Khamis, 8 Disember 2011

Iman, takwa benteng ummah harungi cabaran siber




Iman, takwa benteng ummah

harungi cabaran siber





Umat Islam mesti bersatu padu tangani perselisihan berteraskan syarak, elak perpecahan



PERISTIWA hijrah membuktikan perpaduan umat Islam antara Muhajirin dan Ansar adalah inti pati kejayaan hijrah serta perjuangan Islam. Memasuki dunia baru yang serba-serbi global dan bersifat sejagat tidak memungkinkan kita hidup dalam keadaan terasing atau bersendiri.

Penghijrahan kaum Muslimin di bawah pimpinan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah adalah satu dimensi baru kepada dakwah Islamiah dan simbolik kepada penghayatan ajaran Islam sebenar. Ia juga detik terpenting kepada pembaharuan sistem nilai dan hidup manusia.





Penghijrahan yang juga proses kematangan penyebaran risalah Allah SWT tidak mungkin berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam berdepan suasana baru. Selepas hijrah, komitmen paling utama umat Islam ialah memantapkan kefahaman, akidah tauhid dengan mendalami ilmu agama, penghayatan al-Quran, mengkaji sejarah dan perjuangan Rasulullah SAW serta sahabat, perbincangan ilmiah sesama cendekiawan Islam selain menguatkan hubungan dengan Allah. Dunia tanpa sempadan dan kemajuan menyatukan pelbagai negara, bangsa serta budaya adalah cabaran berhajatkan umat Islam bersatu padu. Percanggahan pada perkara pokok mesti dielakkan manakala perselisihan masalah cabang memerlukan sikap keterbukaan dan berlapang dada. Umat Islam perlu sedar, musuh Islam pasti akan bersatu apabila berhadapan dengan Islam.








Firman Allah SWT yang bermaksud:



“Orang Yahudi dan Nasrani

tidak akan senang kepada kamu

sehingga kamu mengikuti agama mereka.”


(Surah al-Baqarah, ayat 120).








Rasulullah SAW sendiri dalam misi Baginda telah menanam benih perpaduan, persaudaraan, tolong menolong, pengorbanan, kecintaan dan ketakwaan dalam sanubari golongan Muhajirin dan Ansar. Itulah sebenarnya unsur paling penting kepada umat Islam sebagai persediaan menghadapi cabaran dari kaum kuffar, golongan munafik, iblis atau nafsu sendiri. Perjuangan meneruskan misi Rasulullah SAW meninggikan kalimah Allah sehingga menjadi rahmat kepada sekalian alam, memerlukan keyakinan tinggi dan mantap. Ummah perlu yakin berbekalkan keimanan, semangat jihad dan panduan berasaskan al-Quran dan as-Sunnah, perjuangan menyampaikan risalah Islam akan berjaya dan mendapatkan pertolongan serta inayah Allah SWT.










Perubahan zaman begitu pantas sebenarnya menghambat umat Islam melakukan persediaan jitu bagi menghadapi perubahan dengan menyediakan barisan pelapis generasi muda yang bukan saja sedia menghadapi ledakan perubahan bahkan meneruskan perjuangan memartabatkan Islam.
Dunia tanpa sempadan dan cabarannya hanya mampu diharungi generasi umat yang bersedia dari segi mental, fizikal dan spiritual.











Penghijrahan nilai, etika dan peradaban hidup perlu diberi perhatian khusus dalam membentuk sebuah negara menuju alaf baru dan sejahtera. Tiada guna kita maju ke depan dalam bidang teknologi dan kecanggihan maklumat, tetapi jiwa senang dibawa arus hawa nafsu dipimpin syaitan.
Umat Islam perlu merenung dan berfikir mengenai keruntuhan kaum terdahulu supaya dapat memperkukuhkan jiwa menghadapi cabaran baru.









Sebab itulah hijrah mengajar kita bersikap matang dalam mengambil sesuatu keputusan atau tindakan.
Kewarasan bertunjangkan syariat, ketenangan bertunjangkan iman dan takwa melahirkan kematangan, perlu disemai serta disemat dalam jiwa umat Islam di zaman siber ini kerana tindakan hanya berlandaskan akal atau nafsu boleh menyebabkan negara dan ummah rosak binasa. Kita tidak boleh semata-mata meletakkan kebenaran atas suara ramai. Justeru, kita perlu berpegang kepada prinsip berlandaskan al-Quran dan hadis.










Ketika Rasulullah SAW ditawarkan harta, pangkat dan wanita supaya meninggalkan seruan Islam, Baginda bersabda yang bermaksud:









“Sekiranya diletakkan matahari

di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku

supaya aku meninggalkan pekerjaan ini,

tidak sekali-kali aku tinggalkan

sama ada aku berjaya atau menemui ajal.”











Hari ini, jelas kelihatan masyarakat Islam semakin tidak bersatu-padu, sekalipun mereka mengetahui bahawa kehidupan begitu adalah sifat masyarakat jahiliah. Keadaan masyarakat kebanyakannya hidup dengan mempertahankan serta mementingkan diri boleh melemahkan ummah dan negara.
Sikap individualistik tidak sepatutnya dididik dalam pemikiran umat Islam terutama generasi muda. Sejarah membuktikan bagaimana umat Islam menjadi mangsa kekejaman, pembunuhan dan permainan musuh Islam lantaran perpecahan di kalangan mereka.










Penulis ialah

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah

dan

Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia.


Kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom
.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.