Hari Arafah
Hari Arafah ialah hari para jemaah haji
mengerjakan wukuf di Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah.
Ia terkenal sebagai kemuncak
bagi segala amalan atau rukun haji.
Allah yang bersifat Maha Pemurah
memuliakan dan membesarkan hari tersebut
dengan mencurahkan rahmat dan keampunan
kepada hamba-hamba-Nya yang berdoa
dan meminta keampunan kepada-Nya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada hari
yang lebih banyak pembebasan
dari neraka daripada hari Arafah”.
Justeru pada hari tersebut,
kita amat digalakkan supaya
memperbanyakkan doa dan istighfar.
Daripada Abdullah ibn Amru r.a berkata:
“Kebanyakan doa Nabi SAW pada hari Arafah ialah
“Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah;
Yang Maha Esa tanpa ada sekutu bagi-Nya.
Bagi-Nya segala kekuasaan dan pujian.
Di dalam kekuasaan-Nya segala kebaikan dan
Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.
Di antara doa bagi memohon
keampunan dan pembebasan dari api neraka ialah:
“Ya Allah!
Bebaskanlah tengkukku
daripada api neraka,
luaskanlah untukku dengan
rezeki yang halal dan palingkanlah
(hindarilah) daripadaku
jin dan manusia yang fasiq”.
Kita juga disunatkan berpuasa
pada hari Arafah kerana
Rasulullah SAW bersabda:
“Puasa pada hari Asyura
akan mengkafarahkan dosa setahun (sebelumnya).
Manakala puasa hari Arafah,
akan mengkafarahkan dosa dua tahun;
setahun sebelumnya dan setahun selepasnya
yang akan datang”.
Sebagaimana yang disebut di dalam hadis,
bahawa Rasulullah SAW berdoa
pada petang hari Arafah
agar diampunkan dosa-dosa umatnya
termasuk orang yang zalim.
Apabila Allah memakbulkan doanya,
Baginda SAW tersenyum kerana melihat iblis
mengambil tanah lalu menaburnya
di atas kepalanya sambil mengeluh panjang
apabila mengetahui doa Baginda SAW
dimakbulkan dan dosa-dosa umatnya diampunkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.