Khamis, 31 Mei 2012

Doa Untuk Memudahkan Sebarang Urusan






Petikan Doa :

Perisai Muslim

Syeikh Dr Said Bin Ali Wahf al-Qahtami




Selasa, 29 Mei 2012

Bicara tentang hati..



Orang yang keras hati

tidak akan mengenal kasih sayang.

Tidak ada sedikit pun kelembutan pada diri mereka.

Hati mereka keras bagaikan karang.

Kaku tabiat, baik ketika memberi maupun menerima.

Kurang peka perasaan, lagi tipis peri kemanusiannya.

Berbeza halnya dengan orang

yang dikurnia Allah Ta’ala hati yang lembut,

penuh kasih sayang lagi penuh kemurahan.

Dialah yang layak disebut pemilik hati

yang agung penuh cinta.

Hati yang diliputi dengan kasih sayang

dan digerakkan

oleh perasaan yang halus.




Abdullah bin Abbas menuturkan:

“Suatu hari aku berada di belakang

Nabi Shalallaahu alaihi wasalam ,

beliau bersabda:


“Wahai anak,

aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat:

“Jagalah (perintah) Allah,

pasti Allah akan menjagamu.

Jagalah (perintah) Allah,

pasti kamu selalu mendapatkan-Nya di hadapanmu.

Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah,

jika kamu memohon pertolongan,

mohonlah pertolongan kepada Allah.”

(HR. At-Tirmidzi)









Ahad, 27 Mei 2012

Riak, sum'ah beramal untuk dapat penghormatan








Persoalan Agama:


Riak, sum'ah beramal

untuk dapat penghormatan


Bersama Ustaz Zahazan




SAMPAI sekarang saya masih keliru antara riak dan sum’ah.

Boleh ustaz terangkan perbezaannya.

Apakah punca yang menyebabkan seseorang itu bersikap riak.



HASAN,
Kulim, Kedah.





RIAK berasal dari kata ru’yah yang ertinya melihat.
Berlaku riak ertinya menampakkan amal soleh
supaya dilihat manusia. Riak ada disebut dalam al-Quran,
antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:






“Orang-orang yang

memperlihatkan amalnya (yura’un)

dan enggan membayar zakat.”

(Surah al-Ma’un ayat 6-7)





Firman-Nya lagi yang bermaksud:




“Dengan rasa angkuh

dan (suka) mempamer (riak)

kepada manusia.”

(Surah al-Anfal, ayat 47)







Sum’ah berasal daripada kata samma’a
yang ertinya memperdengarkan. Memperdengarkan amal
kepada manusia ertinya menampakkan amal
yang sebelumnya dirahsiakan.








Riak dan sum’ah menurut istilah adalah
mempamerkan amal soleh kepada orang
dengan tujuan mendapatkan kehormatan.
Jika seseorang beramal untuk dilihat manusia,
itu namanya riak. Jika tidak dilihat manusia
tetapi kemudian dia menceritakannya kepada mereka,
itu namanya sum’ah.








Imam ‘Izzuddin ‘Abdissalam membezakan
riak dan sum’ah. Beliau berkata:







“Riak adalah beramal kerana

selain Allah SWT.

Sum’ah adalah menyembunyikan amal

kerana Allah SWT,

tetapi kemudian menceritakan amal itu

kepada manusia.”







Di sini seolah-olahnya Imam ‘Izzuddin
melihat semua riak adalah tercela,
sedangkan sum’ah ada tercela dan ada yang terpuji.
Sum’ah tercela apabila tujuan penceritaan amal itu
demi penghormatan manusia dan sum’ah terpuji
apabila tujuan penceritaan demi penghormatan
Allah SWT dan reda-Nya.











Nampaknya pendapat Imam Izzuddin
sesuai dengan nas syariat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:








“Hai orang yang beriman,

janganlah kamu menghilangkan pahala sedekahmu

dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan

si penerima seperti orang yang menafkahkan hartanya

kerana riak (pamer) kepada manusia.”

(Surah al-Baqarah, ayat 264)









Manakala Rasulullah SAW menyebut dalam hadis
riwayat al-Bukhari yang bermaksud:











“Sesiapa memperdengarkan (amalnya),

Allah SWT pun akan memperdengarkan

(keburukannya); sesiapa memperlihatkan (amalnya),

Allah SWT akan memperlihatkan (keburukannya).”









Dalam hadis diriwayatkan Ahmad,
Rasulullah SAW bersabda:










“Sesungguhnya

yang paling aku bimbang atas kamu

adalah syirik kecil.

Para sahabat bertanya:

Wahai Rasulullah,

apakah syirik kecil itu?

Rasulullah SAW menjawab:

Riak.”









Ada beberapa faktor menyebabkan seseorang itu
suka mempamer atau bersikap riak antaranya
lingkungan keluarga ia membesar. Ada kala
seorang anak membesar dalam keluarga yang tradisinya
suka mempamerkan atau riak sehingga
anak itu juga mengikutinya.











Kedua, kerana bersahabat dengan kawan
yang suka menunjuk-nunjuk lalu terpengaruh dan
ketiga, tidak mengenal Allah dengan baik.
Kurangnya pengetahuan mengenai Allah SWT
boleh menjadi penyebab seseorang suka
bersikap suka mempamer.






Sabtu, 26 Mei 2012

Bimbang ditimpa kehinaan pada hari kiamat




Tiga peringatan penting


di sebalik doa Nabi Ibrahim


Oleh


Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi




Bimbang ditimpa kehinaan pada hari kiamat





SALAH satu doanya, Nabi Ibrahim memohon kepada Allah SWT supaya tidak ditimpakan kehinaan pada hari kiamat. Nabi Ibrahim berdoa:






“Dan

janganlah Engkau hinakan daku

pada hari makhluk dibangkitkan hidup semula.

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak

tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,

kecuali (harta benda dan anak-pinak)

orang yang datang menghadap Allah

dengan hati yang selamat sejahtera

(dari syirik dan penyakit munafik).”

(Surah al-Syu'ara, ayat 87-89)







Berdasarkan doa diucapkan Nabi Ibrahim, terdapat tiga perkara yang menarik diberikan perhatian oleh setiap Muslim. Pertama, kebimbangan Nabi Ibrahim mengenai azab yang pedih pada hari akhirat.









Sebagai Nabi, bahkan bapa segala nabi dan rasul, juga bergelar Khalil Allah yang bermaksud kekasih Allah, Nabi Ibrahim masih bimbang serta takut jika ditimpakan kehinaan oleh Allah SWT pada hari kiamat. Inilah sifat mulia Nabi Ibrahim yang sewajarnya dicontohi.









Kedua, tiadanya nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. Untuk neraca piawaian duniawi, harta dan anak termasuk pengikut adalah petunjuk utama menentukan status serta darjat sosial manusia.









Akan tetapi pada hari akhirat nanti, kesemua itu tidak menjadi perkara penting dan tidak ada harganya kerana kenikmatan di syurga tidak dapat dijual beli, apatah lagi malaikat sebagai barisan pelaksana perintah Allah tak mungkin dapat diminta kasihan untuk melepaskan diri daripada azab dan kesengsaraan.









Ketiga, kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat. Jaminan keselamatan dan kebahagiaan hanya diberikan kepada orang yang datang menghadap Allah dengan hati bersih dan sihat atau qalbun salim.







Dalam kata lain, hati memainkan peranan penting mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Malah, hati juga dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia.









Anggota tubuh badan manusia tidak berfungsi secara keseluruhannya kerana terlucutnya roh yang bertapak dalam hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam ketika lain, di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq serta sifat mazmumah.









Perlu ditegaskan, ada banyak pendapat daripada ulama tafsir berkaitan asal usul kalimah qalbun salim ini yang asasnya berkisar kepada tiga makna. Pertama, seperti dikemukakan Ibnu Katsir dan al-Alusi, qalbun salim bermaksud sejahteranya hati daripada penyakit syirik atau kepercayaan sesat.








Hati sihat bererti memiliki akidah yang benar, lurus, bebas daripada segala bentuk kemusyrikan dan kesesatan.









Kedua, qalbun salim bererti bersih daripada penyakit hati iaitu sifat mazmumah seperti riak, hasad dengki, sum’ah, sombong dan sebagainya. Permulaan surah al-Baqarah, dikemukakan tiga golongan manusia iaitu orang yang bertakwa (al-muttaqun), orang kafir (al-kafirun) dan orang munafik (al-munafiqun).









Golongan yang disebut terakhir ini adalah orang yang hatinya berpenyakit seperti ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud:






“Dalam hati mereka

(golongan yang munafik itu)

ada penyakit (syak dan hasad dengki),

maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka;

dan mereka pula akan beroleh azab seksa

yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab

mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).”

(Surah al-Baqarah, ayat 10)






Hati yang bersih dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan ketundukan yang kudus kepada Allah. Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain.






Ketiga, seperti badan yang sihat, hati sihat juga memiliki kesempurnaan dan kekuatan melakukan tugas sesuai dengan maksud penciptaannya sebagai hamba dan khalifah Allah. Fungsi hati yang utama adalah untuk mengenal Allah SWT, iaitu dengan iman dan takwa, seperti maksud sabda Rasulullah SAW:







“Takwa itu di sini,

dan baginda SAW menunjuk

ke dadanya sebanyak tiga kali.”

(Hadis riwayat Baihaqi)








Satu perkara tidak dapat disangkal adalah hati yang sihat sumber segala kebaikan dan pendorong amal salih. Di sini, hanya hati yang disebut sebagai sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat, bukannya anggota tubuh badan lain.







Hal ini, menurut imam al-Razi, kerana jika hati sihat, seluruh anggota badan yang lain ikut sihat. Jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya.







Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:









“Sesungguhnya

dalam jasad itu ada segumpal daging.

Apabila dia baik,

maka baiklah seluruh jasad.

Tetapi, apabila dia rosak,

maka rosaklah seluruh jasadnya.

Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)







INFO





Tiga perkara menarik di sebalik doa Nabi Ibrahim





  • Bimbang ditimpa kehinaan dan azab pedih pada hari akhirat;




  • Nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan tiada nilai pada hari kiamat dan





  • Kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat.









Sumber


Akhlak belia paparan imej negara masa depan







Khutbah Jumaat:


Akhlak belia

paparan imej negara masa depan




PATRIOTISME ialah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Ia membawa maksud keterikatan kepada kumpulan rakan senegara dan tanah air. Dalam Bahasa Arab ia diwakili dengan perkataan wataniah. Jika ditinjau dari sudut pandangan Islam, ia dihubung kait dengan sifat cintakan tanah air.






Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat dan ketua negara memberi penekanan khusus membimbing belia dengan cara menggesa mereka berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara.






Bimbingan ini akan menentukan belia menjadi pemimpin masa depan yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng.” (Hadis riwayat Ahmad)
Patriotisme bukanlah satu ideologi tetapi semangat dan gagasan mendidik serta memberi kefahaman kepada manusia supaya mencintai kehidupan dan tanah air. Manusia perlu membina semangat patriotik untuk menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat.







Membina semangat patriotisme ini, berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetiaan rakyat terhadap negara serta pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan dalil al-Quran dan hadis, ulama sepakat mengatakan taat kepada pemerintah fardu kepada setiap Muslim, manakala menderhaka adalah satu dosa besar.








Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya:







“Tiga golongan Allah SWT

tidak menegurnya pada hari kiamat,

tidak melihat kepada mereka,

tidak membersih dosa mereka

dan mereka menerima azab yang pedih,

seorang yang mengaku setia kepada pemerintah,

ia berbuat demikian kerana keduniaan,

jika diberi ia tunaikan kesetiaannya tetapi

jika tidak diberi, ia menderhaka.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)






Golongan belia penting dalam membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju dan terbaik kepada cemerlang.






Tokoh ulama semasa yang berpengaruh,
Syeikh Yusof Al-Qaradhawi berkata:







“Apabila kita hendak melihat wajah

sesebuah negara pada masa hadapan,

lihatlah generasi mudanya pada hari ini.

Jika golongan muda hari ini adalah

daripada kalangan berakhlak,

tentunya sesebuah negara itu akan datang

adalah sebuah negara yang aman makmur,

tetapi jika keadaan adalah sebaliknya,

maka bersedialah untuk berhadapan

dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.”







Kebangkitan golongan belia akhir-akhir ini amat menggembirakan namun ada juga kes yang mana idealisme kebebasan dan hak diperjuangkan mereka perlu diberi arah tujuan selaras prinsip Islam.






Kegelojohan menyuarakan pandangan dan memperjuangkan hak menyebabkan ada segelintir mereka terjebak aktiviti ekstrim, demonstrasi jalanan, melakukan kekacauan dan huru-hara.







Golongan belia sebenarnya mempunyai idealisme tetapi pada masa sama masih mentah pengalaman hidup dan terbawa-bawa dengan jiwa muda bergelora. Ingatlah, Islam telah menetapkan setiap insan tidak memiliki kebebasan hakiki, bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan ditetapkan syarak yang bersumberkan wahyu Allah SWT.







Manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi diri untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Generasi belia patriotik inilah yang menjadi cita-cita negara untuk membentuk tamadun Islam dihormati dan disegani masyarakat dunia.







Firman Allah yang bermaksud:






“Ingatkanlah

ketika serombongan orang muda pergi ke gua,

lalu mereka berdoa:

Wahai Tuhan kami!

kurniakanlah kami rahmat dari sisimu,

dan berilah kemudahan serta pimpinan

kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah Al-Kahfi, ayat 10)













Ahad, 20 Mei 2012

HATI SEPUTIH AWAN




HATI SEPUTIH AWAN



JIKA HATI SEPUTIH AWAN, JANGAN BIARKAN IA MENDUNG.

JIKA HATI SEJERNIH AIR, JANGAN BIARKAN IA KERUH.

JIKA HATI SEINDAH BULAN, HIASI IA DENGAN IMAN.





Makin ramai rakyat Amerika pilih Islam





Makin ramai rakyat Amerika

pilih Islam


Oleh Ibrahim Abdullah


Jumlah Muslim melebihi Yahudi,

penganut Katolik catat penurunan







JUMLAH penganut agama Islam di Amerika Syarikat (AS) kini semakin berkembang pesat. Menurut kajian yang dilakukan, Muslim di AS meningkat tajam selama dekad terakhir, mengalahkan jumlah Yahudi untuk pertama kalinya di sebahagian besar Midwest dan bahagian dari wilayah selatan.








Sementara itu, gereja arus utama semakin kehilangan pengikutnya. Demikian mengikut bancian agama di Amerika pada 1 Mei 2012.







Jumlah penganut Muslim menjadi 2.6 juta pada 2010 daripada sejuta pada 2000 didorong penghijrahan dan menukar agama, kata Dale Jones, seorang peneliti yang bekerja pada penyelidikan itu yang dilakukan Persatuan Statistik daripada badan keagamaan Amerika.








“Orang Kristian adalah kelompok terbesar di setiap bahagian negara, tetapi beberapa hal menarik yang kita temukan ialah perkembangan dari Mormon, yang melaporkan adanya peningkatan terbesar,” kata Jones, yang membentangkan laporan itu pada sebuah persidangan di Chicago.









Jumlah Mormon berkembang sekitar 45 peratus menjadi 6.1 juta pada 2010, menurut bancian itu, sambil menambah sekitar 55 peratus orang Amerika menghadiri ibadah.









Sebagai perbandingan, kebanyakan bancian itu mendapati sekitar 85 peratus orang Amerika mengakui memiliki keyakinan agama, walaupun mereka mungkin tidak menghadiri ibadah. Sekitar 158 juta orang Amerika diklasifikasikan sebagai ‘sukar ditentukan’ agamanya dalam kajian itu.








Antara agama besar, bancian mendapati jumlah penganut Katolik, pengikut agama terbesar, turun lima peratus kepada 58.9 juta selama satu dekad.









“Penganut Katolik mencatatkan penurunan angka terbesar, termasuk di Maine yang mana skandal seks paderi mereka terungkap,” kata Jones.









Antara agama terbesar lain di AS, penganut Southern Baptist Convention tetap stabil pada 19.9 juta dalam satu dekad ini, Gereja United Methodist kehilangan 4 peratus penganut menjadi 9.9 juta pengikut, Gereja Lutheran Injil di Amerika kehilangan 18 peratus menjadi 4.2 juta dan Gereja Episkopal kehilangan 15 peratus pengikutnya kepada 1.95 juta.










Pengikut Protestan Injil terus meningkat, walaupun secara perlahan, mempunyai sehingga 50 juta pengikut. Sebahagian besar perkembangan mengejutkan, dicatatkan di kawasan bandar dan sebahagian besar pengikut yang mencatatkan pertambahan penganut mempunyai kurang daripada 100 anggota.












Jones menyatakan, penganut Buddha berkembang kuat di Amerika Rocky Mountain, yang mana sejumlah kuil dan pengikutnya meningkat tinggi. Jumlah penganut Buddha di Amerika hampir sejuta orang.











Sementara itu, mengikut kajian lain, pada 2000, ada sekitar enam juta penganut Islam di Amerika Syarikat yang mana sejuta bermastautin di California, sekali gus menyaksikan penganut Islam di Amerika lebih ramai daripada Yahudi.












Pada 1993, ada 800 masjid di Amerika dan jumlahnya kemudian meningkat hingga 2,000 buah. Paul Findley dalam bukunya Silent No More: Confronting America’s False Images of Islam menyatakan orang Islam yang pertama tiba di Amerika ialah hamba abdi kulit hitam mulai 1530 di Afrika Barat. Mereka dijual kepada pedagang kulit putih dan seterusnya dibawa ke Brazil, Kepulauan Carribean dan Amerika.











Peninju Muhammad Ali menganut Islam pada 1964. Nama hebat ini menyebabkan sukan tinju popular di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Muhammad Ali menggugurkan nama asalnya Cassius Clay kerana nama itu nama hamba abdi.











Ramai warga African-American yang beragama Kristian kembali menganut Islam. Mereka berasal daripada keturunan hamba abdi dari Afrika Barat. Nama mereka diubah kepada Kristian oleh majikan berkulit putih.











Profesor John L Esposito, Pengarah Pusat Persefahaman Kristian-Islam di Universiti Georgetown, Washington memberi pendedahan mengenai Islam kepada masyarakat Kristian. Bukunya Islam, The Straight Path dan The Islamic Threat: Myth or Reality? menyedarkan pihak Kristian dan disenangi masyarakat Islam kerana lebih berwibawa dan adil dalam menyatakan sesuatu kebenaran di sebalik kebatilan.












Berdasarkan daripada fakta di atas, benarlah firman Allah SWT yang bermaksud:









“Tiada paksaan dalam agama (Islam),

kerana sesungguhnya

sudah nyata kebenaran (Islam)

daripada kesesatan (kufur).

Oleh itu, sesiapa yang tidak

percayakan taghut dan ia pula

beriman kepada Allah,

maka sesungguhnya

ia telah berpegang kepada

simpulan (tali agama) yang teguh,

yang tidak akan putus.

Dan (ingatlah),

Allah Maha Mendengar,

lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah, ayat 256).

Sabtu, 19 Mei 2012

Bersama Ustaz Zaman










Mencari rezeki

halal dan wujudkan keadilan

antara majikan, pekerja





Bersama Ustaz Zaman




ISLAM mewajibkan umatnya bekerja untuk menampung kehidupan mereka dan keluarga bagi melangsungkan kesinambungan hidup di dunia. Mereka tidak diberi pilihan khusus dalam memilih pekerjaan, namun mereka tiada pilihan kecuali memilih pekerjaan yang halal.






Ini bertujuan mewujudkan dua hubungan iaitu antara makhluk dan penciptanya. Oleh itu, semua urusan berkaitan adalah termasuk dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada urusan ibadat yang diperintah Allah dan akan mendapat ganjaran.








Semua perkara haram dan halal telah digariskan melainkan perkara ragu-ragu yang memerlukan pencerahan. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:







“Sesungguhnya

perkara halal dan haram itu

adalah jelas dan di antaranya adalah

perkara musyhtabihat (samar-samar).”

(Al-Hadis)








Antara pekerjaan yang dimuliakan Allah SWT ialah memakmurkan bumi dengan menghidupkan sektor pertanian supaya dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Hakikatnya, bumi yang dimakmurkan akan sentiasa mendoakan pemiliknya dengan kerahmatan dan kesejahteraan.










Diriwayatkan daripada Jabir, sabda Baginda SAW yang bermaksud:







“Jika kamu

mempunyai tanah

hendaklah diusahakan

dan

jika kamu tidak berkesempatan,

maka hendaklah dipinjamkan

kepada saudara Muslim untuk diusahakan.”

(Hadis riwayat Muslim)










Kita hendaklah bersungguh dalam melakukan apa juga bidang yang diceburi. Baginda SAW adalah orang yang paling bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Ketekunan Baginda disaksikan sahabat dan diterjemahkan dalam urusan pekerjaan mereka.










Diriwayatkan oleh Aisyah, Rasulullah SAW beribadat di waktu malam sehingga bengkak tumitnya. Begitu juga dalam masa peperangan Khandak, Rasulullah SAW memunggah pasir dari kubu sehingga tertutup kulit perut Baginda, bahkan Baginda sanggup mengikat dengan batu untuk menahan lapar.











Islam terus mempertahankan konsep keadilan dalam menangani sebarang permasalahan dalam semua bidang pekerjaan dan melarang keras terhadap penindasan dilakukan terhadap orang lain dengan memerah keringat mereka tanpa balasan setimpal.











Islam juga mempunyai mekanisme jelas bagi mencapai tujuan itu yang diukir melalui kisah Nabi Musa yang bekerja di rumah Nabi Syu’ib. Nabi Syu’ib berkata:











“Aku tidak hendak memberati kamu.

Dan kamu InsyaAllah

akan mendapatiku termasuk orang yang baik.”

(Surah Al-Qasas, ayat 27)










Kewujudan kesatuan sekerja contohnya adalah satu tuntutan dalam agama Islam supaya masing-masing mendapat hak saksama dan tiada pihak yang teraniaya. Sesungguhnya peranan pihak berwajib diperlukan untuk memastikan semua pihak mendapat keadilan.










Pimpinan mestilah prihatin terhadap orang bawahan dan begitu juga antara majikan dan pekerja. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:










“Setiap individu

adalah pemimpin dan kamu

akan ditanya mengenai mereka

yang di bawah pimpinannya.”









Saidina Umar ketika memimpin Madinah pernah menyebut dalam kata-katanya yang masyhur:









“Jika

seekor kaldai sekalipun

tersesat di negeri Iraq sana,

nescaya aku akan ditanya

kenapa kamu tidak selamatkan dia

wahai Umar.”










Pekerja adalah jentera dalam merealisasikan impian majikan menambahkan produktiviti. Proses perbincangan mestilah sentiasa berjalan antara kedua-dua pihak.









Kewajaran menambahkan pendapatan mereka adalah satu keperluan, khususnya apabila berlaku peningkatan taraf hidup dan kenaikan barang keperluan semasa mestilah diperhatikan pihak berwajib.










Ibnul Qayyim dalam dalam mengupas persoalan ini menyebut, diharuskan bagi pihak berwajib untuk campur tangan jika berlaku kenaikan harga barang bagi meringankan bebanan pengguna.








Anas meriwayatkan, telah berlaku kenaikan harga barang disebabkan manipulasi daripada pihak tertentu semasa itu, maka aduan sampai kepada Baginda SAW dan jawab Baginda SAW:









“Sesungguhnya

Allah SWT adalah pencipta

yang amat berkuasa,

yang menghidup dan mematikan,

yang menyulitkan dan memudahkan segala urusan.

Saya harap tiada di antara kamu

yang berusaha untuk menzalimi saudaranya

pada darah dan harta.”










Ingatlah, pekerja adalah saudara seagama yang berhak mendapat keadilan yang sewajarnya dari majikan masing-masing. Mewujudkan suasana yang adil adalah kemuncak kepada matlamat agama Islam mewujudkan keharmonian dalam masyarakat.









Janganlah kita menjadi orang paling kecewa pada hari kiamat melihat hasil yang kita usahakan. Firman Allah SWT:









“Orang yang paling kecewa (rugi)

pada hari kiamat kelak ialah

orang yang mencari harta

secara tidak halal lalu ia masuk

ke neraka bersama hartanya.”

(Hadis riwayat Bukhari)

















Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)











Jumaat, 18 Mei 2012

Wajah Terindah








Khutbah Jumaat:



Memulia, menyayangi ibu bapa


sepanjang masa




ISLAM mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim hingga kita dilahirkan begitu besar. Mereka bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita hingga dewasa.







Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak. Kepayahan dan pengorbanan ibu bapa mendidik dan membesar anak sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan, ketika mengandung, saat melahirkan dan dari kecil sehingga dewasa.







Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa kita, mungkin ada antara kita ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya dan mungkin ada yang masih lagi bersama. Cuba kita hayati wajah yang telah kedut ditelan usia, namun tetap tersimpul senyuman menggambarkan kasih sayang.










Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika kedua-duanya masih hidup, tetapi berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur.








Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak.









Apa yang kita miliki hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil daripada pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini.










Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.











Tidak dapat dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anaknya walaupun sesaat, kadang kala ibu tidak dapat menyuap makanan, melelapkan mata dan ada kala tergenang air mata kerana teringatkan anaknya.










Rebutlah kesempatan yang ada ketika hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya. Hari ini, ada dalam kalangan anak yang sibuk dengan jawatan, mengejar kuasa dan pangkat tiada masa menziarahi ibu bapa walaupun kepulangannya sentiasa dinantikan penuh kerinduan. Ingatlah menziarahi ibu bapa satu tuntutan kepada seorang anak.










Anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah, kita luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.










Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan perlu direnung kita semua sebagai anak, sudahkah menunaikan kewajipan terhadap ibu.









Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau pernah bertanya Rasulullah SAW amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.”









Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutannya.” (Hadis riwayat Ad Dailami)









Imam Bukhari meriwayatkan, Abdullah bin Amru bin al-‘As bertanya Rasulullah SAW mengenai dosa besar. Sabda Baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.”










Ambillah iktibar dalam cerita si tanggang, seorang anak yang melupai ibunya dan durhaka selepas mendapat kedudukan yang tinggi akibatnya si anak itu diberi balasan oleh Allah SWT di dunia ini.









Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup, tetapi berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Setiap hari amalan kita diangkat ke langit dan segala amalan itu dipertontonkan kepada roh ibu bapa kita.










Marilah bersama menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah dan wang ringgit bahkan seluruh jiwa dan raga. Jangan biarkan mereka kesepian dengan linangan air mata yang sayu lagi pilu.










Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa tertentu saja. Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi mereka.








Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)








Khamis, 17 Mei 2012

Niat utama bekerja untuk menagih hidayah Allah SWT








Menagih hidayah


sebagai matlamat bekerja


SIFAT ‘menagih hidayah’ perlu ada pada
setiap detik dan ketika untuk kita memartabatkan diri
sebagai umat Islam yang cemerlang.
Penekanan terhadap perkataan menagih kerana
ia menggambarkan tingginya keinginan, hasrat, pengharapan
serta perasaan rendah diri dalam mengharapkan sesuatu.








Perkataan ini biasa digunakan untuk
kasih sayang, bantuan, simpati dan dalam bentuk
yang negatif pula, sering digunakan untuk
menagih hutang atau dadah.
Contoh ini lebih mudah untuk
menggambarkan sifat orang yang menagih sesuatu.






Namun, aspek ‘ketagihan’ yang hendak ditanamkan
dalam hati adalah hidayah yang bermaksud
petunjuk atau panduan dari Allah SWT. Allah SWT boleh
memilih sesiapa yang ingin dikurniakan dengan hidayah.








Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Abu Jahal
hidup sezaman dengan Baginda SAW tetapi
Saidina Abu Bakar mendapat hidayah dan memeluk Islam
sementara Abu Jahal mati dalam kekafiran.
Begitu juga Abu Talib, bapa saudara Rasulullah
yang sanggup mengorbankan harta, pengaruh dan tenaga
untuk Baginda, namun tidak menerima ajaran dibawa.








Firman Allah SWT yang bermaksud:





“Allah memilih kepada-Nya

sesiapa yang dikehendakiNya,

dan memberi hidayah bagi sesiapa

yang kembali kepadaNya (dengan penuh tunduk dan taat).”

(Surah al-Syura, ayat 13)








Sebagai umat Islam kita sangat bergantung
kepada hidayah Allah SWT yang Maha Mengetahui
setiap jiwa insan dan Maha Berkuasa memberikan kebaikan.
Jiwa manusia pula sentiasa bergolak antara kehendak baik dan buruk.










Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud:





“Demi jiwa dan (Tuhan)

yang menyempurnakan kejadiannya,

lalu mengilhamkan kepadanya

kejahatan dan ketakwaannya.”

(Surah al-Shams, ayat 7-8)









Pintu hidayah Allah SWT ada di mana-mana,
tergantung kepada kesungguhan niat,
ikhtiar dan doa seperti firman Allah SWT yang bermaksud:








“Katakanlah (Wahai Muhammad):

Wahai sekalian manusia!

Telah datang kepada kamu kebenaran (al-Quran)

daripada Tuhan Kami.

Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk

(beriman kepada-Nya) maka faedah hidayah itu

terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa

yang (mengingkarinya) maka bahaya kesesatan itu

tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula

bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal

(iman atau keingkaran) kamu.”

(Surah Yunus, ayat 108)










Kerja juga perlu dilihat sebagai salah satu cara
untuk menagih hidayah. Jika sebelum ini
matlamat kerja adalah untuk mendapatkan
pulangan material seperti gaji, bonus,
pangkat serta taraf hidup yang baik,
selepas ini, letakkan niat utama bekerja
untuk menagih hidayah Allah SWT dan segala hasil
diperoleh daripada kerja itu menjadi sumber
kurniaan hidayah-Nya.













Hidayah tidak boleh diberi oleh majikan dan rakan,
ia milik Allah SWT. Apa yang disumbangkan
majikan dan rakan adalah pandangan, dorongan,
semangat dan tenaga, namun yang menggerakkan jiwa
adalah hidayah Allah SWT.










Firman Allah yang bermaksud:







“Sesungguhnya

kamu tidak akan dapat memberi petunjuk

kepada orang yang kamu kasihi tetapi

Allah memberi petunjuk kepada orang

yang dikehendakinya.”

(Surah al-Qasas, ayat 56)











Keistimewaannya luar biasa kerana hidayah-Nya
bukan saja boleh membuka pintu hati untuk beriman
tetapi hidayah mengorak langkah membuat pilihan,
tindakan dan keputusan yang diredai Allah SWT
seperti doa Rasulullah ketika berhijrah.










Matlamat berbentuk serampang dua mata ini
jika ditanamkan dalam hati setiap pekerja Muslim,
menjadikan nilai kerja suatu ibadah.
Lima implikasi utama diperoleh apabila
meletakkan hidayah sebagai matlamat kerja.










Pertama,
ia mampu menjadikan kita seorang yang
bermotivasi tinggi dengan kefahaman bahawa Allah SWT
menyukai hamba-Nya
yang berbuat kebaikan dan membenci keburukan,
Allah SWT mengasihi hambanya yang mempelopori
kebaikan dan membenci sekadar menadah meminta-minta.









Kedua,
menagih hidayah sebagai matlamat kerja juga
mampu menjadikan pekerja seorang berlapang dada,
tenang, berfikiran positif apabila berhadapan dugaan
dan kerenah di tempat kerja. Peringatan Allah SWT
kepada Rasulullah supaya tidak risau dan bersedih
dengan golongan yang mengingkari risalah dibawanya.












Ketiga,
menagih hidayah sebagai matlamat kerja juga
mampu menyuci dan menyuburkan hati dengan kegembiraan.
Walaupun apa yang diusahakan belum berhasil,
namun wajib diyakini yang akan diperoleh dari
Yang Maha Memberi ialah hidayah untuk
terus berusaha tanpa putus asa.










Keempat,
menagih hidayah mampu
menggerakkan momentum kerja
yang berkualiti kerana tiada pengharapan
kepada Allah SWT
tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.
Sheikh Ibnu ‘Atha’illah as-Sakandari menerangkan,
pengharapan yang sebenar adalah
yang disertai dengan amalan.












Kelima,
menagih hidayah mampu meneguhkan hati
dan meningkatkan daya tawakal setelah
berusaha dan berdoa.










Justeru,
sematkanlah dalam dada setiap kali bekerja
supaya kerja kita menjadi sumber mengundang hidayah
Allah SWT kerana ia adalah rahmat dan kurniaan Allah
yang menjadi aset bernilai kehidupan.











Doa Rasulullah bermaksud:






“Ya Allah,

doronglah daku untuk mengingati-Mu,

mensyukuri-Mu dan elok beribadah kepadaMu.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)











Penulis ialah

pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)














Rabu, 16 Mei 2012

Rasulullah tokoh pendidik berwawasan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjBPDgfo5IWCV9SZxOf-KVjIHYfi8ul3xJNGpNbOMONuXqf_ahWvVfzDs4hm5antWZ46uTIOyMiWDetlmOU-Qi6QXDl1aU2Zh2P-PMeZT7SQFg9Fx7fqvAAiPPMB7nUn4gHISbZiO5qyGs/s640/hari+guru.jpg




Rasulullah tokoh pendidik berwawasan






Baginda kreatif dalam menyampaikan ilmu, lahirkan generasi cendekiawan unggul

ISLAM menekankan kepentingan menuntut ilmu sebagai bekalan dan panduan hidup. Tanpa ilmu, manusia akan dibelenggu kejahilan lantas pembangunan tamadun manusia pasti akan menuju kegagalan.
Lantaran itulah konsep iqra menjadi nadi dan tunjang utama kejayaan peradaban insan seluruh dunia. Jika tidak, masakan ayat pertama diturunkan Allah kepada rasul-Nya berkaitan galakan membaca.
Tugas mendidik atau mengajar ilmu kepada orang lain juga adalah amalan mulia di sisi agama. Atas kepentingan itulah, sejarah memperlihatkan sepanjang dakwah Rasulullah 23 tahun di Makkah dan Madinah dipenuhi dengan penyebaran ilmu daripada Baginda kepada sahabatnya.
Islam meletakkan darjat sangat tinggi buat golongan pendidik, lantaran tugas mulia itu telah dipelopori lebih awal oleh Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dialah yang telah mengutuskan daripada kalangan ummiyyin seorang rasul (Nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya dan menyucikan mereka serta mengajar mereka kitab al-Quran dan hikmah (al-Sunnah). Sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Jumuah, ayat 2)

Sebagai tokoh pendidik berwawasan jauh, Baginda lebih memuliakan majlis ilmu kerana itulah falsafah diutuskan Baginda sebagai Rasul. Ini bertepatan sabda Baginda dalam hadis yang menyatakan bahawa orang alim (berilmu) itu adalah lebih afdal daripada orang yang kuat beribadat.

Baginda bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengutusku untuk menyusahkan manusia dan tidak juga untuk mencari kesilapan dan keaiban orang lain, tetapi sesungguhnya Allah mengutusku adalah sebagai guru untuk memudahkan urusan manusia.”
Nabi Muhammad SAW amat kreatif terutama dari sudut metodologi penyampaian, uslub pengajaran dan teknik persembahan. Melalui kaedah inilah akhirnya membuahkan kejayaan Baginda menukar situasi kemungkaran budaya jahiliah kepada keindahan nur Islam.

Walaupun Baginda sendiri adalah ummi, tetapi Allah SWT mengurniakan kepadanya ilmu pengetahuan melalui tarbiah secara langsung daripada-Nya. Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah telah mengajarmu apa yang engkau tidak ketahui dan inilah kurniaan yang amat besar yang Allah kurniakan kepada kamu.” (Surah al-Nisa’, ayat 113)

Baginda seterusnya menyebarkan ilmu dan mengajar manusia lain melalui penerangan yang menarik, pertuturan fasih dan lancar, idea bernas, perwatakan lemah lembut, sikap berlapang dada, penyayang, pengasih malah Baginda sendiri mudah mendekati dan didekati menyebabkan setiap apa disampaikan mudah diterima masyarakat.

Baginda sentiasa mempelbagaikan teknik penyampaian ilmu supaya ia berkesan bergantung kepada perbezaan tahap pemikiran dan kedudukan serta mentaliti pelajarnya. Ini supaya apa disampaikan dapat diterima baik pelajar.

Kepelbagaian kaedah penerangan supaya penuntutnya tidak jemu terhadap ilmu dipelajari. Hasilnya, terbentuklah generasi muslim yang mantap ilmunya sehingga ramai sahabat Baginda diiktiraf sebagai ulama, fuqaha dan cendikiawan Islam unggul sehingga mampu berijtihad memutuskan sesuatu hukum terhadap permasalahan berlaku.

Nama ulama besar seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Ali Bin Abi Thalib, Saidina Uthman bin Affan, Ibn Abbas, Saidatina Aisyah, Ibn. Umar, Abu Hurairah dan lain-lain adalah bekas penuntut yang menerima ilmu secara langsung daripada Rasulullah SAW.

Bekas pelajar inilah yang kemudiannya bertebaran ke seluruh pelosok dunia menyampaikan ilmu mereka terima daripada Rasulullah SAW sehingga lahir pula tokoh ilmuwan terkemuka dunia seperti imam empat mazhab Abu Hanifah, Maliki, Syafi’i dan Hanbali.

Sejarah pendidikan Islam juga mencatatkan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah tokoh yang telah memperkenalkan konsep pendidikan seumur hidup tanpa batasan had umur bermula seawal selepas kelahiran sehinggalah ke saat kematian.

Baginda turut menerapkan konsep menuntut ilmu tanpa membataskan jantina sama ada lelaki mahupun wanita. Sabdanya yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu adalah suatu kefarduan kepada setiap orang lelaki dan wanita.”

Pengiktirafan Nabi SAW sebagai guru dan pendidik bermula seawal proses penurunan wahyu dan pentaulihan itu datangnya dari Allah SWT supaya setiap apa yang diterima Baginda disampaikan kepada manusia seluruhnya.

Tugas mendidik atau mengajar ilmu kepada orang lain juga adalah amalan mulia di sisi agama. Atas kepentingan itulah, sejarah memperlihatkan sepanjang dakwah Rasulullah 23 tahun di Makkah dan Madinah dipenuhi dengan penyebaran ilmu daripada Baginda kepada sahabatnya.

Apabila seseorang mengajar ilmu kepada orang lain dan kemudian orang itu mengajar pula kepada orang lain, itulah yang amat bernilai dan dikira sebagai ilmu yang dimanfaatkan.

Maksud sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menunjukkan satu kebaikan kepada orang lain maka baginya pahala yang sama seperti yang diperoleh oleh orang yang membuat kebaikan itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Tahukah anda kehebatan dan ketokohan Pembuka Kota Constantinople adalah berkat kesungguhan dan kehebatan didikan seorang guru?

Syeikh al-Kurani dan Syeikh Bayram adalah antara tokoh guru yang banyak membentuk Sultan Muhammad menjadi pemimpin hebat dan unggul walaupun usianya masih muda tetapi berjaya menakluk kota itu ketika berusia 21 tahun.

Ketika berusia sembilan tahun, beliau mula dididik dengan disiplin yang ketat. Ayahnya, Sultan Murda memilih guru yang diberi kebebasan untuk mendidiknya dan rotan diguna sebagai cara mendisiplinkannya.

Hasilnya Sultan Muhammad menjadi insan hebat kerana di tangannyalah kota Constantinople berjaya dibuka oleh orang Islam.

Benarlah jasa guru sangat mulia, pemimpin hebat sesebuah negara, tokoh ekonomi terkenal, sejarawan negara yang berjasa tidak lain dan tidak bukan terbentuk melalui acuan didikan guru.




Penulis ialah

Penolong Pengarah

Bahagian Pengurusan Fatwa

Jabatan Kemajuan Islam

Malaysia



http://alwathaniyah.files.wordpress.com/2011/11/hari-guru.jpg