Puasa hari Asyura peluang tingkat takwa
TARIKH 10 Muharam mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan bersama seperti dicatatkan Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mukasyafatul Qulub. Antara peristiwa dikaitkan dengan tarikh itu ialah dicipta Nabi Adam dan dimasukkan Adam ke dalam syurga.
Dicipta arasy, kursi, langit, matahari, bulan, bintang; dilahirkan Nabi Ibrahim; diselamatkan Nabi Ibrahim daripada api Namrud; selamatnya Musa dan pengikutnya; lemasnya Firaun; dilahirkan Nabi Isa dan mendaratnya kapal Nabi Nuh di atas bukit Judy.
Selain memperingati peristiwa itu, kedatangan 10 Muharam turut dirai umat Islam dengan melakukan puasa sunat atau lebih dikenali sebagai hari Asyura. Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berpuasa pada hari itu kerana ia mempunyai kelebihan.
Daripada Aisyah, katanya:
“Biasanya orang Quraisy ketika jahiliah
berpuasa pada hari Asyura dan
Nabi SAW pun berpuasa.
Ketika tiba di Madinah,
Baginda juga berpuasa pada hari Asyura
dan menyuruh orang lain berpuasa juga.”
(Hadis riwayat Muslim)
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan buatlah perbezaan padanya (daripada) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Hadis riwayat Ahmad) Ulama menyebut, hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a (9 Muharam) untuk membezakan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam).
Digalakkan juga berpuasa pada 9 Muharam sebagai langkah berhati-hati kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Dengan itu, hari 9 Muharam dalam pengiraan adalah hari ke-10 Muharam.
Bagi maksud menyambung puasa hari Asyura dengan satu hari puasa lain kerana tegahan Rasulullah SAW iaitu berpuasa satu hari saja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidak menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari pada hari Asyura.
Imam Syafie menyebutkan dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imlak disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu’a), ke-10 (Asyura) dan ke-11 Muharam.
Abu Qatadah al-Anshari berkata, Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab Baginda:
“Semoga dapat menghapus dosa tahun lalu
dan yang akan datang.
Kemudian Nabi ditanya pula puasa
hari Asyura (10 Muharam).
Jawab Baginda:
“Semoga dapat menghapuskan dosa tahun lalu.”
(Hadis riwayat Muslim)
Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya termasuk peluang melakukan amal ibadat tertentu dengan pahala berlipat ganda berbanding amalan dilakukan pada waktu biasa. Contohnya, Allah memuliakan bulan Muharam dan menggalakkan kita berpuasa sunat.
Diriwayatkan daripada Mu’awiyah Abu Sufyan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Ini adalah hari Asyura
dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa
sedangkan aku berpuasa.
Maka sesiapa yang hendak berpuasa
maka berpuasalah
dan sesiapa mahu (tidak berpuasa)
maka berbukalah dia (boleh tidak berpuasa).”
(Hadis riwayat Bukhari)
Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui kelebihannya tetapi hakikat itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim mencari keredaan Allah SWT dengan tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu dikurniakan padanya.
Oleh itu, marilah bersama menyahut seruan Rasulullah SAW ini mudah-mudahan ketakwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.