Rabu, 28 Disember 2011

CINTA kerana ALLAH











CINTA yang hakiki yang didasarkan kerana Allah ialah apabila seseorang itu tidak mencintai orang lain kerana peribadi (zat) seseorang itu, tetapi semata-mata kerana kebaikan yang akan diperolehinya di akhirat kelak dari sahabatnya itu. Misalnya, seseorang yang mencintai gurunya sebab dengan guru itu ia memperolehi ilmu pengetahuan serta memperbaiki amalannya, dan tujuan utamanya ialah dengan ilmu pengetahuan dan amalan yang dilakukannya itu dapat memberi kebaikan kepadanya di akhirat nanti. Orang yang sedemikian inilah termasuk dalam golongan para pencinta yang bertujuan mencari keredhaan Allah swt.
















Demikian pula seseorang yang mencintai muridnya, sebab kepada muridnya itulah ia dapat mencurahkan ilmu pengetahuannya dan dengan perantaraan murid itu pula ia memperolehi darjat atau tahap sebagai pengajar atau guru. Guru yang sebeginilah yang disebut mencintai orang lain untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.















Bahkan seseorang yang suka menyedekahkan hartanya kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk dan riak, suka menjemput para tetamu lalu menjamu mereka dengan berbagai makanan yang lazat-lazat serta yang aneh masakannya yang dilakukan semata-mata kerana untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ia suka kepada tukang masak yang pandai kerana teliti dan baik cara masakannya, maka orang itupun termasuk dalam golongan pencinta untuk mencari keredhaan Allah swt.















Selain itu, termasuk juga dalam golongan ini orang yang mencintai seseorang yang suka menyampaikan sedekah atau zakatnya kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Ia mencintainya kerana Allah swt. Demikian pula seseorang yang mencintai pembantunya yang membantu dirinya untuk mencuci pakaian atau membersihkan lantai rumah atau memasak makanannya, kemudian dengan demikian itu ia dapat mencurahkan ilmu pengetahuan serta amal solehnya, dan maksudnya menggunakan pembantu untuk menjalankan tugas-tugas tadi adalah untuk terus menerus dapat beribadat, itu juga termasuk dalam golongan orang yang mencintai kerana Allah swt.

















Sementara itu, seseorang yang mencintai orang yang memberi nafkah dari hartanya dan mencukupi pakaian, makanan serta tempat tinggalnya dan juga segala keperluan yang diperlukannya dalam kehidupan dunia, dan maksudnya ialah bahawa dengan demikian itu ia dapat memusatkan perhatian dan seluruh waktunya untuk menuntut ilmu pengetahuan atau melakukan amal soleh yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah swt, maka orang inipun termasuk dalam golongan mereka yang cinta mencintai kerana Allah swt.





















Orang-orang salaf dahulu, sebahagian diantara mereka itu ada yang segala keperluannya ditanggung dan dicukupi oleh hartawan dan mereka yang berkemampuan. Maka kedua belah pihak tadi, baik yang memberi kegembiraaan atau yang diberi kegembiraan adalah termasuk di dalam mereka yang saling cinta mencintai untuk keredhaan Allah juga.
















Apabila seseorang itu mengahwini seorang wanita yang solehah, yang dengan demikian itu dilakukan agar dirinya terhindar dan terjaga dari godaan syaitan dan dapat menjaga agamanya dan agar dapat dikurniakan oleh Allah swt seorang anak yang soleh atau seseorang yang mencintai isterinya kerana isterinya itulah yang merupakan perantara atau alat kepada pelaksanaan hukum-hukum Islam, maka kedua-dua golongan ini juga termasuk di dalam mereka-mereka yang cinta mencintai kerana Allah swt.
















Juga seseorang yang dalam hatinya ada perasaan cinta kepada Allah dan dunia, seperti seseorang yang mencintai seorang guru yang mengajarnya ilmu pengetahuan, baik ilmu agama atau lainya, lalu ia memberikannya perbelanjaan, sehingga tidak lagi memikirkan keperluan dunia, umpamanya dengan menggembirakan hatinya dengan cara memberikan sebahagian hartanya, maka orang ini pun termasuk di dalam golongan mereka yang cinta mencintai kerana Allah swt.

















Sememangnya, syarat mencintai Allah bukan dengan tidak mencintai harta dunia, sehingga dunia ditinggalkan terus, itu tidak benar, sebab isi doa yang diperintahkan oleh para Nabi s.a.w itu mencakupi antara kepentingan dunia dan akhirat sebagaimana yang tertera dalam ayat Al-Quran :














وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ













201. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".




( Surah al-Baqarah : Ayat 201 )









Juga dalam hadis disebutkan suatu doa :


" Ya Allah, sesungguhnya saya memohon padaMu, suatu rahmat yang dengannya itu dapatlah saya memperolehi keutamaanMu di dunia dan di akhirat. "

(Diriwayatkan oleh Tirmidzi)



Demikianlah erti yang sebenarnya dalam persoalan mencintai Allah dan cinta mencintai keranaNya.



Selanjutnya perlu kita maklum, bahawa apabila kecintaan kerana Allah sudah benar-benar kuat dalam jiwa seseorang, maka itulah yang akan menimbulkan perasaan menghargai, suka menolong dan dermawan, membelanjakan segala yang dimiliki, baik jiwa, harta dan ucapan yang berupa nasihat yang baik dan terpuji.






Perbezaan setiap manusia dalam perkara kecintaan sebagaimana yang dihuraikan di atas itu adalah bergantung kepada kesedaran dan keinsafan mereka tentang erti kecintaan pada Allah swt itu sendiri. Kadang-kadang seseorang itu akan menerima suatu ujian dalam menghadapi masalah-masalah yang berkaitan dengan keuntungan atau bahagian untuk dirinya sendiri, bahkan kadang-kadang ia memenanginya, sehingga untuk dirinya sendiri tidak ada bahagian yang diperolehinya. Adakalanya juga bahagian itu diperolehi oleh orang yang dicintai itu kesemuanya.






Sementara itu, ada pula cinta yang dilakukan dengan cara meninggalkan sebahagian dari haknya dan hanya sebahagian sahaja yang diambilnya, umpamanya seseorang yang dengan rela hati memberikan sebahagian dari harta miliknya kepada kekasihnya, baik separuh, satu pertiga atau satu persepuluh. Dari kadar yang diberikannya itu, dapat dinilai betapa besarnya atau betapa tinggi nilai kecintaannya, sebab tidak dapat diketahui tahap kecintaannya itu melainkan dengan mengorbankan sesuatu yang dicintai.






Seseorang yang sangat mendalam cintanya dan dengan sepenuh hati mencintai, pastilah tidak ada sesuatu benda yang masih dicintainya kecuali apa yang paling dicintainya tadi. Oleh sebab itu, tidak perlulah dirinya memiliki atau menahan apa-apa pun, asalkan yang dicintainya itu masih tetap dalam genggamannya.







Contoh yang sedemikian ini ialah perbuatan yang dilaksanakan oleh Abu Bakar a.s Siddiq r.a. Ia telah menyerahkan seorang puterinya kepada Rasulullah saw yang sebenarnya ia adalah jantung hati dan penghiburnya. Bahkan seluruh hartanya diberikan untuk kepentingan agama.






Oleh sebab itu, maka dapatlah diambil kesimpulan dari huraian di atas inii, bahawa seseorang yang mencintai seorang alim atau seorang ahli ibadat atau mencintai seseorang yang suka menuntut ilmu pengetahuan atau mengerjakan ibadat atau apa sahaja amalan kebaikan, maka orang tadi benar-benar dianggap mencintai kerana Allah swt dan untuk Allah swt semata-mata. Dalam perkara ini, tentulah ia memperolehi pahala dan kurniaan dari Allah swt menurut kadar yang setimpal atau tahap kekuatan cinta yang dibuktikan olehnya.







Sumber :




Intipati Ihya' Ulumuddin



Pengajaran Bagi Orang-Orang Mukmin



Imam Al-Ghazali





Oleh :





Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasaimi Ad-Dimasqi











1 ulasan:

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.