Sabtu, 5 November 2011

Mengagungkan syiar Allah dalam ibadah haji


Mengagungkan syiar Allah dalam ibadah haji



UMAT Islam dari seluruh dunia yang akan menunaikan haji pada tahun ini sedang membanjiri kota Mekah kerana menunggu hari wuquf di Arafah.



Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan hari wuquf iaitu 9 Zulhijjah 1432H akan jatuh pada hari Sabtu bersamaan 5 November 2011. Wuquf adalah kemuncak bagi ibadat haji. Tanpanya tidak terlaksana ibadat haji.


Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud:


"Haji adalah (wuquf di) Arafah."



Keutamaan wuquf juga adalah berkaitan dengan peristiwa Hajjatul Wada' (haji terakhir) Rasulullah SAW yang mana baginda menyampaikan khutbah penting dan bersejarah sebagai pesanan kepada 124,000 para sahabat yang menunaikan haji bersama baginda dan kepada seluruh umat Islam umumnya.



Ibadat haji adalah rukun Islam ke lima yang difardukan ke atas setiap umat Islam yang berkemampuan. Rukun Islam yang lain boleh dikerjakan di mana saja umat Islam berada, tetapi berbeza dengan ibadat haji yang Allah SWT telah memilih Mekah al-Mukarramah dan sekitarnya untuk menjadi Tanah Suci-Nya agar kaum Muslimin mendatanginya dari seluruh penjuru bumi untuk mengerjakan ibadat haji.



Mekah sebagai tanah suci di sisi Allah dan Rasul-Nya telah diberi keistimewaan dan keutamaan yang banyak. Allah menyebutnya dalam al-Quran beberapa kali dengan beberapa nama seperti Makkah, Bakkah, Ummul Qura, al-Baladul Amin, al-Baldah dan al-Masjidil Haram.



Kepelbagaian nama itu menunjukkan mulianya sesuatu yang dinamai tersebut dan agungnya di sisi Allah.



Firman Allah yang bermaksud:


Dan demi negeri (Mekah) yang aman. (at-Tin: 3), dan firman-Nya yang bermaksud: Aku benar-benar bersumpah dengan negeri ini (Mekah), dan kamu (Muhammad) bertempat di negeri (Mekah) ini. (al-Balad: 1-2).



Dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda kepada bumi Mekah:


"Sesungguhnya engkau negeri yang paling baik, dan paling aku cintai. Andai kaummu tidak mengusirku, maka aku tidak akan tinggal di tempat selainmu."



Beberapa tempat yang dituntut umat Islam mengagungkan dengan menunaikan ibadat seperti yang disyariatkan adalah seperti berikut:



1. Masjid Haram



Masjid Haram adalah masjid yang paling utama keistimewaannya berbanding masjid-masjid lain di seluruh pelosok bumi. Ia adalah masjid yang tertua didirikan di muka bumi ini.



Oleh itu umat Islam dituntut mengunjunginya dan beribadat di dalamnya. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar r.a maksudnya: Beliau berkata kepada Rasulullah SAW,


"Masjid manakah yang pertama dibina di bumi ini? Rasulullah bersabda: Masjidul Haram." Aku bertanya lagi: "Kemudian masjid apa?" Jawab baginda : "Masjidul Aqsa." Aku bertanya berapa lama tempoh antara keduanya: Baginda bersabda: Empat puluh tahun, bila saja tiba waktu solat kepada kamu, maka solatlah di dalam keduanya kerana keutamaan ada pada keduanya."



Dalam sebuah hadis lain dari Jabir, Rasulullah SAW bersabda:


"Solat di Masjidku lebih utama 1,000 kali daripada solat di masjid lain kecuali Masjidul Haram. Dan solat di Masjidul Haram lebih utama 1,000 kali berbanding solat di masjid selainnya."



2. Kaabah



Keistimewaan Masjid Haram juga adalah kerana di sana terletaknya Baitullah yang suci iaitu Kaabah yang menjadi kiblat seluruh kaum Muslimin di mana Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim a.s untuk membinanya.



Keistimewaan Kaabah kerana ia dihubungkan dengan dua rukun Islam iaitu solat dan haji. Solat tidak sah tanpa menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblat.



Firman Allah SWT yang bermaksud:


Maka hadapkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah muka kamu ke arahnya. (al-Baqarah: 144).



Begitu juga ibadat haji tidak sah tanpa melakukan tawaf di Kaabah. Allah SWT berfirman yang bermaksud:


Dan kewajipan manusia terhadap Allah SWT adalah mengerjakan haji di Baitullah (iaitu) bagi sesiapa yang berkemampuan menanggung perjalanan ke Baitullah (ali-'Imran: 97)



Mengagungkan Kaabah hendaklah dilakukan sesuai dengan cara yang telah disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya iaitu menghadap ke arahnya, mengelilinginya untuk bertawaf, menyentuh hajarul aswad dan Rukun Yamani dan boerdoa di Multazam.



Adapun perbuatan selainnya seperti bergantung pada kelambu Kaabah, menyentuh dan mencium selain hajarul aswad kerana meminta barakah adalah termasuk amalan mengagungkan Kaabah dengan cara menyalahi petunjuk Nabi SAW. Di sekitar Kaabah juga terdapat Hijir Ismail dan Maqam Ibrahim yang mana diperintahkan untuk mendirikan solat dan berdoa pada keduanya.



3. Safa dan Marwah



Kedua-duanya adalah bukit terletak di sebelah timur Kaabah yang disyariatkan untuk melakukan Saie di antara keduanya yang menjadi rukun kepada ibadat haji dan umrah.



Firman Allah SWT yang bermaksud:


Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah. Maka barang siapa yang menunaikan haji atau umrah di Baitullah, maka tiada dosa baginya mengerjakan sa'i di antara ke duanya. (al-Baqarah: 158)



Imam Thabari ketika menafsirkan 'sebahagian dari syiar Allah' menjelaskan ia termasuk tanda-tanda kekuasaan Allah yang dijadikan bagi hamba-hamba-Nya untuk beribadah dengan cara berzikir dan berdoa pada keduanya.'



4. Arafah, Muzdalifah dan Mina



Ketiga-tiga tempat ini termasuk tempat-tempat yang diagungkan yang dikenali sebagai masy'aril haram, syiar-syiar yang suci dan tempat-tempat yang wajib dikunjungi dalam ibadah haji.



Arafah dikunjungi pada hari Arafah sahaja iaitu pada hari kesembilan dari bulan Zulhijjah untuk melaksanakan wuquf, berzikir dan berdoa kepada Allah bermula daripada gelincir matahari sehingga terbenamnya matahari.



Firman Allah SWT yang bermaksud:


Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang ramai (Arafat) dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang. (al-Baqarah: 199)



Dari Arafah, para hujjaj bergerak ke Muzdalifah pada malam Hari Raya Aidiladha atau malam hari Nahr ( hari sembelihan) untuk melakukan mabit (bermalam) padanya.



Firman Allah SWT yang bermaksud:


Maka apabila kamu telah bertolak dari Arafat, maka berzikirlah kepada Allah di Masy'aril Haram. Dan berzikirlah kepadaNya sebgaimana cara yang ditunjjukkanNya kepada kamu, dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk orang-orang yang sesat. (al-Baqarah: 198)



Mina pula adalah tempat ketiga masy'aril haram dikunjungi semasa ibadah haji selepas Arafah dan Muzdalifah. Amalan yang disyariatkan di mina ialah bermalam (mabit), melempar tiga jumrah iaitu jumratul Kubra, Wusta dan Sughra, dan menyembelih binatang korban pada hari ke-10 hingga ke-13 Zulhijjah.



Firman Allah yang bermaksud:


Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang telah ditentukan. Barangsiapa yang ingin cepat berangkat (ke Mekah dari Mina), sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barangsiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 203)



Sesungguhnya Allah SWT memilih bumi Mekah dan sekitarnya untuk dimulia dan diagungkan. Ia adalah tempat suci yang dikenali sebagai masy'aril haram yang telah disyariatkan keutamaannya oleh Allah SWT.



Di tempat-tempat ini, jemaah haji dan umrah dituntut mengagungkan syiar Allah sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk mendekatkan diri kepada-Nya.



Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud:


Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah (melalui amalan tertentu dalam ibadat haji dan tempat-tempat tertentu yang dikhususkan) maka sesungguhnya ia terbit dari hati yang bertakwa. (al-Haj: 32).




http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.