Khamis, 5 Ogos 2010

Salam Ramadhan El- Mubarak


Di Ambang Pintu Ramadhan


ramadhan1


Salam Ramadhan buat teman-teman seperjuangan…


Hari berganti hari......bulan Sya’ban akan berlalu pergi. Bererti bulan Ramadhan akan menjelang tiba.


Rasanya baru kelmarin kita menyambut dan merayakan Aidil Fitri namun bulan Ramadhan telah hampir tiba kembali sebagaimana orang Arab mengatakanRamadhan Sudah Di Ambang Pintu.


Cepat rasanya perjalanan masa meskipun setahun tidak pernah kurang dari 12 bulan. Tapi syukur Alhamdulillah kita masih diberikan kesihatan dan terus berharap semoga bulan Ramadhan yang akan menjelang nanti akan dapat kita temui.


Oleh kerana itu kita selalu baca doa sepertimana Rasululullah saw baca ketika masuknya bulan Rejab Ya Allah berkatilah hidup kami di bulan Rajab dan Sya’ban dan sampaikanlah usia kami hingga bulan Ramadhan“.


Walaupun pada pandangan beberapa ulama’ hadits, hadits di atas adalah dhaif tetapi tidak ada salahnya bagi kita untuk mengambil pengajaran darinya; iaitu sentiasa berharap kepada Allah untuk diberikan keberkatan dan dipanjangkan umur selalu terutama pada ketika memasuki salah satu bulan yang penuh dengan keberkatan ini.


Oleh kerana Allah yang menggenggam umur kita semua, tidak ada yang mampu memanjangkan dan memendekkan umur manusia kecuali Allah. Tidak ada yang boleh mengatakan bahwa diri saya akan sampai pada bulan Ramadhan pada tahun ini kecuali Allah dan tidak ada juga yang boleh menyangka bahwa dirinya akan sihat sejahtera dan mampu menjalankan ibadah-ibadah pada bulan Ramadhan kecuali semuanya bergantung kepada Allah swt. Itulah intipati kepada doa di atas.


Betapa ramai orang yang sebelumnya sihat walafiat, namun tidak mampu menemui bulan Ramadhan kerana telah dipanggil oleh Yang Maha Kuasa. Betapa ramai orang yang diberikan panjang umur hingga bulan Ramadhan tiba, namun tidak dapat menjalankan ibadah dan aktiviti pada bulan Ramadhan tersebut oleh kerana sakit, keadaan fizikal yang lemah dan lain-lainnya tetapi yang lebih menyedihkan lagi betapa ramai orang yang diberikan kesempatan hidup, umur panjang dan kesihatan serta kemampuan namun tidak mendapatkan keberkatan, kebaikan dan ampunan Allah swt sepert yang disebutkan dalam khutbah Nabi saw:


“Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini”.


Dalam menyambut kedatangan tamu yang mulia ini, terdapat tiga kelompok manusia yang mempunyai sikap yang berbeza-beza dalam menghadapinya :


Pertama, orang yang menyambutnya dengan sukacita dan gembira kerana mengetahui nilai kemuliaan di bulan ini, maka ia mengisinya tidak hanya dengan berpuasa tetapi juga ditunjangi dengan amal ibadah yang lain.


Kedua, orang yang menyambutnya dengan sikap biasa-biasa sahaja dan tetap berpuasa.


Ketiga, orang yang menyambutnya dengan sikap menyesal bahkan menganggap bulan ini adalah bulan untuk mengekang hawa nafsu yang di anggap akan merugikan dirinya.


Pada kelompok yang pertama, si penyambut tidak akan menyia-nyiakan kehadiran Ramadhan. Ia menganggap Ramadhan sebagai tetamu yang kehadirannya sangat sukar ditemui. Ia pun belum merasa yakin tetamu tersebut akan sentiasa datang mengunjunginya di tahun-tahun yang akan datang. Inilah perbandingan yang ia gunakan dan oleh kerananya ia tidak ingin menyia-nyiakan setiap malam-malamnya. Ia mengerti betul hadist tentang keistimewaan Ramadhan bahwa 10 malam pertama adalah rahmat, 10 malam kedua adalah keampunan dan 10 malam yang terkahir adalah terbebas dari api neraka.


Sementara terhadap kelompok yang kedua, ia tetap berpuasa dan tetap melaksanakan solat sebagaimana hari-hari di luar Ramadhan. Namun, ia tidak menemui apa-apa keistimewaan di dalam bulan ini. Sepulangnya dari aktiviti pekerjaan, ia seperti biasa menonton televisyen sambil menunggu waktu berbuka, kemudian mandi, solat maghrib, makan malam kemudian diteruskan dengan menonton TV atau beristirehat kerana keletihan setelah seharian bekerja. Tidak ada yang istimewa dalam mengharungi bulan tersebut.


Bagi kelompok yang ketiga pula, ia kadang-kadang berpuasa, kadang-kadang tidak. Aktiviti sehariannya lebih banyak digunakan dengan tidur kerana menganggap bulan puasa sebagai bulan istirehat walaupun sesetengahnya ada yang tidak berpuasa.


Dari perbandingan terhadap ketiga kelompok di atas tentunya kita dapat menilai diri kita dalam kelompok masing-masing di manakah diri kita berada? Alangkah bahagianya jika kita berada dalam kelompok pertama yang benar-benar merasakan keistimewaan kehadiran bulan Ramadhan.


Kadang-kadang sebahagian wanita muslimah yang sudah mengetahui keistimewaannya pun sukar untuk mengatur hari-harinya bersama Ramadhan. Aktiviti pekerjaan yang memakan tenaga dan fikiran membuatnya letih dan lemah untuk mengisi malam-malam Ramadhan dengan amalan ruhiyah.


Ketika Ramadhan sudah di ambang pintu, ia bertekad untuk menyambutnya dengan suka cita. Ia bertekad akan mengisinya dengan amalan ruhiyah. Namun, setelah berlalu satu malam, dua malam dan seterusnya hingga Ramadhan berakhir ia tidak berhasil melaluinya sebagaimana niat di permulaannya. Pekerjaan dan penat menjadi alasan nombor satu yang membuatnya tertidur lelap. Ini adalah fenomena yang tidak boleh dimungkiri lagi di mana ia menjangkiti hampir setiap diri para wanita muslimah.


Bagaimana dengan kita?


Sudahkah kita berusaha menyambut Ramadhan sebagai tetamu yang istimewa?


Sudahkah kita meletakkan nilai dan keutamaannya dengan keadaan ruhiyah yang khusyu’ dan berserah diri?


Adakah kita sudah memohon ampun atas dosa dan kelalaian kita di sebelas bulan yang telah berlalu? Kerana di bulan inilah kesempatan dosa-dosa akan diampuni jika kita tidak yakin di bulan yang lain diampuni.


Menambah keimanan dengan mendekatkan diri kepada-Nya dengan bermunajat, bertahajjud atau bertarawih di malam-malamnya tentunya akan terasa perbezaannya kerana pada malam-malam itu malaikat turun mengiringi hamba-hamba yang menegakkan solat.


Oleh kerana itu, sedapat mungkin hindarkan diri dari terlalu kerap menonton televisyen di bulan Ramadhan kerana jika kita melakukannya maka kita akan terseret oleh bahan-bahan cerita yang tidak berkualiti yang disiarkan. Alangkah lebih baiknya jika kita melakukan solat tarawih atau bahkan tidur untuk mempersiapkan tenaga menegakkan solat tahajjud di tengah malam.


Ramadhan adalah bulan latihan untuk menempa diri. Bulan tidak makan dan tidak minum di siang harinya untuk kebaikan sistem pencernaan tubuh badan kita.


Bulan di mana kita ‘dipaksa’ untuk melakukan aktiviti terbaik dengan istirehatnya tubuh dari makan dan minum. Bulan di mana kita mengaktifkan sel-sel tubuh yang lain, iaitu potensi otak dan hati kita.


Bulan di mana kita boleh mendapatkan pahala di mana di bulan-bulan sebelumnya kita belum tentu mendapatkannya.


Bulan di mana dengan solat sunat sahaja kita mendapat pahala yang sama ganjarannya dengan solat wajib. Bulan dilipatgandakan pahalanya.


Tidakkah kita bersyukur dengan adanya Ramadhan? Subhanallah, Allah begitu sayang pada kita. Ia menurunkan rahmat-Nya melalui Ramadhan. Bulan di mana kita berkesempatan meraih pahala, rahmat, hidayah dan ampunan-Nya.


Jika kita ingin diberi dengan suatu hadiah yang mulia, maka marilah kita muliakan sang tetamu dengan sesuatu yang mulia. Istimewakanlah tetamu ini niscaya kita tidak akan menyesal di kemudian hari. Apalagi jika ternyata tanpa kita sedari dan duga, kita tidak akan bertemu lagi di Ramadhan berikutnya.


Kejayaan Ramadhan bergantung kepada seberapa mantap kita mempersiapkan diri. Persiapan fikiran, fizikal dan ruhiyah insyaAllah akan menjadikan Ramadhan kita berkualiti.


Jangan kita terseret dengan arus putaran waktu hingga dilarutkan dengan perkerjaan harian kita yang tidak akan habis sehingga tersedar apabila hanya Ramadhan di ambang pintu ataupun mungkin Ramadhan tiba dan pergi tanpa kita sedari.


Ramadhan bulan mulia, bulan suci yang kita umpamakan sebagai tetamu. Bagaimanakah biasanya kita mempersiapkan diri kita untuk menyambut tetamu istimewa yang akan berkunjung ke rumah kita?


Ibarat seorang pegawai tinggi kerajaan dari negara lain yang berkunjung ke negara kita, maka sudah semestinya persiapan diadakan jauh sebelum hari kedatangannya. Mulai dari persiapan sambutan oleh sekelompok pasukan angkatan tentera darat mahupun udara, persiapan acara untuk para tetamu sehingga kepada acara penutupan. Semuanya mesti dipersiapkan dengan baik agar tidak meninggalkan kesan buruk di mata para tetamu.


Ramadhan adalah tetamu agung yang Allah telah memuliakannya di banding bulan-bulan lainnya. Ayat dan hadist tentang beberapa kemuliaan Ramadhan tentu sudah biasa kita baca dan dengar melalui pembacaan dan ceramah-ceramah agama. Salah satunya adalah hadis berikut :


Dari Ubadah bin Ash-Shamit, bahwa Rasulullah saw (pada suatu hari, ketika Ramadhan telah tiba) bersabda:


“Ramadhan telah datang kepada kamu,

bulan yang penuh berkah,

pada bulan itu Allah swt memberikan naungan-Nya

kepada kamu.

Dia turunkan Rahmat-Nya,

Dia hapuskan kesalahan-kesalahan ,

dan Dia kabulkan do’a.

Pada bulan itu

Allah swt akan melihat kamu

berlumba melakukan kebaikan.

Para malaikat berbangga dengan kamu,

dan perlihatkanlah kebaikan diri kamu

kepada Allah.

Sesungguhnya orang yang celaka

adalah orang yang pada bulan itu

tidak mendapat Rahmat Allah swt”.

(HR At-Thabarani)



Bulan Ramadhan, bulan yang dilipatgandakan pahala dan bulan diampuninya dosa-dosa. Beribadah sunnah di bulan ini pahalanya sama dengan mengerjakan pahala ibadah wajib. Kemudian Allah juga memberikan kemuliaan berupa tiga perkara iaitu 10 hari pertama adalah rahmat, 10 hari kedua adalah ampunan, dan 10 hari terakhir adalah terbebas dari api neraka.


Di bulan ini juga ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Boleh dikatakan bulan Ramadhan ini adalah bulan murah pahala, jadi siapakah yang sanggup menyia-nyiakan bulan penuh rahmat itu?


Oleh kerana itu, kita perlu melakukan persiapan untuk menyambut Ramadhan. Persiapan itu alangkah baiknya dimulai dari bulan Rejab lagi kemudian disusuli dengan bulan Sya’ban sekarang sehingga kita sampai ke Ramadhan yang dimuliakan.


Amalan-amalan yang boleh dilakukan berupa amalan yang bersifat fikriyah (fikiran/wawasan) , jasadiyah (fizikal) mahupun ruhiyah (kejiwaan).


Untuk persiapan fikiran, kita boleh menggali ilmu dengan membaca buku-buku tentang keutamaan Ramadhan dan buku lainnya yang akan memperluaskan wawasan kita seperti buku-buku sejarah nabi, mukjizat Al Quran dan juga buku tentang fiqh yang membahas tentang tatacara solat dan puasa dan lain-lain. Bagi seorang muslim, fiqh itu sangat penting dipelajari kerana pepatah ada mengatakan : “Amal tanpa ilmu akan sia-sia dan ilmunya amal adalah Fiqh”.


Begitu pula, dengan persiapan jasadiah/fizikal, boleh dilakukan dengan banyak mengambil makanan yang berzat seperti buah dan sayur. Tujuannya untuk membantu mengeluarkan sisa-sisa pembuangan berupa kotoran dan racun dari dalam tubuh atau boleh juga ditambah dengan ubat “suplement” atau juga berbekam bagi membantu proses membuang racun dari dalam tubuh kita sehingga ketika memasuki Ramadhan, keadaan tubuh kita benar-benar dalam keadaan sihat yang akan terhindar dari rasa lemah, letih apalagi sakit.


Manakala untuk amalan ruhiyah/kejiwaan boleh kita lakukan puasa sunnah di bulan Sya’ban atau bagi yang belum melunaskan hutang-hutang puasanya di bulan Ramadhan yang lepas, kesempatan untuk melunaskannya masih ada di bulan Sya’ban ini kerana alangkah baiknya kita mendahulukan amalan wajib dengan melunaskan hutang puasa kita baru selepasnya kita melakukan amalan sunnah.


Dengan melakukan persiapan-persiapan di atas, secara tidak langsung kita akan terbiasa dan tidak canggung lagi untuk menghadapi bulan Ramadhan. Maknanya fikiran kita, jasad kita dan ruh kita sudah bersedia untuk menghadapi Ramadhan Al Mubarak.


Dengan ketiga-tiga persiapan di atas juga, insyaAllah kita akan mampu menyambut dan `memperlakukan’ Ramadhan sebagai “tetamu istimewa” dengan sebaik-baiknya sehingga kita boleh meraih banyak kemuliaan dari Ramadhan dan yang paling penting, seperti yang Allah swt kehendaki bagi orang-orang berpuasa adalah agar kita bertaqwa sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah swt dalam ayat berikut :


“Wahai orang-orang yang beriman,

diwajibkan atas kamu berpuasa,

sebagiamana telah diwajibkan

atas orang-orang sebelum kamu

agar kamu menjadi orang yang bertaqwa”.

(QS Al-Baqarah : 183)



Ya Allah, selamatkanlah kami hingga bulan Ramadhan akan datang dan pertemukan kami dengan bulan Ramadhan dan terimalah seluruh amal kami pada bulan Ramadhan.



Salam Ramadhan El- Mubarak



ramadhan312







'•.¸(¯`'•.¸*♥♥♥♥*¸.•'´¯)¸.•' ´¯)

♥(¯`'•.¸(¯`'•.¸*♥♥*¸.•'´¯)¸.•' ´¯)♥

♥♥(¯`'•.¸(¯`'•.¸**¸.•'´¯)¸.•'´ ¯)♥♥

----==--Ramadan Mubarak---==----

(_¸.•'´(_¸.•'´*♥♥♥♥*`'•.¸_)`'• .¸_)

♥(_¸.•'´(_¸.•'´*♥♥*`'•.¸_)`'•.­ ¸_)♥

♥♥(_¸.•'´(_¸.•'´**`'•.¸_)`'•.¸ _)♥♥



Kala berakhir senja Sya’ban

datanglah sabit bulan Ramadhan

Jika diri ada kesalahan

sudilah hati buka kemaafan




Datang awan membawa hujan

rianglah katak berenang lompatan

Bulan Ramadhan bulan Al Quran

rugilah awak tidak khatamkan



Selamat datang wahai Ramadhan

Selamat menggapai keutamaan




Ramadhan Sale*:

Diskaun dosa besar-besaran, hingga 100%!

Bonus pahala 700 kali lipat!

Hadiah langsung bebas dari neraka, tanpa diundi!

Door prize Lailatul Qadar, rekening pahala 1000 bulan!

* Syarat dan ketentuan berlaku




Ketika dibelenggu setan durjana

Ketika dibuka pintu-pintu surga

Ketika dikekang segala kejahatan

Ketika dimudahkan amal kebaikan

Ketika dosa diberi ampunan

Ketika pahala dilipatgandakan

Sungguh merugi yang mengabaikan

Sungguh beruntung yang menghidupkan

Bulan Ramadhan telah tiba

Doa dan maaf yang kami pinta





Sumber : Kiriman e-mail Sahabat



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.