Jumaat, 26 Ogos 2011

Jadi rabbaniyyun bukan Ramadhaniyyun

Jadi rabbaniyyun bukan Ramadhaniyyun

SYUKUR yang tidak terhingga kita panjatkan kepada Allah SWT kerana memberikan peluang sekali lagi dalam hidup kita untuk berada di sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan.



Ini adalah peluang keemasan untuk kita rebut dan membuat 'pecutan terakhir' sebelum Ramadan meninggalkan kita dalam beberapa hari sahaja lagi.



Sahabat-sahabat meriwayatkan bahawa pada sepuluh malam terakhir inilah Nabi SAW dilihat menggandakan amalan baginda, beriktikaf di masjid serta menghidupkan malam-malam dengan qiamullail.



Sehinggakan baginda SAW digambarkan menjauhi seketika isteri-isteri dengan tidak menggauli mereka pada fasa terakhir Ramadan ini.



Aisyah r.a meriwayatkan: Baginda SAW apabila masuk sepuluh malam yang akhir Ramadan, baginda akan menghidupkan malam, membangunkan isteri baginda dan lebih bersungguh-sungguh dalam beribadat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Lebih-lebih lagi kerana pada 10 malam terakhir inilah ruang yang masih berbaki untuk kita di bulan Ramadan. Bahkan, telah dijanjikan oleh Allah SWT dengan satu malam yang dinamakan sebagai Lailatul Qadr ataupun malam al-Qadr di mana Allah memberi ganjaran pahala beribadat pada malam berkenaan menyamai seribu bulan.



Allah SWT menghuraikan kelebihan malam ini secara jelas dan spesifik sehingga diturunkan sebuah surah mengenainya iaitu surah al-Qadr. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan apakah engkau mengetahui (kelebihan) malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat dan (Jibril) turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr : 1-5)



Nabi SAW juga memberikan pedoman dan nasihat kepada umat baginda supaya memperbanyakkan bacaan doa sebagaimana jawapannya kepada Aisyah r.a, apabila dia bertanya kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, sekiranya saya berada pada malam al-Qadar, apakah yang patut saya ucapkan. Nabi SAW bersabda: Ucapkan:


Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka mengampuni, maka ampunilah aku ini).



Walaupun Nabi SAW telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu dan yang akan datang, namun tetap melakukan ibadah melebihi orang yang melakukan dosa besar yang sedang bertaubat.




Air mata baginda SAW tidak pernah kering ketika menadah tangan, merintih di hadapan Allah SWT dengan seribu satu permohonan. Tidak pernah lekang di bibir nabi SAW memohon keampunan kepada umatnya.



Demikian juga para sahabat r.a yang tidak pernah sepi hidup mereka dengan ibadah dan perjuangan. Walaupun sebahagian daripada mereka telah dijamin syurga dan diampunkan dosa-dosa yang lalu.



Jauh sekali sekiranya kita hayati perbezaan antara puasa yang kita kerjakan dengan apa yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW serta para sahabat r.a.



Puasa mereka adalah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Namun, puasa dan ibadah yang kita kerjakan adalah kerana bulan Ramadan, bukannya kerana Allah SWT.



Oleh sebab itu, kita tidak dapat dan tidak mampu meneruskan momentum ibadah puasa selepas berakhirnya Ramadan kerana semua ibadah yang dilakukan adalah hanya untuk tempoh sebulan sahaja.



Benarlah ungkapan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan bahawa ada di kalangan umat Islam yang menjadi hamba Ramadan dan bukannya hamba Allah SWT. Sedangkan Ramadan akan berlalu apabila sudah sampai tempohnya. Manakala Allah SWT sahaja yang kekal dan tidak sekali-kali akan lenyap.



Mereka yang benar-benar menjadi hamba Allah SWT akan diterima amalannya. Hamba-hamba yang sebenar adalah apabila melaksanakan segala ibadah, mereka akan lakukannya dengan penuh ketaatan semata-mata kerana Allah SWT, walaupun mungkin mereka gagal mencari hikmah di sebalik pensyariatan ibadah berkenaan.



Justeru, jadilah Rabbaniyyun bukannya Ramadhaniyyun. Pusatkan tumpuan peribadatan kita di bulan Ramadan ini mutlak kepada Allah SWT, bukannya untuk memenuhi tentatif di bulan Ramadan.


Sumber : http://www.utusan.com.my


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.