleh syarak.





Firman Allah yang bermaksud:





“Oleh itu,

makanlah dari apa yang dikurniakan Allah

kepadamu dari yang halal lagi baik,

dan bersyukurlah akan nikmat Allah,

jika benar kamu menyembah-Nya.

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu

memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang

yang disembelih tidak kerana Allah

maka sesiapa terpaksa sedang ia tidak dianiaya

dan tidak melampaui batas;

sesungguhnya Allah Maha Pengampun,

lagi Maha Mengasihani. Manakala yang haram

dan memudaratkan fikiran serta badan

diharamkan dan ditegah.”



(Surah al-Nahl ayat 114-115)






Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Quran menyatakan, sama ada ilmu manusia dapat mengetahui hikmah pengharaman sesuatu perkara atau tidak, namun yang pasti, Allah Maha Mengetahui dan amat mengatasi keupayaan kita untuk mengetahui sesuatu perkara. Allah tidak mengharamkan sesuatu, kecuali pasti perkara itu mempunyai bahaya dan kemudaratannya.




Ulama terkenal, Abdullah Sahl al-Tusturi berkata, sesiapa yang makan makanan haram, maka akan bermaksiatlah anggota tubuhnya sama ada atas kehendaknya atau tidak, sama ada dia tahu atau tidak dan sesiapa makan makanan yang halal, maka seluruh anggota tubuhnya akan tunduk taat dan mudah melaksanakan kebajikan. Berdasarkan kepada pandangan ini menunjukkan pemakanan halal mempunyai kedudukan penting dalam kehidupan di dunia ini dan berkait rapat dengan balasan hari akhirat.





Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:




“Mana-mana hamba,

dagingnya itu tumbuh dari perkara

yang haram dan amalan riba,

api nerakalah yang patut

(untuk membakar dan menghilangkan) daging itu.”




(Hadis riwayat Ibn Marduiah)





Dalam mengharungi perkembangan semasa di era global dunia hari ini, banyak makanan dan minuman ditawarkan kepada kita perlu diperiksa dan diteliti sebaiknya. Perkara yang halal lagi baik hendaklah menjadi keutamaan manakala yang haram dan tidak baik semestinya dihindari.




Kita juga dituntut menjauhi barang syubhah yang mengelirukan dan tidak jelas hukumnya. Kita sepatutnya berwaspada supaya tidak mengambil atau mencubanya melainkan setelah dipastikan halal dan kebaikannya kerana makanan dan minuman syubhah boleh mengheret kepada penggunaan barangan haram secara tidak disangka-sangka.




Ada peniaga yang tidak bertanggungjawab memperdayakan pengguna seperti memalsukan logo halal atau menggunakan logo halal pada produk haram. Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan, namun soal keberkatan dan keikhlasan tidak boleh diketepikan atau dipandang remeh.




Mereka yang melakukan penipuan ini sebenarnya telah mengkhianati masyarakat Islam dan melakukan amalan syaitan yang menyesatkan. Akta Perihal Dagangan 2011 diharap dapat membantu mengatasi masalah ini dan semua pihak perlu mematuhi akta yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012.




Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

















Khamis, 26 Januari 2012

Bina budaya keluarga cintakan al-Quran





Bina budaya keluarga cintakan al-Quran




ANTARA ciri mukmin yang beruntung di dunia dan di akhirat ialah orang mempelajari al-Quran dan aktif membacanya. Kadar keberuntungannya akan berlimpah kali ganda seandainya si penuntut dan pembaca al-Quran bergiat cergas menggali inti pati maknanya serta mengamalkannya.






Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:







“Orang yang paling baik di antara kamu

adalah yang mempelajari al-Quran

dan mengajarkannya.”




(Hadis riwayat Bukhari, Abdu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)







Jadi, berdasarkan apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW itu, kita sewajarnya mentransformasikan hati supaya sentiasa rindu untuk mempelajari serta membacanya.
Jika selama ini kita sudah terbiasa dengan amalan wajib membaca akhbar setiap pagi, apa salahnya kita jadikan membaca al-Quran pula sebagai amalan yang tidak boleh ditinggalkan.





Bina satu slogan peribadi,





‘Tak Sempurna Hari Tanpa Membaca Al-Quran’.






Tampal dalam rumah supaya kita dan seluruh ahli keluarga
dapat menatapnya setiap masa.







Keuntungan seseorang pembaca al-Quran ketika di akhirat kerana dijamin akan diberikan syafaat ketika kita sangat-sangat memerlukan pertolongan ketika berhimpun di padang Mahsyar nanti.






Rasulullah SAW ada menyebut akan hal ini dalam sabda yang bermaksud:






“Bacalah al-Quran.

Kerana ia pada hari kiamat nanti

akan datang untuk memberikan syafaat

kepada para pembacanya.”




(Hadis riwayat Muslim)







Seperkara lagi yang harus kita sedari bahawa amalan membaca al-Quran adalah metodologi dalam penyembuhan penyakit jiwa atau hati. Dalam meniti arus kehidupan, fikiran dan jiwa sentiasa diselubungi pelbagai emosi.







Justeru, bagi mukmin yang menjadikan al-Quran sebagai teman rapatnya, perasaan berkecamuk itu pasti akan terungkai apabila membaca al-Quran.






Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud:






“Tidak ada orang yang berkumpul

di salah satu rumah Allah untuk

membaca dan mempelajari al-Quran,

kecuali mereka akan memperoleh ketenteraman,

diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan nama mereka

disebut Allah dalam kalangan malaikat.”





(Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Abu Daud)






Berdasarkan apa dikemukakan Rasulullah SAW itu, nyatalah seseorang mukmin yang selalu mempelajari dan membaca al-Quran tergolong dalam kalangan mukmin yang dicintai Allah.





Malah, Rasulullah SAW mengiktiraf amalan membaca al-Quran sebagai amalan ibadah terbaik untuk umatnya. Kata Rasulullah SAW:







“Yang paling utama dari ibadah umatku

adalah membaca al-Quran.”




(Hadis riwayat al-Baihaqi)






Membina keluarga budaya mempelajari dan membaca al-Quran perlu diutamakan kerana itulah acuan sebuah keluarga bahagia yang sentiasa dipayungi rahmat Allah. Anak membesar dalam ruang lingkup emosi berpaksikan cahaya al-Quran akan muncul sebagai anak salih dengan jiwa kebal.






Membentuk jiwa anak dengan budaya cintakan al-Quran akan menjadi tembok paling ampuh dan satu bekalan teragung apabila mereka meningkat dewasa. Jangan biarkan jiwa kita dan anak ketandusan keberkatan al-Quran kerana kesannya amat buruk.






Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:





“Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya

tidak ada al-Quran sama sekali,

tidak ubahnya seperti rumah yang rosak.”




(Hadis at-Tirmidzi, Ahmad , Hakim dan al-Darimi)







Mempelajari dan membaca al-Quran umpama baja yang akan menyuburkan hati dan jiwa sekali gus mengukuhkan akar iman serta takwa seseorang.





Kesungguhan kita mendidik hati serta keluarga dalam aspek mempelajari dan membaca al-Quran akan menjadi suatu usaha jihad yang menjanjikan pahala di sisi Allah. Inilah rumah tangga yang berspektrumkan keharuman cahaya kerahmatan Allah.



Baca dan renunglah dengan bersungguh peringatan Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda, Abu Dzar, katanya:





“Wahai Abu Dzar,

kamu pergi untuk mempelajari satu ayat al-Quran itu

lebih baik daripada kamu solat seratus rakaat.”



(Hadis riwayat Ibnu Majah)






Justeru, dari sini dapatlah kita mengerti betapa hebatnya amalan mempelajari dan membaca al-Quran sehingga pesanan berbuat demikian sentiasa saja diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda.





Rabu, 25 Januari 2012

Doa 'senjata ghaib' mohon pertolongan






Doa 'senjata ghaib' mohon pertolongan






Permohonan pemerintah adil, orang puasa dan dizalimi diterima Allah





DOA ialah permohonan atau pengucapan seorang hamba
dilakukan secara langsung dengan Allah SWT
dan setiap rintihan yang dimohon akan didengar Allah.
Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah
memanjatkan doa kepada-Nya






Firman Allah SWT yang bermaksud:





“Berdoalah kepada Tuhan kamu

dengan merendah diri dan perlahan-lahan.

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah

menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya


dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan.

Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.”




(Surah al-A’raaf, ayat 55-56)







" Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri

dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka

kepada orang yang melampaui batas.

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah

menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya

dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan.

Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik. -"





Surah al-A’raaf, ayat 55-56






Ketika menjelaskan perkara sama,
Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW
bersabda yang bermaksud:









“Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa,

dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur

melainkan memperbanyakkan amal kebajikan.”





(Hadis riwayat Tirmizi)









Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini,
pengaruh doa itu amat hebat sehingga mampu mengubah takdir Allah
dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana
ia dapat memanjangkan umur seseorang.








Pada saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa,
selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi
yang mampu memberi bantuan diperlukan,
ketika itu manusia akan sedar sesungguhnya kehidupan manusia
tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.







Ada kala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini
doa kita tidak dimakbul Allah SWT?.
Seorang sahabat iaitu Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah SAW
memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul.








Menurut Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda:







“Wahai Sa’ad, makanlah makanan yang baik (lagi halal)

tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya.

Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan

sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya,

maka tidak akan dikabulkan doanya selama 40 hari.

Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh dari makanan

yang haram maka nerakalah layak untuknya.”




(Hadis riwayat Thabrani)







Besarnya peranan doa dalam kehidupan umat Islam,
maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah.
Permohonan doa hendaklah mematuhi adab tertentu antaranya
suci daripada hadas, menghadap kiblat dan dimulai
dengan bacaan al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat





Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon pertolongan Allah.
Ada tiga golongan yang doa mereka diterima Allah bersandarkan
kepada hadis Qudsi disampaikan oleh Abu Hurairah
bahawa Rasulullah SAW bersabda:





“Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa

mereka iaitu pertama, doa orang berpuasa;

kedua, doa pemerintah adil;

dan ketiga, doa orang dizalimi,

di mana doa mereka terbuka luas dan Allah

memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi.”



(Hadis riwayat Tirmizi)







Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah mustajab.
Apalagi jika mereka itu orang yang lemah, tiada kuasa dan orang tua.
Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula
pertolongan Allah datang membantu.






Mereka yang melakukan kezaliman,
fitnah dan penganiayaan kepada manusia tidak akan terlepas begitu saja.







Firman Allah yang bermaksud:




“Sesiapa yang mengerjakan amal salih

maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri,

dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya

akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu

tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Nya.”




(Surah Fussilat, ayat 46)












Selasa, 24 Januari 2012

Pakai tudung cantik, tetapi gagal penuhi tuntutan syariat




Pakai tudung cantik,

tetapi gagal penuhi tuntutan syariat


Oleh Ashraf Muslim





Pakaian beri gambaran salah konsep menutup aurat






ORANG Islam mudah menerima? Persoalan itu wajar kita tanyakan apabila hakikatnya nampak begitu kerana apa juga yang terbaru dan terkini, pastinya kita tidak mahu ketinggalan. Mungkin perasaan perlu mengikut aliran dan tidak mahu ketinggalan mendorong kita mengikut arus.








Sebenarnya tidak salah mengikut arus, tetapi dalam kecenderungan kita menjadi sebahagian daripada perubahan, ada batas serta peraturan yang perlu dipatuhi khususnya sebagai umat Islam, tuntutan agama sentiasa menjadi penanda aras terhadap apa juga tindakan yang ingin kita lakukan.







Justeru, amat menyedihkan apabila ada yang mempertikaikan keputusan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama kerana yang diputuskan itu tidak memenuhi kehendak pihak tertentu atau secara jelas menentang kemahuan mereka.






Namun, saya bukan hendak membangkitkan beberapa
insiden besar yang berlaku dalam masyarakat
apabila ada pihak menentang atau mempersoalkan keputusan mereka
yang arif dalam hukum agama dengan pandangan
serta perbahasan mengikut pemikiran mereka.







Apa yang ingin saya ketengahkan ialah pemandangan biasa
dilihat dalam kalangan remaja, belia dan orang muda,
malah ada juga golongan dewasa yang menjadikan pemakaian tudung
ibarat pertunjukan fesyen, siapa lebih terkini gayanya
atau bijak menggayakan fesyen bertudung.







Sekali lagi, tidak salah bergaya untuk kelihatan cantik
kerana Allah sukakan yang cantik, tetapi biarlah kecantikan itu
yang benar-benar cantik. Dalam erti kata lain,
kecantikan pemakaian tudung biarlah mengikut syariat
serta matlamat utama kenapa ia diwajibkan terhadap perempuan Islam.







Apa yang terjadi sekarang,
pemakaian tudungnya sangat cantik dengan pelbagai gaya,
tetapi secara keseluruhan ia gagal memenuhi hikmah disyariatkan
bertudung apabila baju dipakai melekat pada badan,
berada di atas punggung dan seluar pula mengikut bentuk kaki,
tidak kira yang kurus panjang atau tidak kurang yang padat berisi.







Malah, ada yang apabila duduk,
ternampak pula sebahagian kulit badan di belakang
walaupun rambut yang menjadi sebahagian aurat
sudah elok tertutup. Itu yang menimbulkan persoalan,
inikah cara berpakaian yang dianjurkan Islam
kerana rasanya semua tahu akan jawapannya.







Perkembangan ini antara sedar atau tidak
turut memberi gambaran salah terhadap konsep
menutup aurat yang disarankan agama Islam.
Oleh itu, marilah bersama kita menilai,
memikirkan semula serta mengambil tindakan sebaiknya
supaya niat memenuhi tuntutan agama benar-benar
memberi manfaat serta ganjaran pahala,
bukan sebaliknya, menjadi usaha sia-sia.







Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:





“Wahai Nabi,

suruhlah isteri-isterimu,

anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman,

supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup

seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar),

cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal

(sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu

mereka tidak diganggu.

Dan (ingatlah) Allah

adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”



(Surah al-Ahzab, ayat 59)






Menyedari perlunya menjaga batasan antara lelaki dan perempuan,
kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah menggalakkan
wanita yang datang untuk mendapatkan rawatan memakai
telekung supaya batas aurat itu terjaga sebaiknya.
Sebahagian besar yang datang memang menutup aurat dan bertudung,
tetapi bagi kami, lebih baik mengambil langkah
boleh mencegah daripada timbulnya fitnah.






Ini hanyalah pandangan peribadi kerana saya akur
naluri manusia yang berbeza serta pandangan terhadap
sesuatu itu pelbagai mengikut tahap kefahaman atau cara mereka
ingin memahami sesuatu peraturan dan syariat agama.
Tetapi sebagai insan kerdil yang melihat berlaku
kelemahan dalam masyarakat, rasanya tidak salah
saya membangkitkan isu ini.






Tambahan dengan pembaharuan yang berlaku begitu pantas,
industri pakaian serta fesyen turut menerima tempiasnya
maka kita dapat lihat macam-macam rekaan terkini
memenuhi pasaran. Ada yang sesuai untuk wanita Islam
dan ada jelas tidak mematuhi kehendak syarak.






Dalam membicarakan soal pakaian wanita,
Islam tidak menetapkan pakaian tertentu,
tetapi wanita Islam perlu mengikuti garis panduan syarak
dengan memastikan pakaian itu hendaklah menutup aurat mereka,
menutup dengan sebenar-benarnya.






Antara tujuan berpakaian itu ialah untuk
menutupi atau melindungi bahagian yang tertentu.
Jika mereka memilih pakaian nipis atau jarang hingga boleh
dikesan atau dilihat auratnya, maka ini bererti pakaian
yang dipakai sudah tidak berfungsi lagi.





Semoga ibadah kita dan kesungguhan
memenuhi tuntutan syariat menjadikan kita
termasuk dalam golongan yang sentiasa mendapat
keredaan serta rahmat Allah.





INFO




Ayat untuk gangguan sihir,
surah al-Fusilat (ayat 25-44) dan surah al-Mukminun (ayat 105-118).
Amalkan membacanya dan banyakkan berdoa kepada Allah.











Rawat hati yang keras dengan menimba ilmu, baca al-Quran, berzikir




Ingat azab kubur buat persiapan hadapi kematian





Rawat hati yang keras dengan menimba ilmu,

baca al-Quran, berzikir dan utamakan sifat rendah diri






SETIAP detik pasti ada orang yang meninggal dunia dan pada setiap detik juga pasti ada bayi baru dilahirkan. Begitulah rutin kehidupan dunia ini. Yang hidup akan mati, yang pergi akan digantikan dengan yang baru.









Kita di dunia umpama seorang musafir yang singgah sebentar berteduh di bawah sebatang pokok. Kemudian kita akan meneruskan perjalanan ke alam kubur atau alam barzakh yang menurut kamus Mukhtar al-Shahhah oleh Abu Bakr al-Razi, barzakh bermaksud dinding pembatas antara dua benda.









Berdasarkan (iktikad) Ahli Sunnah wa al-Jama’ah,
setiap manusia akan berada dalam satu alam dinamakan alam barzakh,
terletak antara alam dunia dan alam akhirat.







Hal ini bersesuaian firman Allah SWT yang bermaksud:






“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu

apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka,

berkatalah dia: Wahai Tuhanku,

kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) –

supaya aku mengerjakan amalan salih dalam perkara

yang telah aku tinggalkan.

Tidak! Masakan kau akan dapat?

Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah

kata-kata dia saja yang mengatakannya,

sedang di hadapan mereka alam barzakh (dinding)

hingga hari mereka dibangkitkan semula

(pada Hari Kiamat).”




(Surah Al-Mukminun, ayat 99-100)









Seseorang yang sudah mati dan berada di alam barzakh
dapat menjangkakan sama ada dia akan mendapat kenikmatan
atau kesengsaraan di akhirat kelak.







Perkara ini disebut dalam riwayat Imam al-Tirmidzi,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:






“Sesungguhnya kubur itu ialah

penginapan pertama antara penginapan akhirat,

maka sekiranya seseorang itu terlepas daripada seksaannya,

maka apa yang akan datang kemudiannya

akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu

tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya),

maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat).”







Dr A’idh Abdullah al-Qarni menulis dalam sebuah bukunya
yang cukup terkenal bertajuk Malam Pertama di Alam Kubur,
seorang penyair Arab pernah mendendangkan syairnya:






“Aku tinggalkan tempat tidurku

pada satu hari, kemudian aku terserkap membisu.

Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain.

Aku berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku

menuju alam lain.

Kubur adalah malam pertama.

Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam itu .

Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba.”







Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang manusia akan berakhir di dalam kubur. Al-Rifa’i berkata:






“Setiap orang yang takut pada sesuatu

pasti akan menghindarinya, kecuali kubur.

Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia

akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu,

dan apabila engkau masuk ke dalamnya,

engkau tidak akan kembali selama-lamanya.

Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan:

Dulu dia menikmati pemandangan yang indah,

kini matanya telah tertanggal, dulu lidahnya petah bertutur,

kini cacing tanah telah memakan mulutnya.

Dulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”







Umar bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa sahabatnya dalam satu majlis:






“Wahai fulan!

Engkau telah melepasi satu malam,

adakah pernah kau terfikir mengenai kubur dan penghuninya?

Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar dalam kubur,

pasti kau tak akan berani mendekatinya.”






Pada suatu ketika pula, Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya. Apabila jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang bersurai kecuali beliau dan beberapa sahabatnya yang masih tidak berganjak dari kubur itu.





Tidak lama kemudian sahabatnya bertanya:





“Wahai Amirul Mukminin,

kau adalah wali kepada jenazah ini,

mengapa engkau perlu menunggunya lagi

sedangkan dia telah meninggalkanmu.

Umar pun berkata:

Ya, sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang.

Mahukah kalian tahu apakah

yang dikatakannya kepadaku:

Mereka menjawab:

Sudah tentu wahai Amirul Mukminin.
"






Kubur ini memanggilku dan berkata:





"Wahai Umar bin Abdul Aziz,

mahukan aku ceritakan kepadamu apakah

yang akan aku lakukan kepada jenazah yang kau cintai ini?

Ya, jawab Umar. Kubur itu menjawab:

Aku akan bakar kain kapannya,

aku robek badannya, aku sedut darahnya

serta aku kunyah dagingnya.
"





Kubur berkata:







" Mahukah engkau tahu apa yang akan aku

lakukan pada anggota badannya?

Sudah tentu jawabku.

Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan,

dari tangan ke lengan,

dan dari lengan menuju ke bahu.

Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, peha dari lututnya.

Aku cabut lutut itu dari betis.

Dari betis menuju ke telapak kakinya.
"





Setelah mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan berkata:






" Ketahuilah sahabatku,

umur dunia hanya sedikit.

Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan.

Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati.

Celakalah mereka yang tertipu olehnya.

Celakalah aku, bagaimana keadaanku

ketika bertemu malaikat maut,

saat rohku meninggalkan dunia?

Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku."









Dia terus menangis dan terus menangis, lalu pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau meninggal dunia.”







Antara syarat kemenangan dan kejayaan seorang hamba ialah mempersiapkan diri menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Tetapi ramai kalangan kita mengabaikan peringatan dan ancaman berbahaya ini.






Jika pun kita mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa. Tahukah saudaraku, mengapa ini berlaku. Hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap dari cahaya.





Jalan Allah tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki, tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan hati. Jika kita merasakan hati keras dan beku, rawatilah dengan penjelasan dahsyatnya kubur supaya ia hidup kembali.





Untuk merawat hati yang keras, memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir; sentiasa merendah diri dan menangis di hadapan Allah; menghadiri majlis ilmu; mengingati mati dan menziarahi kubur.





Jelaslah kepada kita bahawa kematian itu pasti, ia tidak tertangguh walaupun sedetik. Disebabkan kedatangannya adalah satu misteri maka manusia hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersedia.






Penulis ialah

Penolong Pengarah

Bahagian Penerbitan dan Multimedia

Masjid Negara











Bersama Ustaz Zahazan




Persoalan Agama:


Hukum isteri derhaka sekadar didik,


bukan seksa



Bersama Ustaz Zahazan









USTAZ, ada suami yang sewenang-wenangnya menumbuk isterinya sehingga lebam di muka dan badan. Persoalannya benarkah Islam membenarkan suami memukul isteri sekiranya si isteri derhaka kepada suami? Kalau si suami yang derhaka, bolehkah si isteri memukul suaminya? Terima kasih.






PUAN ROSMAH,

Kuala Perlis.











ISLAM sekali-kali tidak membenarkan kepada si suami menggunakan kekerasan. Tidak ada dalam satu riwayat pun yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah menengking isteri-isterinya, apatah lagi memukul mereka.








Bagaimanapun, Islam telah menentukan langkah-langkah yang perlu diambil oleh si suami apabila menghadapi isteri yang derhaka. Namun ia tidaklah sama dengan mengatasi suami yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada isteri. Si isteri tidak boleh menghukum suaminya sekiranya suami tidak menunaikan haknya.








Islam memberi hak kepada suami untuk menghukum isterinya kerana suami adalah pemimpin dalam rumah tangga. Namun perlu diingat, hukuman itu bukan bertujuan menyeksa isteri dan bukan menghina isteri.








Tindakan itu hanyalah bertujuan untuk mendidik mereka dan menghindari dari berlakunya kehancuran rumah tangga.








Allah SWT menyebut dalam surah an-Nisa ayat 34 yang bermaksud:








“Lelaki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri)

kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki)

atas sebahagian yang lain (perempuan) dan kerana mereka (lelaki)

telah memberikan nafkah daripada hartanya.

Maka perempuan-perempuan yang salihah,

adalah mereka yang taat (kepada Allah)

dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada,

kerana Allah telah menjaga (isteri).
"








Maksud menjaga isteri iaitu Allah mewajibkan si suami menggauli isterinya dengan baik. Pada sambungan ayat itu Allah telah menyebut langkah-langkah yang perlu diambil oleh suami apabila isterinya derhaka iaitu,










“Perempuan-perempuan yang kamu bimbangkan

akan nusyuz (derhaka), hendaklah kamu

memberi nasihat kepada mereka,

tinggalkanlah mereka di tempat tidur (pisah ranjang),

dan (kalau perlu) pukullah mereka.”








Justeru, perlu difahami baik-baik terutama bagi suami, langkah pertama yang perlu diambil ialah mengingati dan menasihati isteri dengan berhikmah atau bijaksana. Isteri yang melakukan kesalahan jangan terus dimarahi dan dikasari tetapi hendaklah dinasihati dengan baik supaya ia kembali menunaikan hak suaminya. Umumnya, isteri akan kembali mentaati suaminya selepas dinasihati dengan lemah lembut dan berhikmah.







Tetapi isteri yang tidak mengubah sikap dan kelakuan mereka dengan nasihat atau teguran, bahkan menunjukkan kedegilan mereka dan bertambah buruk setelah ditegur, maka wanita seperti ini hendaklah diluruskan dengan langkah yang kedua. Caranya iaitu dengan mengasingkan diri seperti firman Allah SWT iaitu:








“Dan pisahkan tempat tidur mereka”.









Maksud mengasingkan tempat tidur iaitu suami membelakangkan isterinya dan jangan berpaling kepadanya. Ayat itu bukanlah menyuruh suami meninggalkan isterinya keseorangan di tempat tidurnya atau suami meninggalkan rumahnya. Cara ini mengandungi hikmah yang cukup tinggi.








Tetapi sekiranya cara ini pun tidak berkesan, maka hendaklah mengambil langkah yang lain iaitu memukulnya seperti firman Allah SWT pada ayat yang sama:






“dan pukullah mereka.”






Hukuman seperti ini tidak boleh dilakukan kecuali setelah menggunakan cara yang pertama dan kedua. Walaupun ayat ini membenarkan suami untuk memukul isteri tetapi dengan syarat. Syarat itu iaitu jangan bertujuan untuk kekerasan serta jangan menghina dan menyakitkan.








Dalam menjalankan hukuman, hendaklah dilakukan berdua-duaan suami isteri. Jangan dilakukan di hadapan kaum kerabat ataupun lebih-lebih lagi orang luar. Bahkan tidak boleh sekali-kali dilakukan di hadapan anak-anak kerana ia boleh memberi pengaruh yang tidak baik kepada perkembangan jiwa anak-anak. Ada kemungkinan apabila dilakukan di hadapan anak-anak, mereka akan membenci bapa atau ibu atau kedua-duanya. Begitu juga si suami apabila telah menghukum isterinya, dilarang sama sekali menceritakan kepada kawan-kawannya kerana ia boleh menjadikan si isteri berasa malu dan perasaannya tersinggung.









Kemungkinan si isteri tidak akan mengubah sikapnya atau sikapnya mungkin akan menjadi lebih buruk. Hukuman itu hendaklah dijalankan secara berperingkat, sekiranya sudah ada tanda-tanda yang menunjukkan hasil, hendaklah dihentikan dan tidak boleh mengenakan hukuman yang lebih berat. Sekiranya si suami melakukan juga, maka si suami dikira zalim. Pada penghujung ayat, Allah SWT berfirman yang bermaksud:







“Tetapi jika mereka (isteri-isteri) mentaatimu,

maka janganlah kamu mencari alasan

untuk menyusahkan mereka.

Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”





Demikianlah, wallahualam.




Penawar Di Kala Kepenatan






PENAWAR PENAT



OLEH RASULLULLAH SAW





Penawar Di Kala Kepenatan




Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di
rumah mahu pun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh
Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai
penawarnya.







Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada

suaminya Saidina Ali bin Abu


Talib tentang kesakitan pada tangannya

kerana keletihan menggiling gandum


untuk membuat roti. Saidina Ali berkata :


"Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang.

Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu."






Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk
mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah.
Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak
kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta
menantu itu.






Baginda s.a.w. berkata:





"Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara

yang lebih baik daripada apa

yang kamu minta daripadaku?

Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur,


bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali,

bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali

dan

bertakbir (Allahuakbar) 33 kali.

Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua


daripada seorang khadam."






Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan

kepada anak dan menantunya

bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.







Saidina Ali terus mengulang-ulang

kalimah-kalimah Rasulullah.s.a.w. ini.


Katanya:-







"Demi Allah ,

aku tidak pernah meninggalkannya

semenjak ia diajarkan


kepadaku."






Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu,

suami-suami atau sesiapa sahaja yang

merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian

supaya mengamalkan membaca:


'Subhanallah' (33 kali),

'Alhamdulillah' (33 kali) dan

'Allahuakbar' (33 kali)


pada setiap malam iaitu

sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan),

Insya-Allah

petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan

bebanan-bebanan hidup seharian kita.


Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari

dengan senyuman.






Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa

Rasulullah S.A.W bersabda:





"Apabila Allah menyintai seorang hambanya,

Allah akan memanggil malaikat Jibril dan berkata:


Allah menyintai si fulan maka cintailah dia.

Jibril pun menyintai hamba tersebut dan kemudian

mengumumkan kepada penduduk langit

dengan berkata:


Sesungguhnya Allah

menyintai si fulan maka cintailah dia.

Semua penduduk langit pun menyintainya.

Kemudian diletakkan penerimaan bagi hamba tersebut

di bumi (maksudnya disenangi dan disayangi)."






( Hadis no.3209 riwayat

Imam al-Bukhari dalam kitabnya

Sahihal-Bukhari )