Pohonlah Keampunan Dan Kemaafan Sebelum Terlambat |
Hadith : |
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “ Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” Riwayat Bukhari |
|
Huraian
i) Setiap umat Islam adalah dituntut menyelesaikan segala kesalahan, hutang-piutang dan sebagainya di dunia ini sebelum berpindah ke alam akhirat di mana jika ada apa-apa hak orang lain padanya maka mestilah ia mengembalikannya dan jika tidak dapat dikembalikan hendaklah ia meminta perlepasan daripada pemiliknya.
ii) Termasuk juga hak-hak Allah S.W.T hendaklah diselesaikan seperti mengqadha’kan amal-amal fardu yang pernah ditinggalkan dahulu dan sebagainya.
iii) Sesungguhnya sesuatu perbuatan yang menyakiti hati orang atau makhluk lain akan menyebabkan dosa. Oleh itu kita diseru supaya segera meminta maaf dan bertaubat memohon keampunan selagi ada kesempatan (sebelum ajal mendatang). Jika tidak penyesalan yang amat besar akan ditanggung di akhirat kelak.
|
Pemaaf Sifat Mulia
Allah berfirman yang bermaksud:
“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang bodoh.” (Surah al-A‘raf 7: 199)
Lihatlah teladan pembukaan Kota Makkah (Fathu Makkah) yang amat masyhur dalam sirah. Rasulullah s.a.w. dengan ringan hati memaafkan penduduk Makkah yang pernah menentang Baginda dengan begitu hebat.
Allah juga berfirman yang bermaksud:
“Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” (Surah al-Baqarah 2: 263)
Ingin jadi mulia? Amalkan memberi maaf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Tidak akan berkurang sedekah akan harta, tidak akan bertambah atas seorang hamba dengan sebab memberi kemaafan melainkan bertambah kemuliaan dan tidak akan tawaduk seseorang terhadap Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Riwayat Muslim no. 2588)
Memohon maaf tidak sepatutnya bermusim, malah ia perlu menjadi tradisi harian seorang Muslim. Taburkan maafmu pada setiap malam saat sebelum mata terlelap buat siapa jua walaupun mereka tidak pernah memohon maaf daripadamu.
Sumber:
Majalah Solusi isu 26 ms 13
di bawah kolum Mahmudah vs Mazmumah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.