Jumaat, 26 April 2013

Senang-senangkanlah hatimu!



http://3yxaflores.files.wordpress.com/2012/03/doa-kesucian-jiwa.jpg

Kalau engkau kaya, 
senangkanlah hatimu! 
Kerana di hadapanmu 
terbentang kesempatan untuk 
menunaikan yang sulit-sulit. 
Segala perbuatanmu 
dihargai orang,
engkau beroleh pujian
 di mana-mana. 
Engkau menjadi mulia, 
tegakmu teguh. 
Di hadapan engkau 
terhampar permaidani kepujian, 
sebab itu engkau beroleh 
kebebasan dan kemerdekaan.



Jika engkau fakir miskin, 
senangkan pulalah hatimu!
Kerana engkau
 telah terlepas dari
 suatu penyakit jiwa,
 penyakit kesombongan 
yang selalu menimpa 
orang kaya.
 Senangkanlah hatimu 
kerana tiada orang
 yang akan hasad dan dengki 
kepada engkau lagi,
lantaran kemiskinanmu. 
Kefakiran dan kemiskinan 
adalah nikmat, 
yang tidak ada jalan
 bagi orang lain
 buat kecil hati, 
dan tidak ada pintu 
bagi kebencian.




Kalau engkau dermawan, 
senangkanlah hatimu! 
Kerana dengan kedermawanan 
engkau dapat mengisi 
tangan yang kosong, 
telah dapat menutup
 tubuh yang bertelanjang, 
engkau tegakkan 
orang yang telah hampir roboh. 
Dengan sebab itu
 engkau telah menuruti 
perintah hatimu dan engkau
 beroleh bahagia:
 Berpuluh bahkan beratus 
makhluk Tuhan
 akan menghantarkan
 pujian kepada Tuhan 
lantaran pertolonganmu. 
Kesenangan hatimu 
yang tadinya cuma satu, 
sekarang akan berlipat ganda, 
sebab banyak orang
 yang telah mengecap 
nikmatnya.




Kalau engkau
 tidak kuasa jadi dermawan, 
itupun..
 senangkan pulalah hatimu! 
Sebab engkau tidak akan
 bertemu dengan suatu penyakit 
yang selalu menular 
kepada masyarakat manusia,
 iaitu tiada membalas guna,
 penghilangkan jasa. 
Mereka ambil kebaikan budi 
dan kedermawananmu itu
 jadi senjata untuk menjatuhkan
 tuduhan-tuduhan yang rendah.
 Saat yang demikian
 pasti datang kepada 
tiap-tiap dermawan, 
yang menyebabkan hati 
kerapkali patah dan
 badan kerapkali lemah, 
sehingga hilang kepercayaan 
kepada segenap manusia,
 disangka manusia
 tidak pembalas guna.
 Padahal langkah 
belum sampai lagi kepada
 puncak kebahagiaan dan 
beroleh ampunan dari Tuhan.




Kalau engkau 
masih muda remaja
 senangkanlah hatimu! 
Kerana pohon pengharapanmu
 masih subur, dahan-dahannya
 masih rendang dan rimbun.
 Tujuan kenang-kenangan 
masih jauh.
Sebab umurmu masih muda,
 mudahlah bagimu menjadikan 
mimpi menjadi kenyataan
 yang sebenarnya.




Kalau engkau telah tua,
senangkan pulalah hatimu! 
Kerana engkau 
telah terlepas dari 
medan pertempuran dan 
perjuangan yang sengit, 
dan engkau telah beroleh
 beberapa ilmu yang berguna
 di dalam sekolah hidup.
 Engkau telah tahu firasat, 
mengerti gerak geri manusia
 dan tahu ke mana tujuan jalan
 yang ditempuhnya.
 Oleh sebab itu 
segala pekerjaan 
yang engkau kerjakan itu
 kalau engkau suka
 lebih banyak 
akan membawa faedah 
dan lebih banyak 
tersingkir daripada bahaya. 
Satu detik 
daripada umurmu
  di masa tua,
 lebih mahal harganya 
daripada bertahun-tahun
 di zaman muda, sebab semuanya
 telah engkau lalui 
dengan pandangan yang terang 
dan pengalaman yang pahit.



Kalau engkau 
dari turunan yang mulia-mulia,
 tenangkanlah hatimu! 
Kerana dirimu tergambar
 dan terpeta di dalam hati
tiap-tiap sahabat itu.
 Kalau engkau memang 
di dalam kalangan sahabat 
yang banyak itu,
 lazat rasanya kemenangan 
dan kalau kalah tidak begitu terasa.
 Lantaran banyaknya orang 
yang menghargai dan
 memperhatikan engkau,
 engkau dapatlah insaf, 
tandanya dirimu mahal 
dan timbanganmu berat.
Yang penting adalah engkau
 dapat keluar dari penyakit 
mementingkan diri seorang,
 memandang hanya engkau yang benar, 
lalu masuk ke dalam 
daerah yang baru, 
iaitu mengakui bahawa 
ada lagi orang lain yang pintar, 
yang berfikir dan kuasa menimbang.



Jika musuhmu banyak, 
senangkan pulalah hatimu! 
Kerana musuh-musuh itu 
ialah anak tangga untuk mencapai 
kedudukan yang tinggi. 
Banyak musuh menjadi bukti
 atas sulitnya pekerjaan 
yang engkau kerjakan.
Tiap-tiap bertambah 
maki celanya kepada engkau, 
atau hasad dengkinya,
 atau mulutnya yang kotor 
atau perangainya yang keji,
 bertambahlah teguhnya pendirianmu
 bahawa engkau bukan barang murah,
 tetapi barang mahal, 
dari celaannya yang benar-benar
 mengenai kesalahanmu, 
engkau dapat beroleh pelajaran. 
Mula-mula maksudnya
 hendak meracunimu dengan
 serangan-serangannya 
yang kejam dan keji, 
maka oleh engkau sendiri,
 engkau saring racun itu
 dan engkau ambil untuk 
pengubat dirimu mana yang berfaedah, 
engkau buangkan mana yang salah.




Ingatlah............
Pernahkah 
seekor burung helang 
yang terbang membubung tinggi 
memperdulikan halangan
 burung layang-layang 
yang menghalanginya?




Kalau badanmu sihat,
 senangkanlah hatimu!
 Tandanya telah ternyata 
pada dirimu
 kekayaan Tuhan dan 
kemuliaan nikmatNya,
 lantaran badan yang sihat,
 mudahlah engkau 
mendaki bukit kesusahan dan 
menempuh padang kesulitan.




Kalau engkau sakit,
 senangkan pulalah hatimu! 
Kerana sudah ternyata bahawa
 dirimu adalah medan
 tempat perjuangan di antara
 dua alam yang dijadikan Tuhan
 iaitu kesihatan dan kesakitan. 
Kemenangan akan terjadi 
kepada salah satu yang kuat, 
kesembuhan mesti datang 
sesudah perjuangan itu,
 baik kesembuhan dunia 
ataupun kesembuhan 
yang sejati.




Kalau engkau 
menjadi orang luar biasa, 
senangkan hatimu! 
Kerana pada tubuhmu
 terdapat cahaya
 yang terang-benderang
 tandanya Tuhan selalu
 melihat engkau 
dengan tenang
 sehingga menimbulkan
 kesuburan
 dalam fikiranmu, 
dilihatNya otakmu 
sehingga cerdas, 
dilihatNya matamu 
sehingga jadi azimat,
 dilihatNya suaramu 
sehingga jadi sihir.
 Bagi orang lain, 
perkataan dan
 tiap-tiap suku kalimat 
yang keluar dari mulutnya 
hanya menjadi tanda bahawa
 dia hidup saja. 
Tapi bagi dirimu sendiri 
menjadi cahaya 
yang berapi dan bersemangat, 
boleh meninggikan, 
boleh memuliakan dan
 menghinakan,
 sehingga bolehlah engkau
 berkuasa berkata kepada alam: 
“Adalah”, 
sehingga diapun
 “ada”.




Kalau engkau
 dilupakan orang,
 kurang dikenal, 
senangkan pulalah hatimu!
 Kerana lidah tidak banyak
 yang mencelamu
 mulut tidak banyak 
mencacatkanmu, 
tidak ada orang lain
 yang dengki kepadamu, 
tak ada orang
 yang meniatkan jatuhmu,
 mata tak banyak memandangmu.
 Itu, dihadapanmu 
ada puncak bukit dan
 engkaupun salah seorang 
dari anggota masyarakatmu.
 Rumah batu yang indah, 
berdiri di atas kumpulan
 tanah dan pasir-pasir yang kecil.
 Dengan demikian itu,
 engkau akan merasai
 kesenangan hati yang
 kerapkali tidak didapat 
oleh yang bibirnya
 tak pernah merasai air hidup
 dan rohnya tak pernah mandi
 di dalam kolam ilham.




Kalau 
sahabatmu setia kepadamu, 
tenangkanlah hatimu! 
Kerana pertukaran siang 
dan malam telah 
menganugerahi engkau
 kekayaan yang paling kekal.




Kalau kawanmu khianat, 
senangkan juga hatimu! 
Sebab kalau kawan-kawan
 yang khianat itu mungkir
 dan meninggalkan engkau,
 tandanya dia telah 
memberikan jalan 
yang lapang buat engkau.




Kalau 
tanah airmu dijajah
 atau dirimu diperhambakan,
 senangkanlah hatimu!
 Sebab penjajahan dan perhambaan 
membuka jalan bagi bangsa 
yang terjajah atau diri
 yang diperhamba
 kepada perjuangan
 melepaskan diri dari belenggu. 
Itulah perjuangan yang menentukan
 hidup atau mati, dan itulah 
yang meninggalkan nilai.
 Ketahuilah bahawa tidaklah 
didapat suatu bangsa 
yang terus menerus dijajah**.




Jika engkau 
dari bangsa merdeka, 
senangkanlah hatimu! 
Sebab engkau 
duduk sama rendah
 dan tegak sama tinggi 
dengan bangsa-bangsa yang lain, 
ada bagimu kesempatan 
mencari kekuatan baru.
Kemerdekaan itu 
mesti diisi dengan
 bahan-bahan yang baik,
 dan bagimu terbuka kesempatan
 yang seluas-luasnya untuk itu.




Kalau
 engkau hidup 
dalam kalangan orang-orang
 yang kenal akan diri 
dan cita-cita engkau, 
senangkan hatimu! 
Kerana di sana engkau dapat
 mengusahakan tenaga muda
 setiap hari, dan
 kekuatan pun bertambah, 
roh serta semangat menjadi baru. 
Engkau bertambah subur dan tegak, 
menaungi lautan dan daratan.




Kalau engkau
 hidup dalam 
kalangan masyarakat 
yang masih rendah, 
yang tidak mengerti 
bagaimana menghargai 
cita-cita orang, 
sehingga engkau 
merasa ’sial-dangkal’, 
maka senangkanlah hatimu! 
Kerana dengan sebab itu 
engkau beroleh kesempatan 
jadi burung,
 lebih tinggi terbangmu 
daripada orang-orang 
yang patah sayap itu.
 Engkau boleh melayang 
ke suatu langit khayal,
 untuk mengubati fikiranmu 
yang gelisah, untuk melepaskan
 dahaga jiwamu.




Kalau engkau
 dicintai orang dan mencintai, 
senangkanlah hatimu! 
Tandanya hidupmu
 telah berharga,
 tandanya engkau
 telah masuk daftar 
orang yang terpilih.
 Tuhan telah memperlihatkan
 belas khasihan-Nya kepadamu
 lantaran pergaduhan hati 
sesama makhluk.
 Dua  jiwa 
di seberang masyrik dan 
maghrib telah terkongkong 
di bawah satu perasaan 
di dalam lindungan Tuhan.
 Di sanalah waktunya
 engkau mengetahui 
rahsia perjalanan matahari 
di dalam falak, ketika fajarnya
 dan terbenamnya,
 tandanya Tuhan telah 
membisikkan ketelingamu
 nyanyian alam ini.
 Lantaran yang demikian
 dua jiwa berenang 
di langit khayal, 
di waktu orang lain terbenam.
 Keduanya berdiam
 di dalam kesukaan dan
 ketenteraman, bersenda gurau 
di waktu bersunggguh-sungguh.




Jika engkau 
mencinta tetapi 
cintamu tidak terbalas, 
senangkanlah hatimu!
 Kerana sesungguhnya 
orang yang mengusir
 akan jatuh kasihan dan
 ingin kembali kepada 
orang yang diusirnya itu
 setelah ia jauh dari matanya,
dia akan cinta, 
cinta yang lebih tinggi darjatnya 
daripada cinta lantaran hawa. 
Terpencil jauh membawa 
keuntungan insaf, 
kebencian meruncingkan cita-cita 
dan membersihkan perbuatan. 
Sehingga lantaran itu
 hati akan bersih laksana
 bejana kaca yang penuh
 berisi air khulud, 
air kekal yang 
dianugerahkan Tuhan.
Dengan sebab itu,
 engkau akan beroleh juga kelak 
tempat merupakan cinta itu, 
kalau tak ada pada insan, 
akan ada pada yang 
lebih kekal daripada insan. 
Bersedialah menerima 
menyuburkan cinta, 
walau bagaimana besarnya 
tanggunganmu, 
kerana cinta
 memberi dan menerima, 
cinta itu gelisah 
tetapi membawa tenteram.



Cinta
 mesti lalu di hadapanmu,
 sayang engkau 
tak tahu bila lalunya.
 Hendaklah engkau
 menjadi orang besar, 
yang sanggup memikul
 cinta yang besar.
 Kalau tak begitu, 
engkau akan beroleh cinta 
yang rendah dan murah, 
engkau menjadi pencium bumi, 
engkau akan jatuh ke bawah,
 tak jadi naik ke dalam 
benteng yang kuat dan teguh,
 benteng yang gagah perkasa 
yang sukar tertempat 
oleh manusia biasa. 
Kerana tugu cita-cita hidup ini 
berdiri di seberang kekuasaan 
dan kemelaratan yang diletakkan
 oleh kerinduan kita sendiri.



Merasa tenteramlah selalu,
 senangkanlah hatimu
 atas semua keadaanmu, 
kerana pintu bahagia
 dan ketenteraman itu
 amat banyak 
tak terbilang kesulitan 
perjalanan hidup
 kian minit, kian baru.
Merasa senanglah selalu !
Merasa tenteramlah !…..
Selawat !



 Sumber : Dipetik karya Prof. Dr. Hamka . Tasawuf Moden.

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjcYtHr8PsDsjLCvVFYWPi3Kf80WZIODX7rr1C-c5FbI6F-_jPlbHxKqvhk3YAbJDOof1Y3hPnl7iZn0ybaN0kpFKdoYp5WGLucURKf5LOUuM152JkVFYBK9zGufZN9FGvB5w6gtuupPPwu/s1600/4923109532_70c71bf0f1.jpg

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgcDnN79vMk9tD1b9zf67yZa-E254T1eVjqKUAfP3JbHlnjk9rDeDkDy25Hq8vj4cx5hVVrwgN-QL64X-5ef5AeGQAbf7_oHOX741khO6M64G85UoHJ1NO-mrB-11DXld40TafJ-skqHuWa/s400/damai.jpg


Daripada Anas bin Malik,
 Nabi SAW bersabda: 


“Tiga perkara, barang siapa
 yang tiga perkara itu
 ada pada dirinya, ia akan dapat
 kemanisan iman: 
menjadikan Allah dan Rasul-Nya 
yang paling ia cintai 
daripada yang lainnya, 
mencintai seseorang, 
tidak mencintainya
 kecuali kerana Allah,
 dan membenci 
untuk kembali kepada kekafiran
 setelah Allah menyelamatkannya 
sebagaimana ia membenci untuk
 dilemparkan ke neraka.” 


(Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)


 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.