Korban lebih utama bagi orang dewasa
1. Saya masih keliru tentang akikah dan korban. Bolehkan kita kumpulkan akikah dan korban dalam seekor lembu. Contohnya, akikah dua bahagian dan korban lima bahagian.
2. Untuk akikah dan korban, betulkah segala tulang dan kulitnya hendaklah ditanam. Bagaimana jika saya hanya membuangnya dalam tong sampah, adakah berdosa?
3. Saya selalu memerhatikan dalam majlis korban, ada yang mengambil daging korban dua atau tiga bungkus (bukan peserta korban). Berapakah sebenarnya yang boleh kita iaitu jemaah dan petugas ambil daging korban ini?
4. Adakah had umur untuk membuat akikah? Sebabnya semasa kecil saya belum diakikahkan kini saya ada sedikit kemampuan melaksanakannya. Atau bolehkah akikah diganti dengan ibadat korban?
JAWAPAN:
Jika kita melihat kepada falsafah ibadah korban dan ibadah akikah adalah dua perkara yang seperti sama tetapi berlainan maksud dan tujuan.
Ia sama kerana akikah dan korban adalah tuntutan menyembelih binatang ternakan. Akikah dilakukan kerana tanda syukur kepada Allah SWT atas kurniaan anak. Lebih-lebih lagi ia sangat dituntut bagi mereka yang mampu melakukannya.
Rasulullah SAW mengumpamakan bagi mereka yang tidak melakukan akikah hutangnya tergantung, hutang yang tidak tertunai.
Sabda baginda yang bermaksud:
"Setiap bayi itu tergadai dengan akikahnya.
Disembelih untuknya pada hari ketujuh
dan dicukur kepalanya dan diberi nama".
(riwayat Abu Daud).
Hukum melakukan akikah adalah sunat muakkadah bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing.
Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.
Tidak dapat dinafikan bahawa ramai di kalangan masyarakat kita yang berkongsi melakukan ibadah akikah dan korban. Mungkin mereka yang ingin melakukan ibadah akikah ingin mengambil fadilat mengorbankan binatang pada hari raya korban.
Memandangkan perkara yang tertanggung ke atasnya adalah akikah maka didahulukan akikah dalam musim korban.
Jumhur ulama berpendapat boleh melakukan akikah dengan seekor kambing, unta atau lembu. Tetapi mereka berbeza pendapat, adakah akikah mengambil hukum adhiyah (korban), atau sama dengan hukum korban, sehingga akikah boleh berkongsi pada seekor lembu atau unta.
Ini adalah masalah khilafiah. Ulama-ulama mazhab al-Sayfie berpendapat boleh kerana melihat akikah adalah sama dengan korban yang boleh berkongsi bahagian seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi.
Namun, para ulama mazhab Hambali dan Maliki berpendapat tidak boleh. Jika seseorang hendak melakukan akikah dengan seekor lembu contohnya, ia hanyalah untuk seorang anak sahaja. Tidak boleh berkongsi bahagian kerana bagi mereka akikah tidak sama hukumnya dengan korban dalam bab bolehnya berkongsi bahagian.
Dalam laman islam-qa menyebut:
"dan yang lebih hampir (kepada kebenaran), bahawasanya ia (akikah) tidak boleh berkongsi, dan inilah (mazhab yang lebih hampir kepada kebenaran) mazhab al-Malikiyyah dan al-Hanabilah". (lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 30/279)
Ulama yang berpendapat tidak boleh berkongsi dalam melaksanakan akikah melihat akikah adalah satu penebusan terhadap anak yang dilahirkan.
Maka seekor binatang yang disembelih untuk akikah adalah untuk seorang anak sahaja, kerana itu tidak terdapat dalil yang menunjukkan adanya perkongsian dalam melakukan akikah, maka ibadah hendaklah dibina atas dasar al-tauqif (mengikut dalil).
Seperkara yang perlu diingat, daging korban diagihkan secara mentah, manakala daging akikah dimasak dan dijamu.
Perbezaan akikah dengan korban
Akikah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan korban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya Aidiladha hingga 13 Zulhijjah.
Daging akikah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging korban hanya boleh diberi kepada fakir miskin. Akikah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, manakala korban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.
Daging korban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging akikah sunat disedekahkan setelah dimasak.
Selain melakukan korban dan akikah, umat Islam harus menjaga kebersihan semasa kedua ibadah ini dilakukan, lebih-lebih lagi ibadah korban. Kebanyakan ibadah korban dilakukan di perkarangan masjid dan surau, walaupun yang afdalnya, setiap orang melakukannya di perkarangan rumahnya sendiri.
Jadi demi menjaga kebersihan adalah sangat dituntut supaya segala tulang belulang binatang sembelihan ditanam. Yang demikian adalah bagi memastikan kebersihan persekitaran. Sekiranya ada yang membuang di tong sampah tidak dikira berdosa, tetapi adalah lebih baik menanamnya.
Melakukan ibadah akikah setelah dewasa tidak menjadi halangan. Walaupun demikian ibadah akikah adalah tanggungjawab ayah atau penjaga atau wali.
Sekiranya mereka tidak melakukannya ketika kita masih kecil, iaitu sebelum baligh atas halangan kewangan maka tidaklah dituntut keatas individu untuk melakukan atas dirinya.
Jika ada yang mahu akikah atas diri sendiri selepas dewasa tidak salah. Tapi yang lebih afdal adalah melakukan ibadah korban.
Mengenai mengambil beberapa bungkus daging adalah bergantung kepada cara pengagihan daging oleh jawatankuasa masjid atau surau atau penganjur.
Ada masjid yang memberi kupon kepada para jemaah untuk datang mengambil daging, begitu juga dengan para petugas. Biasanya petugas ambil banyak sikit, maklumlah dia bertugas.
Tetapi ini tidak bermaksud petugas boleh ambil banyak mana yang dia mahu. Harapnya tidak ada petugas mengambil peluang memenuhkan peti sejuk dengan daging korban.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.