Amalan kebaikan
walaupun remeh
tetap dinilai
HIDUP ini harus dipenuhi dengan amal salih dan meninggalkan semua amal jahat kerana itulah sifat sebenar mukmin. Islam mengajarkan segala perbuatan baik dilakukan dengan ikhlas sama ada besar atau kecil, sedikit atau banyak tetap dinilai oleh Allah SWT dan tersedia baginya ganjaran pahala.
Allah SWT menggalakkan kita berlumba mengerjakan kebaikan dengan tidak menetapkan nilai atau ukurannya seperti firman-Nya bermaksud:
“Maka berlumbalah kamu (dalam membuat) kebaikan.” – (Surah al-Baqarah, ayat 148)
Adakalanya kebaikan itu mungkin kecil pada pandangan manusia, tetapi nilainya besar pada pandangan Allah. Memberi senyuman tidak kira kepada siapa pun ketika bertemu mungkin dianggap perkara kecil atau remeh tetapi senyuman ikhlas yang diberikan itu mempunyai nilai sedekah kerana menimbulkan kegembiraan orang lain, mengeratkan ukhuwah sesama Muslim.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman).” – Hadis riwayat Muslim)
Mengukir senyuman adalah kebaikan yang tidak memerlukan modal, namun ganjarannya besar dan begitu memberi kesan positifnya dalam kehidupan bermasyarakat.
Lihatlah, berapa banyak restoran yang laris jualannya dan memikat ramai pengunjung kerana keramahan dan senyuman pemilik serta pelayannya berbanding restoran yang memberi layanan tidak mesra.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia.” – (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu.
Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan.
Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredaan Allah. Mungkin rahmat dan reda Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan.
Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan reda Allah SWT.
- Penulis adalah Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam Universiti, UPM Serdang
selalu senyum :)
BalasPadam