Isnin, 7 Jun 2010

~Konsep Rezeki~







Allah s.w.t
memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.




Di antaranya:






1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya,
seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam,
sempatkanlah untuk menyembah-Ku
maka Aku akan membuat hatimu kaya
dan menutup kefakiranmu.
Jika tidak melakukannya
maka Aku akan
penuhi tanganmu dengan kesibukan
dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”

(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi,
Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)




2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa
seorang hamba di depan Allah,
yang menjadi sebab Allah jatuh kasih
dan kasihan pada hamba-Nya
lalu Dia berkenan melapangkan jiwa
dan kehidupan si hamba.

Sabda Rasulullah SAW :

“Barang siapa memperbanyak istighfar
maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki
dari arah yang tidak disangka.”

(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud,
an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim
dari Abdullah bin Abbas r.a.)



3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa.
Dosa bukan saja membuat hati resah
malah menutup pintu rezeki.
Sabda Rasulullah SAW :
“… dan seorang lelaki akan diharamkan
baginya rezeki
kerana dosa yang dibuatnya.”

(Hadis Riwayat at-Tirmizi)




4. Sentiasa ingat Allah SWT

Banyak ingat Allah SWT
buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang.
Ini rezeki yang hanya
Allah beri kepada orang beriman.

Firman-Nya:

“...(iaitu) orang-orang beriman dan hati
mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah.
Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”

(Surah Ar-Ra’d, ayat 28)




5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad,
Rasulullah SAW berpesan agar
siapa yang ingin panjang umur
dan ditambahi rezekinya,
hendaklah berbakti kepada ibu bapanya
dan menyambung tali kekeluargaan.

Rasulullah SAW juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya
maka kebahagiaanlah buatnya
dan Allah akan memanjangkan umurnya.”

(Hadis Riwayat Abu Ya’ala,
at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)



Mendoakan ibu bapa juga
menjadi sebab mengalirnya rezeki,
berdasarkan sabda Rasulullah SAW :

“Apabila hamba itu meninggalkan
berdoa kepada kedua orang tuanya
nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.”

(Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini
termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua,
orang sakit, anak yatim dan fakir miskin,
juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.

Sabda Rasulullah SAW :

“Tidaklah kamu diberi pertolongan
dan diberi rezeki melainkan
kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.”

(Hadis Riwayat Bukhari)




7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang
menjadi sebab Allah lapangkan rezeki
dalam bentuk tertunainya hajat sendiri,
seperti sabda Rasulullah SAW :

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya
maka Allah akan menunaikan hajatnya…”

(Hadis Riwayat Muslim)




8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat
jika hajat atau cita-cita tidak tertunai
kerana selawat itu dapat menghilangkan
kesusahan, kesedihan, dan kesukaran
serta meluaskan rezeki
dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.
Wallahu a’lam.




9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya kebajikan itu
memberi cahaya kepada hati,
kemurahan rezeki,
kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.
Manakala kejahatan pula
boleh menggelapkan rupa,
menggelapkan hati, melemahkan tubuh,
sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”



10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah SAW,
berpagi-pagi
(memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai
solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.




11. Menjalin silaturrahim

Rasulullah SAW bersabda :

“Barang siapa
ingin dilapangkan rezekinya
dan dilambatkan ajalnya
maka
hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)




12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa
menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman
mengenai beberapa perkara termasuk
mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:

“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih
(dari hadas) nescaya Allah
akan memurahkan rezeki.”

(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)




13. Bersedekah

Sedekah
mengundang rahmat Allah
dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki.
Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

“Hai Zubair,
ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu
ditentang Arasy,
yang dikirim oleh Allah azza wajalla
kepada setiap hamba sekadar nafkahnya.
Maka siapa yang membanyakkan
pemberian kepada orang lain,
nescaya Allah membanyakkan baginya.
Dan
siapa yang menyedikitkan,
nescaya Allah menyedikitkan baginya.”

(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)




14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa
amalan solat tahajjud
memudahkan memperoleh rezeki,
menjadi sebab seseorang itu
dipercayai dan dihormati orang
dan
doanya dimakbulkan Allah.




15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha
yang dibuat waktu orang sedang sibuk
dengan urusan dunia (aktiviti harian),
juga mempunyai rahsia tersendiri.
Firman Allah dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam,
jangan sekali-kali engkau
malas mengerjakan empat rakaat
pada waktu permulaan siang (solat Dhuha),
nanti pasti
akan Aku cukupkan keperluanmu
pada petang harinya.”

(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)




16. Bersyukur kepada Allah

Syukur
ertinya mengakui segala pemberian
dan nikmat dari Allah.
Lawannya adalah kufur nikmat.
Allah berfirman:

"Demi sesungguhnya!
Jika kamu bersyukur,
nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu,
dan
demi sesungguhnya jika kamu kufur,
sesungguhnya
azab-Ku amat keras."

(Surah Ibrahim, ayat 7)



Firman-Nya lagi:

“… dan Kami akan memberi balasan
kepada orang-orang yang bersyukur.”

(Surah ali-Imran, ayat 145)



17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran
atau asma’ul husna
selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati,
ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu,
terbukanya pintu hidayah,
dimudahkan faham agama,
diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.


Misalnya,
dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129)
jika dibaca secara konsisten
tujuh kali setiap kali lepas solat,
dikatakan boleh menjadi sebab
Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.



Salah satu nama Allah,
Al-Fattah (Maha Membukakan)
dikatakan dapat menjadi sebab
dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu;
misalnya dibaca
“Ya Allah ya Fattah”
berulang-ulang, diiringi doa:
“Ya Allah,
bukalah hati kami untuk mengenali-Mu,
bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu,
ya Fattah ya 'Alim.”


Ada juga hadis menyebut,
siapa amalkan baca
Surah Al-Waqi’ah
setiap malam,
dia tidak akan ditimpa kepapaan.
Wallahu a’lam.





18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba
dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap
pada rahmat dan pemberian dari-Nya.
Dalam al-Quran, Allah suruh kita
meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.





19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat.
Ini sunnatullah.
Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa
Allah berikan dunia
kepada orang yang dicintai-Nya
dan
yang tidak dicintai-Nya,
tapi
agama hanya Allah beri kepada
orang yang dicintai-Nya saja.


(Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)



Bagi orang beriman,
tentulah dia perlu mencari sebab-sebab
yang boleh membawa kepada murah rezeki
dalam skop yang luas.


Misalnya,
hendak tenang dibacanya Quran,
hendak dapat anak yang baik dididiknya
sejak anak dalam rahim lagi,
hendak sihat dijaganya pemakanan
dan makan yang baik dan halal,
hendak dapat jiran yang baik
dia sendiri berusaha jadi baik,
hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram,
dan
sebagainya.





20. Bertawakal

Dengan tawakal,
seseorang itu akan direzekikan
rasa kaya dengan Allah.

Firman-Nya:

“Barang siapa
bertawakal kepada Allah,
nescaya
Allah mencukupkan (keperluannya) .”

(Surah at-Thalaq, ayat 3)



Nabi SAW bersabda:

“Seandainya
kamu bertawakal kepada Allah
dengan sebenar-benar tawakal,
nescaya
kamu diberi rezeki
seperti burung diberi rezeki,
ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”

(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah,
Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)



Kesemua yang disebut di atas adalah
amalan-amalan yang membawa kepada takwa.
Dengan takwa,
Allah akan beri “jalan keluar
(dari segala perkara yang menyusahkan) ,
dan
memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”

(Surah at-Talaq, ayat 2-3)



Pendek kata,
bagi orang Islam,
untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya,
kuncinya adalah
buat amalan-amalan takwa.
Amalan-amalan ini
menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah,
lalu
Allah limpahi hamba-Nya dengan
keluasan rezeki dan rasa kaya
dengan pemberian-Nya.






Renung-renungkan dan marilah kita sama-sama beramal.
Mudah-mudahan Allah SWT
melimpah-ruahkan rezeki-Nya kepada kita.
Amiin.



(Sumber: Forwarded email)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.