Isnin, 26 September 2011

Mensyukuri Apa Yang Sewajibnya Disyukuri



Mensyukuri Apa Yang Sewajibnya Disyukuri





وَعَنْ اَلْمُغِيرَةِ بْنِ سَعِيدٍ - رضي الله عنه - عَنْ رَسُولِ اَللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ: - إِنَّ اَللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ اَلْأُمَّهَاتِ, وَوَأْدَ اَلْبَنَاتِ, وَمَنْعًا وَهَاتِ, وَكَرِهَ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ, وَكَثْرَةَ اَلسُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ اَلْمَالِ - مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.



Daripada Mughirah bin Sa’id daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan derhaka kepada ibu-ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, dan tidak memberi tetapi meminta-minta. Dia tidak suka cakap kosong, banyak soal dan mengsia-siakan harta. (Al-Bukhari no: 5975, dan Muslim, no:593)



Huraian:



Islam menekankan nilai-nilai hidup yang tinggi dan utama dengan mendidik jiwa penganutnya dengan akhlak mulia dan melarang mereka dari perkara yang bertentangan dengannya. Perbuatan menderhaka kepada ibubapa, melakukan pembunuhan terhadap insan yang tidak berdosa, bersikap bakhil sehingga tidak memberi nafkah kepada yang berhak dan selalu meminta-minta walaupun dia tidak mempunyai hak merupakan punca utama keruntuhan kemanusiaan dan ini menafikan sifat bersyukur kepada Allah s.w.t. yang sentiasa memberikan ni’mat-ni’mat-Nya yang tidak terkira kepada manusia.




Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w. menegaskan kepada kita bahawa perkara haram hendaklah dijauhi kerana ia adalah larangan Allah s.w.t. Mencerobohi larangan Allah bererti kita derhaka kepada-Nya dan ini akan mengundang kemurkaan dan azab-Nya. Ulama menyebutkan dua kaedah. Pertama, perintah melakukan sesuatu perkara bererti larangan melakukan sebaliknya. Kedua, larangan terhadap sesuatu perkara bererti ada perintah melakukan yang sebaliknya.




Merujuk kepada hadis ini, larangan terhadap perkara-perkara di atas membawa mesej supaya kita menjaga dan menyempurnakan lawan kepada larangan tersebut. Ini bererti, perintah supaya berbakti kepada ibubapa, mendidik anak-anak perempuan dengan baik dan menyempurnakan tanggungjawab dan kewajipan dengan sebaiknya. Setiap daripada perkara ini mempunyai sebab dan hikmah.




Perkara pertama: Sebab kewujudan manusia



Perintah supaya taat kepada ibubapa terhadap dalam beberapa ayat dan disebutkan bersekali dengan kewajipan beribadat kepada Allah s.w.t.



وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا



Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. (Surah al-Isra`: 23)



Ibu bapa sebab zahir kepada kewujudan seseorang dan sebab hakiki adalah Allah s.w.t. perkara ini ditekankan secara beriringan kerana apabila manusia tidak taat kepada ibubapanya maka pada hakikatnya dia tidak bersyukur kepada Allah yang menciptakannya melalui sebab kedua ibubapanya.



Kedua: Penerusan kepada kehidupan manusia



Anak merupakan hadiah pemberian Allah kepada pasangan suami isteri. Apabila mereka memperolehi zuriat makan jalur keturunan mereka akan berterusan sehingga kepada tempoh yang ditaqdirkan Allah s.w.t.



وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا



Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. (Surah al-Isra`: 31)



Menanam anak perempuan hidup-hidup adalah sebahagian dari adat jahiliah. Rasulullah s.a.w. mengubah adat ini dengan menyatakan kelebihan mereka yang mendidik anak-anak perempuan.



مَنْ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنْ النَّارِ



Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan maka mereka

menjadi tabir untuknya dari api neraka.

(Al-Bukhari dan Muslim)



Ketiga: mengetahui kewajipan dan tanggungjawab



Tidak boleh meminta-minta apa yang kita tidak berhak memperolehinya

dan tidak boleh menahan diri dari memberikan sebahagian dari harta kepada orang yang berhak.



إِنَّ الْإِنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا (19) إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا (20) وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا (21) إِلَّا الْمُصَلِّينَ (22) الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ (23) وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَعْلُومٌ (24) لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ (25)




19. Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -20. apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; 21. dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; 22. kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang -23. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya; 24. dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum -25. bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta); (Surah al-Ma’arij: 19-25)




Mensyukuri ni’mat waktu



Sebahagian daripada perkara yang disebutkan dalam hadis berkait dengan penjagaan waktu maka wajib kita menjaganya. Dengan itu dengan cara mengelakkan diri dari cakap yang tidak berfaedah, desas desus, gossip, cakap-cakap kosong, banyak pertanyaan tentang perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada agama dan urusan hidup, termasuk persoalan ilmiah yang terlalu halus yang mendatangkan amalan.



Membazirkan harta juga termasuk dalam membazirkan waktu. Ini kerana harta tidak datang bergolek tetapi diusahakan dengan titik peluh dan ia tetap melibat masa untuk memperolehinya.



Pada hakikatnya harta adalah milik Allah s.w.t. manusia hanya menerima tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbirnya dengan mengikut kaedah shara’ bukan pemilik mutlak.



وَآتُوهُمْ مِنْ مَالِ اللَّهِ الَّذِي آتَاكُمْ



Dan berilah kepada mereka dari harta Allah

yang telah dikurniakan kepada kamu.

(Surah al-Nur: 33)



Larangan dari mensia-siakan harta bermaksud membelanjakannya pada tempat yang tidak dishari’atkan. Ini kerana harta itu merupakan salah tonggak utama kehidupan manusia.



Allah s.w.t. menegaskan berhubung dengan harta anak yatim yang tidak diuruskan dengan baik.



وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَامًا



Dan janganlah kamu berikan (serahkan)
kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya
akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu,
(harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu
semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu;
(Surah al-Nisa`: 5)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.