Persoalan Agama:
Setiap makhluk dicipta sesuai fitrah kejadian
Soalan: BENARKAH manusia makhluk paling sempurna dan mulia?
Adakah ini bermakna makhluk lain tidak sempurna?
RASHID,
Seri Kembangan, Selangor.
Jawapan:
TIADA perselisihan dalam kalangan ulama berhubung kesempurnaan penciptaan manusia. Banyak dalil agama dapat dikemukakan untuk membuktikannya. Antaranya seperti dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya
Kami menciptakan manusia
dalam bentuk sebaik-baiknya.”
(Surah at-Tin, ayat 4)
Kesempurnaan manusia lahir apabila sempurnanya fizikal dan mental sehingga mampu melaksanakan fungsi sebagai khalifah. Allah SWT mencipta manusia dengan potensi demikian sehingga manusia adalah makhluk paling sempurna untuk tujuan ini, bahkan lebih sempurna daripada malaikat.
Ayat ini berkaitan dengan kesempurnaan manusia dibandingkan dengan makhluk lain dan makna kesempurnaan. Tetapi jika kita lihat, ada juga ayat menyebut secara tegas mengenai kesempurnaan ciptaan Allah SWT seperti firman-Nya bermaksud:“(Allah) menciptakan
segala sesuatu dengan sebaik-baiknya (sesempurna)
penciptaan dan Dia memulai ciptaan manusia daripada tanah.”
(Surah as-Sajdah, ayat 7)
Kesempurnaan manusia dan makhluk lain ciptaan Allah hendaklah dilihat fungsi dan tujuan penciptaannya.
Kesempurnaan manusia lahir apabila sempurnanya fizikal dan mental sehingga mampu melaksanakan fungsi sebagai khalifah. Allah SWT menciptakan manusia dengan potensi demikian sehingga manusia adalah makhluk paling sempurna untuk tujuan ini, bahkan lebih sempurna daripada malaikat. Iblis dicipta Allah untuk menggoda manusia adalah makhluk sempurna melebihi kesempurnaan manusia dan malaikat dalam hal menggoda dan merayu. Setiap makhluk dicipta sesuai dengan fitrah kejadian dalam bentuk sebaik-baiknya.
Fitrah ialah unsur dan sistem Allah anugerahkan kepada setiap makhluk. Fitrah ialah apa diciptakan Allah dalam diri manusia. Ia adalah gabungan unsur tanah yang melahirkan jasmani manakala unsur rohani melahirkan akal dan jiwa.
Kecenderungan kepada lawan jenis adalah fitrah manusia. Ingin memiliki keturunan dan cinta ialah fitrah manusia. Allah menciptakan manusia dengan beberapa gambaran fitrah di atas. Penciptaan (selain Adam, Hawa dan Isa) semuanya hingga kini berlaku melalui pertemuan sperma dan ovum.
Perkara menarik ketika Allah mengkhabarkan penciptaan Adam, Dia menggunakan kalimah:
“Aku menciptakan (khalaqtu)”.
Tetapi ketika berbicara mengenai manusia, kalimah digunakan berbentuk pasif:
“Diciptakan (khuliqa) atau Kami ciptakan (khalaqna)."
Kata ‘Kami’ menunjuk kepada Tuhan biasa digunakan untuk memberitahu keterbabitan selain Tuhan dalam kerja dimaksudkan. Ini bererti ketika Allah menyatakan “Kami menciptakan manusia”, bermakna ada keterbabitan ibu dan bapa dalam proses kejadian itu.
Keterbabitan ini tidak hanya memilih jodoh atau mempertemukan sperma dan ovum melainkan mencipta suasana psikologi serta memilih makanan tertentu bagi perkembangan janin.
Dalam Islam dianjurkan mencipta suasana harmoni ketika mengadakan hubungan suami isteri seperti berdoa. Begitu juga ibu mengandung mesti makan makanan tertentu demi kesihatan janinnya.
Dalam buku at-Thifl bayan al-Waratsah waat-Tarbiyah, Syaikh Taqiyuddin Falsafi mengemukakan riwayat keagamaan. Antaranya,
“Berilah kurma kepada wanita
pada bulan dia melahirkan kerana
akan menjadikan anaknya berlapang dada
dan bertakwa.”
Makanan penting dalam pembentukan sifat janin. Cacat dan sengsara pada janin adalah yang cacat dan sengsara dalam perut ibunya. Bahagia atau sempurna janin adalah yang bahagia dan sempurna dalam perut ibunya. Justeru, kandungan ibu adalah faktor utama kesempurnaan atau cacatnya bayi. Dapat dilihat cacat fizikal dan mental bayi boleh jadi akibat daripada ibu bapanya ketika hubungan, mahupun ketika dalam kandungan. Dari sini kita dapat fahami mengapa Allah menggunakan perkataan “Kami” ketika mengkhabarkan mengenai keturunan manusia.
Demikianlah, wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.