Persoalan Agama:
Orang bukan Islam turut dihisab,
lalui titian sirat di akhirat
Bersama Ustaz Zahazan
APA yang saya faham, seorang Islam wajibberiman dengan timbangan mizan dan titian sirat.
Persoalan saya, adakah orang bukan Islam juga
akan ditimbang amalannya atau terus dicampakkan
ke dalam neraka?
Adakah titian sirat itu titian
di atas neraka jahanam atau ia semata-mata simbolik.
UMAR,
Kuantan, Pahang.
“Kitab (al-Quran) ini tiada keraguan padanya;
petunjuk bagi mereka yang bertakwa.
(iaitu) mereka beriman kepada perkara ghaib.”
(Surah al-Baqarah, ayat 2 dan 3)
Mizan dan sirat adalah antara perkara ghaib yang wajib diyakini. Mizan adalah timbangan amal manusia di akhirat bagi menentukan kedudukan seseorang, sama ada ahli neraka atau ahli syurga.
Sirat pula ialah titian atau jambatan merentangi pintu neraka untuk sampai ke surga. Sesiapa yang tidak dapat melepasi titian akan jatuh ke dalam neraka. Bagaimana keadaan seseorang melaluinya berdasarkan amalan masing-masing.
Pandangan mengatakan mizan tiada untuk orang kafir tidak benar. Sesiapa yang hidup di dunia ini, tidak kira Muslim atau kufur tetap dihisab dan ditimbang serta akan melalui sirat di akhirat kelak. Justeru, jika mereka tidak ditimbang, ini menunjukkan ketidakadilan. Sifat tidak adil dan kejam adalah mustahil bagi Allah SWT. Segala perbicaraan dan penentuan kesudahan seseorang itu akan berlaku seadil-adilnya.
Tiada sesiapa terlepas daripada perbicaraan dan timbangan ini. Allah SWT berfirman bermaksud:
“Sesungguhnya kepada Kamilah
mereka akan kembali dan sesungguhnya
kewajipan Kamilah menghitung mereka.”
(Surah al-Ghasyiah, ayat 25 dan 26)
Umumnya semua puak dan golongan dalam aliran ilmu al-Kalam mempercayai adanya sirat dan mizan di akhirat kelak. Namun ada segelintir berbeza pendapat dengan pendapat ramai seperti golongan Salimiyyah di Basrah mengingkari adanya mizan dan hisab untuk orang kafir. Pada pandangan mereka, orang kafir akan terus dicampak ke dalam neraka tanpa perlu ditimbang dan dihisab lagi.
Imam Ahamd Hambal ada menjelaskan sememangnya ada timbangan atau mizan menimbang amalan manusia di akhirat nanti, baik amalan itu berupa kebaikan atau kejahatan. Ia disokong oleh Imam al-Qurtubi yang mengatakan timbangan amalan di akhirat adalah benar. Selain itu, Imam Ahmad juga menyatakan wujudnya titian atau sirat, di mana ia dibentangkan di akhirat nanti. Ia mesti dilalui setiap manusia sama ada beriman atau sebaliknya.
Ibnu Kathir rhm ada menyebut hadis mengenai benarnya sirat dan mizan. Mu’tazilah juga mempercayai adanya mizan dan sirat di akhirat nanti bagi mengadili dan menimbang amalan manusia. Mereka mempercayai sirat adalah jalan merentangi pintu neraka. Ia akan dilalui semua orang selepas dihisab amalan mereka. Ibnu Kathir rhm menjelaskan semua itu dengan berdalilkan beberapa hadis sahih, antaranya, “as-sirat itu hamparan (titian) di atas neraka jahanam. Demikianlah, wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.