Impian jadi kenyataan - KOSMO 18.12.2009
|
VIENTIANE, Laos - Selepas menanti selama 20 tahun, akhirnya pingat emas acara bola sepak Sukan SEA kembali berada dalam genggaman Malaysia.
Skuad negara kendalian K. Rajagobal mengakhiri kemarau selama 20 tahun itu apabila berjaya membenam Vietnam 1-0 pada final Sukan SEA XXV di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional.
Jaringan sendiri oleh pemain Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83 sudah cukup buat barisan muda negara melakar sejarah penuh gemilang di bumi Laos, sekali gus membantu kontinjen Malaysia meraih pingat emas ke-40 semalam.
"Selepas kita menanti 20 tahun, kini anak-anak buah saya sudah mengembalikan semula pingat emas acara bola sepak Sukan SEA buat Malaysia. Kami sememangnya berhak meraih untuk pingat emas ini.
"Selama ini, kita menunggu untuk bergelar juara Sukan SEA dan akhirnya para pemain saya telah merealisasikan impian seluruh peminat bola sepak Malaysia. Saya harap, dengan kejayaan ini, ia akan kembali mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia," kata Rajagobal.
Kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas acara bola sepak ialah pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Singapura 1-0. Pada Sukan SEA 2001 juga di Kuala Lumpur, skuad negara turut melangkah ke final, namun tewas 0-1 kepada Thailand.
Mengulas lanjut kejayaan anak-anak buahnya mengulangi pencapaian pada Sukan SEA 1989, Rajagobal berkata, kesungguhan serta semangat yang ditunjukkan menjadi antara kunci utama mereka ditabalkan selaku juara pada temasya kali ini.
Syabas Malaysia! - MYMETRO 18.12.2009
Daripada Ahmad Khawari Isa di Vientiane, LaosK RAJAGOBAL adalah ‘raja’ Sukan Sea XXV. “Itu memang nama saya,” katanya berseloroh sebaik skuad bola sepak negara menamatkan penantian 20 tahun untuk memenangi pingat emas selepas menundukkan Vietnam 1-0 pada pertembungan final, malam tadi.
Kemenangan itu terjelma menerusi jaringan gol sendiri pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop, pada minit ke-84 untuk jadi pemisah antara dua pasukan yang hampir sama daripada semua segi.
Lantas, apa maknanya pingat emas ini kepadanya?
“Ia memberi banyak makna. Kegembiraan untuk negara saya. Saya juga fikir ia untuk survival bola sepak negara.
“Ketika tiada seorangpun yang percaya, saya tetap percaya dengan diri saya, dengan kemampuan saya. Jika kita bekerja keras, pasti akan ada ganjarannya. Cuma saya mahu seluruh Malaysia bersabar, kerana ini adalah pasukan muda yang masih perlukan masa,” katanya.
“Walaupun Vietnam menjaringkan gol sendiri, tapi dalam bola sepak, ia dikira jaringan sah dan kita tetap menang,” katanya yang turut memuji semangat juang tinggi ditunjukkan pemainnya.
Rajagobal juga mengharapkan kejayaan ini akan ‘menyenangkan’ laluan seterusnya.
“Saya harap seluruh rakyat Malaysia akan membantu kami selepas ini. Bukan mudah untuk jadi juara kembali selepas 20 tahun. Ini sesuatu yang positif untuk negara.
“Saya amat bangga, terutamanya dengan barisan pemain saya. Mereka sudah bekerja keras. Ini detik mereka. Biarkanlah mereka meraikannya.”
Rajagobal juga langsung tidak teragak mengakui, betapa di sebalik gol sendiri itu, Malaysia adalah juara yang berhak.
“Kami hadir, kami berusaha keras biarpun terpaksa menghadapi segala macam kesukaran. Pemain sudah tunjukkan keberanian, kesungguhan dan semangat yang menakjubkan. Kami memang berhak menjadi juara bola sepak Sukan Sea 2009,” katanya.
Vietnam, yang menewaskan Malaysia di peringkat kumpulan, menampilkan persembahan bertenaga pada separuh masa pertama, tapi tidak gagal menukar dominasi itu ke gol, sebaliknya pasukan negara yang lebih unggul selepas rehat, menjaringkan gol enam minit sebelum tamat perlawanan.
Tertekan dengan asakan Norshahrul Idlan Talaha, Mai Xuan Hop tertampan bola ke dalam gol sendiri. Biarpun berusaha di samping sokongan padu penyokong fanatik mereka, usaha Vietnam untuk mencari gol penyamaan bagi baki beberapa minit, gagal menjadi kenyataan.
Kekalahan itu turut melenyapkan impian jurulatih Vietnam, Henrique Calisto untuk menjadi jurulatih asing pertama menang emas sejak Sukan Sea 1993.
Kemarau sudah berakhir - Berita Harian 18.12.2009
RAJAGOBAL meraikan kejayaan skuadnya muncul juara selepas menewaskan Vietnam 1-0, malam tadi. |
Emas ke-40 kontinjen negara sumbangan anak buah Raja
DUA puluh tahun menanti, ianya berakhir dengan nikmat yang sukar digambarkan.
Malaysia kini kembali bermegah selaku juara Sukan Sea apabila menangani dengan bijak segala percaturan dijelmakan Vietnam dalam laluan melakar kemenangan 1-0 pada final, semalam.
Kejayaan itu, hadir selaku pingat emas ke-40 kontinjen Malaysia, adalah kali pertama membawa pulang pengiktirafan daripada gelanggang asing selepas kali terakhir dilakukan generasi pemain dikepalai Mokhtar Dahari di Jakarta pada 1979.
Ia juga mengembalikan gembira bergelar juara yang kali terakhir dirasai di Stadium Merdeka, 20 tahun lalu.
"Perasaan ini sukar digambarkan. Ini untuk bola sepak negara. Untuk rakyat Malaysia. Tetapi sekali lagi saya ingatkan, ini hanya permulaan. Kita perlu bersabar untuk melihat skuad negara yang lebih mantap pada masa depan," tegas jurulatih, K Rajagobal.
GOL kemenangan Malaysia bermula detik ini apabila percubaan Norshahrul Idlan Talaha (kiri) terkena pertahanan lawan menyebabkan bola membias sekali gus menewaskan penjaga gol Vietnam, Tan Truong Bui, semalam. |
Cuma, Rajagobal tidak lokek pujian kepada barisan pemain yang jelas mencetus rasa bangga buatnya.
Kerana sejak awal permainan, rintangan menanti memang tidak mudah. Vietnam barisan jauh lebih tersusun dan kemas berbanding Laos yang ditumpaskan sebelum ini. Malah untuk beberapa detik awal, mereka lebih kerap mengatur gerak ancaman buat menguji kubu skuad negara.
Selepas saling mematahkan ancaman cuba dijelmakan, Vietnam beroleh peluang pertama pada minit ke-26 apabila umpanan lintang jauh melepasi Mohd Sabre Mat Abu dan S Kunanlan dalam kawasan penalti untuk ditanduk Mai Tien Thanh.
Namun penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee sempat melayangkan diri untuk menepis keluar ancaman.
Empat minit kemudiannya, Kunanlan meledakkan rembatan dari jarak 25 meter yang bagaimanapun terus ke dakapan penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong manakala umpanan lintang dari sebelah kanan, beberapa minit kemudiannya, melepasi Safiq Rahim untuk menanduk ke sasaran.
Dominasi babak kedua jelas milik skuad negara. Terbukti menerusi cubaan K Gurusamy yang sipi pada minit ke-46, tandukan Ahmad Fakri Saarani yang sedikit melewati palang pada minit ke-57 serta cubaan Norshahrul Idlan Talaha yang diselamatkan benteng lawan di atas garisan pada minit ke-62.
Vietnam dipaksa lebih bertahan, dengan dihadkan sesekali mengatur ancaman yang ditangani cantik barisan benteng penuh berdisiplin diterajui Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohamad Muslim Ahmad, Nasriq Baharom, Mohd Sabre Mat Abu dan Sharbinee di gawang.
Pemecah kebuntuan gol akhirnya ditemui skuad negara pada minit ke-84. Berpunca daripada hantaran lintang Mohd Azmi Muslim, Safiq menyaksikan umpanannya terlepas daripada Zaquan Adha Abdul Radzak dan untungnya buat skuad negara, terkena kaki pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop sebelum masuk ke gawang Vietnam.
p/s : Just copy n paste.
Salam Kak Roha. Begitulah adat sikap manusia ni. Menang dipuji, kalah macam-macam yang dikejinya. Sekian lama tandus dengan pingat emas, akhirnya ketandusan itu berjaya dihapuskan. Pun begitu, buat pasukan Malaysia, janganlah cepat rasa bangga, ego, dan lupa diri. Ingat, kejayaan hari ini untuk ingatan hari esok agar lebih kuat bekerja sempena kejayaan seiring dengan sambutan Maal Hijrah. Tahniah buat pasukan Malaysia. Hidup Malaysia! (emosi la pulak).
BalasPadam