Ahad, 26 Februari 2012

Debat secara beradab, beretika elak dipengaruhi emosi






Debat secara beradab,

beretika elak dipengaruhi emosi




Oleh Amran Zakaria





ISU UNTUK berdebat dan cabar-mencabar semakin menjadi-jadi,
terutama dalam usaha meraih populariti kumpulan mahupun peribadi.
Cabaran untuk berdebat ini biasanya timbul apabila berdepan
dengan pertembungan idea dan pendekatan dalam menangani sesuatu perkara.
Dalam bahasa Arab disebut sebagai ikhtilaf.











Pada asasnya istilah ini merujuk kepada perbezaan pendapat
terhadap sesuatu perkara. Dalam erti kata lain
setiap orang mengambil yang berbeza sama ada
dalam perkataan mahupun pendapat. Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama.
Oleh itu, setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf,
sementara khilaf ialah pertentangan atau berlawanan.














Harus diakui manusia memang berbeza pandangan,
pendirian dan bebas membuat penafsiran terhadap sesuatu
yang dirasakan benar baginya tetapi ketika yang sama,
manusia diberi akal dan iman untuk mempertimbangkan ilmu secara beradab.










Firman Allah yang bermaksud:










“Serulah

ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad

dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat

pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka

dengan cara yang lebih baik.”


(Surah al-Nahl, ayat 125).













Apabila seseorang memahami dan mengerti bahawa
setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya akan dihisab dan dibalas
maka dia akan tahu untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya
dan mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.











Risalah al-Mustarsyidin menggariskan 10 adab
untuk berdebat iaitu tidak berada dalam keadaan marah,
tidak cuba mencari masalah, tidak membanggakan diri,
jangan menghukum, jangan ketawa, jangan menjadikan dakwaan sebagai dalil,
apabila anda mendatangkan dalil, tujuan daripadanya adalah
mencari kebenaran, apabila anda menggunakan akal,
gunakanlah ia sebagai untuk menerangkan sesuatu,
hendaklah anda menjadikan kebenaran berharga untuk umat Islam
dan usah mencari kemenangan sebagai tujuan utama (dalam berdebat)
dan yang akhir sekali janganlah anda berpaling kepada orang lain
sewaktu pihak kedua sedang bercakap dengan anda.













Ertinya,
penjagaan akhlak dan kesopanan amat dititikberatkan
seandainya berlaku perdebatan.










Saidina Ali Abi Talib pernah berkata:










“Petunjuk sebaik-baik pemimpin,

akhlak yang baik sebaik-baik teman,

akal sebaik-baik sahabat dan adab sebaik-baik peninggalan. "








(Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).













Sesungguhnya akhlak dan adab ini akan menjaga diri kita
daripada terjerumus ke dalam lembah kebinasaan dan kehancuran.
Lebih-lebih lagi jika kita sangat inginkan perbahasan ilmu
yang mempunyai khilaf padanya. Dengan mempelajari adab
maka tenanglah hati menghadapinya.














Debat kalau berlaku mestilah
secara beretika dan halus budi bahasanya.
Setiap patah kata dalam ungkapannya
dapat menjadi contoh mereka
yang mencintai kebenaran.
Tetapi sayang,
sebahagian daripada pendebat sekarang
menyimpang jauh daripada panduan kerana debat mereka
untuk mencari pengaruh dan kemenangan,
sedangkan debat yang dicadangkan ialah
untuk mencari jalan yang lurus.
Oleh itu,
berhujah untuk memburukkan lawan,
pelbagai kata kasar dan nista dihambur keluar
akan memburukkan keadaan.
Dibimbangi keburukan demi keburukan orang didedah
dan diaibkan melalui kata-kata.













Ramai yang suka bertikam lidah
apabila berlaku perselisihan pendapat.
Kadangkala timbul keadaan menyerang,
menentang dan saling mencela antara mereka.











Rasulullah SAW bersabda:











“Aku ialah

pemimpin di sebuah tempat di syurga

bagi orang yang meninggalkan perdebatan

walaupun dia benar.”







(Riwayat Abu Daud).














Cucunda Rasulullah SAW, Saidina Hussain berkata "












" Seseorang

yang menceritakan keburukan orang lain

di hadapanmu,

jadi

dia akan menceritakan keburukanmu (juga)

pada orang lain. "














Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:












“Barang siapa

mampu menjaga apa

yang ada antara dua janggut

dan

apa yang ada di antara dua kaki,

maka

aku jamin dia masuk syurga. "










(Hadis riwayat Sahl bin Sa'ad)













Apabila seseorang memahami dan mengerti
bahawa setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya
akan dihisab dan dibalas maka dia akan tahu
untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya
dan mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.












Termasuk dalam adab menjauhi perdebatan ialah
berwaspada seandainya sesuatu perbincangan
yang dimulakan dengan adab Islam akan berubah
menjadi satu perdebatan yang dibina atas dasar keangkuhan.














Oleh itu
hendaklah sentiasa prihatin kepada tanda-tanda
yang bakal mengubah satu perbincangan kepada perdebatan,
seperti sikap berlemah lembut mula berubah kepada perkataan yang kesat,
bahasa yang kasar, nada yang tinggi dan gerak badan yang mengancam,
manakala format perbincangan berubah
daripada ilmiah kepada emosi.











Cara penuturan seseorang
memudahkan kita mengenali watak ahli pendebat.
Bahasa yang terhambur keluar melalui lidah yang tidak bertulang
amat membahayakan kerana tajamnya melebihi sembilu.














Justeru,
jangan biarkan lidah itu lebih cepat daripada akal
dalam menuturkan kata-kata.
Apalagi
apabila akal gagal mengawal tutur katanya
menyebabkan apa yang terkeluar itu
menjadi zarah amarah dan nafsu semata-mata.












Rasulullah SAW
pernah mengumpamakan lidah itu
sebagai kunci segala perkara,
yakni perkara baik dan buruk.














Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud:
















“Mahukah engkau

aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini?

Aku (Muaz) menjawab:

Mahu wahai Rasulullah SAW.

Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata:

Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik.

Aku (Muaz) pun berkata pula:

Wahai Rasulullah SAW,

apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami?

Lalu Baginda SAW menjawab:

Moga-moga Allah memelihara engkau.

Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia

menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka,

melainkan tutur katanya sendiri.”











(Hadis riwayat al-Tirmizi).















Persoalan Agama




Persoalan Agama


oleh

Ustaz Zahazan



Soalan:





SAYA mempunyai anak yang masih kecil tetapi
kalau ustaz boleh terangkan bagaimana saya patut
mendidik anak untuk solat. Saya lihat anak saudara saya
yang sudah besar cukup liat untuk solat.
Puas emak dan bapa mereka paksa. Harap ustaz dapat bantu.









MARIAM,Hulu Kelang, Selangor.










" Wahai anakku,

tegakkanlah solat dan suruhlah manusia

untuk berbuat kebajikan dan cegahlah

daripada perbuatan mungkar serta bersabarlah kamu

dalam menghadapi setiap musibah yang menimpamu.

Sesungguhnya

semua itu adalah masalah utama

(yang perlu diambil berat). "




- Surah Lukman, Ayat 17








Jawapan:








IBADAT solat hendaklah dimulai,
ditanam dan dibiasakan oleh ibu bapa
ke dalam jiwa anak-anak.
Maksudnya ibu bapa hendaklah memulakannya
dengan mengajak anaknya untuk melakukan solat berjemaah
bersama atau dibawa ke masjid. Kemudian hendaklah
berterusan memberi nasihat dan galakkan secara lisan kepada anaknya.
Kaedah ini boleh memberi kesan sekiranya disertai dengan
contoh ikutan atau uswah hasanah daripada ibu bapa,
terutama pada ibadat solat dan puasa.











Ibu dan bapa yang bertakwa dan tekun melakukan ibadah
akan mempengaruhi kehidupan anak sehari-hari.
Ketetapan untuk mendidik anak agar melakukan ibadah khusus ini
disebut dalam ayat 17 surah Lukman yang bermaksud:









“Wahai anakku,

tegakkanlah solat dan suruhlah manusia

untuk berbuat kebajikan dan cegahlah

daripada perbuatan mungkar serta bersabarlah kamu

dalam menghadapi setiap musibah yang menimpamu.

Sesungguhnya semua itu adalah

masalah utama (yang perlu diambil berat).”










Dalam tempoh permulaan
hendaklah mengajak dan menasihati anak
untuk melakukan ibadah dalam bentuk yang lembut.
Jika anak itu enggan atau malas melakukan solat, maka
ajakan dan nasihat hendaklah bersifat keras dan jika perlu
hendaklah dengan pukulan ringan sebagai usaha untuk menakutkannya.











Metod ini digariskan Nabi Muhammad SAW
dalam hadis riwayat Daud yang berbunyi:











“Perintahkan

anak-anakmu untuk mengerjakan solat

ketika umurnya meningkat tujuh tahun

dan pukullah dia apabila enggan mengerjakannya

pada waktu usianya meningkat 10 tahun.
"










Apabila menyebut mengenai ibadat khusus,
sudah pasti ia meliputi masalah taharah (bersuci),
solat, zakat, puasa dan haji. Membiasakan anak
untuk melakukan taharah (bersuci) sebagai syarat
melakukan solat adalah perkara yang sangat baik.
Hikmahnya agar membiasakan anak untuk selalu bersih dan sihat.
Membiasakan anak untuk melakukan solat lima waktu iaitu
solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak bererti
menanam kesedaran pada mereka untuk berdisiplin terhadap
waktu sehingga mereka tidak mudah mensia-siakan waktu.
Anak yang sudah terbiasa dengan solat, pasti akan segera
menunaikan solatnya apabila tiba waktu solat walaupun
kemudiannya akan disambung dengan bermain.










Dalam tempoh ini hingga anak berumur 12 tahun,
pertumbuhan dan perkembangan fizikal dan pemikirannya
semakin matang. Namun pada masa remaja iaitu
masa peralihan antara masa kanak-kanak dan masa dewasa,
mereka akan mengalami pertumbuhan yang cepat segala bidang.
Mereka bukanlah lagi kanak-kanak, baik bentuk badan, sikap,
cara berfikir dan bertindaknya. Tetapi mereka juga bukanlah
orang dewasa yang sudah matang.










Masa ini dinamakan zaman remaja iaitu
bermula kira-kira umur 13 tahun
sehinggalah berakhir kira-kira umur 21 tahun.
Dalam tempoh sembilan tahun ini
anak-anak itu sebenarnya tidak ubah
sebagai jambatan penghubung antara masa tenang
yang selalu bergantung kepada pertolongan dan perlindungan ibu bapa
dengan masa berdikari, bertanggungjawab dan berfikiran matang.











Justeru dalam tempoh berkenaan
perlu mendekati mereka, mengambil peduli hal mereka
dan peka terhadap perubahan yang berlaku ke atas mereka.
Jangan mengambil remeh persoalan iman yang patut ditanam
dalam jiwa mereka agar mereka mudah melaksanakan ketaatan
kepada Allah dan menjauhi larangan Allah SWT. Wallahualam.













Golongan jin yang beriman







Golongan jin yang beriman

Menurut al-Biqaie surah yang lalu

menerangkan tentang Nabi Nuh a.s. yang merupakan Rasul Allah

yang pertama diutus kepada para penentang dan penyembah berhala.






Mereka menolak ajakan dan seruan

sedangkan beliau salah seorang anggota masyarakat.

Surah yang lalu diakhiri dengan doa Nabi Nuh a.s. ke atas mereka.






Nabi Muhammad SAW rasul yang terakhir dan kaum baginda

mempunyai banyak persamaan dengan kaum Nabi Nuh.

Ini disebabkan keagungan al-Quran dan ayat ini mengingatkan

hal tersebut sambil mengisyaratkan kecaman kepada

masyarakat Arab yang tidak menyambut ajakan beliau

dan nabi yang menyampaikannya dari suku bangsa

bahkan yang terdekat dengan mereka.






Sheikh Muhammad al-Hindi dalam kitabnya

pada majlis yang ketujuh berkata:

"Aku telah mengumpulkan ajaran yang dibawa

oleh agama Islam dengan ajaran yang dibawa

oleh penemuan moden, seperti ucapan mereka.

Sesungguhnya setiap ilmu, kebaikan dan keburukan

yang berlaku dalam hati itu ditimbulkan oleh

roh yang mulia dan roh yang hina.

Dalam hadis diungkapkan yang bermaksud di dalam hati itu

ada dua kemahuan (kehendak).

Kemahuan (kehendak) dari malaikat

dan kemahuan (kehendak) dari syaitan.






Firman Allah SWT:






" Katakanlah (hai Muhammad):

Telah diwahyukan kepadamu bahawasanya:

Telah mendengarkan sekumpulan jin (akan al-Quran),

lalu mereka berkata:

Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Quran

yang menakjubkan. "






Ibnu Kathir berkata:





"Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW

memberitahu kepada umatnya, bahawa jin

mendengar al-Quran, lalu mereka beriman,

membenarkannya serta tunduk kepada Allah SWT. "






Menurut Al-Maraghi, Allah SWT

mengeluarkan perintah kepada rasul-Nya agar

memberitahu kepada para sahabatnya tentang kisah-kisah jin

yang diwahyukan kepadanya kerana ia mempunyai banyak

faedah dan manfaat kepada manusia, antaranya:






* Sebagai makluman bahawa Nabi SAW itu diutus

kepada bangsa manusia juga kepada bangsa jin.







* Sebagai makluman bahawa jin itu mendengar

pembicaraan dan memahami bahasa kita.






* Sebagai makluman bahawa jin itu dibebankan

dengan tanggungjawab (mukalaf) sama seperti manusia.






* Sebagai makluman bahawa jin yang beriman

telah berdakwah kepada jin lain dari kabilahnya

agar mengaku beriman.






* Supaya kaum Quraisy mengetahui bahawa jin itu

asalnya bersikap derhaka ketika mendengar al-Quran

dan apabila mengetahui kemukjizatannya

jin itu beriman kepadanya.






Secara zahirnya, ayat ini menunjukkan betapa nabi

mengetahui para jin yang mendengar wahyu yang diturunkan kepadanya,

tetapi bukan melalui kesaksian mata.







Dalam Ensiklopedia Abad XX karya Muhammad Farid Wajdi

dinyatakanmakhluk yang bersifat hawa (udara) atau api,

berakal dapat dibentuk dan mempunyai kemampuan

melaksanakan pekerjaan yang berat.







Sayyid Sabiq seorang ulama Mesir mendefinisi jin

sebagai roh berakal, berkehendak, mukalaf

(dibebani tugas keagamaan oleh Allah seperti manusia)

tetapi tidak berbentuk materi, kasar dan mereka

mempunyai kemampuan untuk tampil dalam pelbagai bentuk.






Firman Allah SWT:







" (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar,

lalu kami beriman kepadanya.

Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seseorangpun

dengan Tuhan kami. "







Menurut Al-Mawardi, ayat itu ada dua pendapat:





* Segala perkara yang mendapat petunjuk.






* Ke arah makrifatullah.





Ibnu Kathir berkata: "Iaitu jalan yang lurus."





Hamka berkata:







"Inilah kesan pertama yang tinggal dalam diri mereka

setelah mendengar al-Quran dibaca Nabi.

Mula-mula mereka takjub, merasa hairan tercengang

mendengar ayat itu dibaca".






Ini kerana isi kandungannya tidak ada jalan membantah

dan menolak jika hatinya benar-benar bersih.






Firman Allah SWT:








" Dan

bahawasanya Maha Tinggi

kebesaran Tuhan kami,

dia tidak beristeri dan tidak (pula) beranak. "






Sebenarnya perkataan jaddu dalam ayat ini ada sepuluh tafsiran:





* Urusan tuhan kami seperti pendapat al-Suddi.





* Perbuatan tuhan kami seeperti pendapat Ibn Abbas.





* Peringatan tuhan kami seperti pendapat Mujahid.





* Kekayaan tuhan kami seperti pendapat Ikrimah.





* Ujian tuhan kami seperti pendapat al-Hasan.





* Kerajaan tuhan kami seperti pendapat Abu Ubaidah.





* Kemuliaan dan keagungan tuhan kami seperti pendapat Qatadah.





* Kenikmatan tuhan kami atas makhluk-Nya seperti pendapat al-Dahhak.





* Ketinggian tuhan kami seperti pendapat Sa'id bin Jubair.





* Mereka yang prihatin dengan datuk, iaitu bapa kepada ayah.

Ini pendapat daripada ucapan jin kerana kejahilan.





Syed Qutub berkata:









"Kata-kata al-jad bererti bahagian,

habuan, kedudukan dan martabat iaitu kebesaran

dan kekuasaan semuanya merupakan makna-makna

yang terpancar dari kata-kata itu dan sesuai dengan tempatnya."





Maksud umum dari makna tersebut adalah

mengungkapkan perasaan hati bahawa Allah SWT

Yang Maha Tinggi dan Maha Agung yang suci

dari mempunyai isteri dan anak-anak

sama ada lelaki atau perempuan.


















Sumber


Jumaat, 24 Februari 2012

Kehebatan ilmu, keberanian si buta





Kehebatan ilmu,


keberanian si buta






SIAPA tidak kenal dengan seorang sahabat yang sangat berani walaupun tidak boleh melihat? Beliau digelar Ibnu Ummi Maktum atau nama sebenarnya Abdullah bin Qais bin Zaidah bin Al-Asham.






Beliau anak daripada seorang ibu bernama ‘Atikah yang biasa dipanggil Ummi Maktum. Abdullah ibnu Ummi Maktum termasuk salah seorang yang mula memeluk Islam.






Beliau juga antara tujuh orang yang berani menampakkan ke Islamannya di Makkah.






Beliau merasakan ajaran Islam menjadikan hatinya bersih, walaupun matanya tidak dapat melihat.






Itu adalah nikmat besar yang dikurniakan Allah kepadanya. Abdullah ibnu Ummi Maktum memiliki ilmu dan adab istimewa yang dianugerahkan Allah kepadanya, menggantikan kebutaan matanya sebagai cahaya dalam pandangan dan pancaran hati.






Beliau memang tidak dapat melihat, tetapi dapat melihat menggunakan mata hatinya. Hatinya dapat mengetahui apa yang tersembunyi.






Beliau berhijrah ke Madinah pada pasca perang Badar dan menjadi muazzin kedua Rasulullah s.a.w selepas Bilal bin Rabah.






Rasulullah menunjuk Abdullah ibnu Ummi Maktum sebagai penggantinya untuk mengimamkan solat umat Islam di Madinah ketika Rasulullah pergi ke medan perang.






Ibnu Ummi Maktum seorang sahabat Rasulullah yang mendapat teguran daripada Allah s.w.t. Satu hari beliau mendatangi Rasulullah untuk mempelajari al-Quran.






Ketika itu, Rasulullah sedang berbicara dengan tiga orang Quraisy, mengajak mereka memeluk Islam. Lalu Rasulullah berpaling muka terhadap Ibnu Ummi Maktum.





Kemudian turunlah firman Allah yang bermaksud:







“Dia (Muhammad)


bermuka masam dan berpaling.


Kerana telah datang seorang buta kepadanya.


Tahukah kamu


barangkali dia ingin membersihkan dirinya


(daripada dosa). Atau dia (ingin)


mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu


memberi manfaat kepadanya?


Adapun orang


yang merasa dirinya serba cukup.


Maka kamu melayaninya.


Padahal tidak ada (celaan) atasmu


kalau dia tidak membersihkan diri (beriman).


Dan adapun


orang yang datang kepadamu dengan bersegera


(untuk mendapatkan pengajaran).


Sedang ia takut kepada (Allah).


Maka kamu mengabaikannya.”




(Surah Al-a’la ayat 1-10).









Walaupun buta, Ibnu Ummi Maktum memiliki naluri yang sangat peka untuk mengetahui waktu. Setiap menjelang fajar, dengan perasaan jiwa yang segar dia keluar dari rumahnya, dengan bergantung pada tongkatnya atau lengan salah seorang Muslimin untuk mengumandangkan azan di masjid.







Beliau berganti-ganti azan dengan Bilal bin Rabah. Apabila Bilal mengambil giliran menjadi tukang azan, maka Abdullah ibnu Ummi Maktum yang iqamah.









Pada waktu fajar Bilal mengumandangkan azan untuk mengejutkan kaum Muslimin di sepertiga malamnya.








Sedangkan Abdullah ibnu Ummi Maktum mengumandangkan azan pada waktu Subuh.








Oleh kerana itu, Rasulullah menetapkan azan Abdullah ibnu Ummi Maktum sebagai sandaran habisnya waktu sahur.








Rasulullah bersabda yang bermaksud:






“Makan dan minumlah kalian


hingga Ibnu Ummi Maktum


mengumandangkan azan...”








Abdullah ibnu Ummi Maktum adalah orang yang sangat mulia kerana dua wahyu yang diturunkan Allah berkaitan dengan beliau.







Yang pertama adalah teguran terhadap Rasulullah yang ada dalam surat ‘Abasa dan yang kedua mengenai ketentuan berperang bagi orang yang mampu dan berhalangan dalam berperang.








Beliau memiliki hasrat yang besar untuk ikut berperang di jalan Allah walaupun matanya buta. Imam bukhari mengatakan dalam tafsir Ibnu Katsir juz5 ketika turun firman Allah surat An-Nisaa’ ayat 95 yang bermaksud:







“Tidaklah sama


antara orang yang beriman yang duduk


(tidak ikut berperang)...”.








Rasulullah memanggil Zaid bin Tsabit untuk menulisnya. Kemudian datanglah Ibnu Ummi Maktum yang mengadukan mengenai keadaan dirinya yang tidak dapat melihat.








Kemudian turun firman Allah yang bermaksud:







“Kecuali yang mempunyai uzur...”








Walaupun ayat itu sudah diturunkan, beliau masih tetap memiliki hasrat yang tinggi untuk syahid di jalan Allah.








Akhirnya Allah mendengar doa beliau untuk berjihad dan menjadi orang buta pertama mengikuti perang dalam sejarah Islam iaitu perang Al-Qadisiyah.








Ketika itu beliau membawa panji berwarna hitam sambil mengenakan perisai dan maju ke medan perang.








Abdullah ibnu Ummi Maktum adalah orang yang taat beribadah.








Buktinya, beliau tetap mentaati perintah Allah dan Rasulullah untuk solat berjemaah di masjid walaupun beliau tidak boleh melihat.









Berbeza dengan Muslim hari ini, walaupun diberi penglihatan yang sempurna oleh Allah namun mereka tidak pernah solat berjemaah di masjid.









Bukan saja tidak solat berjemaah di masjid, malah ada yang meninggalkan solat fardu. Kisah Ibnu Ummi Maktum memberi banyak pelajaran berharga kepada kita.










Beliau selalu bersyukur kepada Allah walaupun tidak diberi penglihatan. Berbeza dengan kita yang kadang-kadang mengeluh mata terlalu sepet atau terlalu besar.











Padahal kita masih diberi kesempatan daripada Allah untuk melihat dan menikmati keindahan alam menghijau.










Beliau juga tetap ingin ikut berperang walaupun matanya buta.








Semoga kita dapat meneladani sikap beliau yang tawaduk dan ketaatannya dalam beribadah. Paling penting adalah meneladani sikap beliau yang selalu bersyukur walaupun memiliki kekurangan.








Kenapa pula kita sering memperhatikan kekurangan dalam diri kita? Kekurangan yang sedikit lebih diperhatikan daripada kelebihan yang melimpah ruah.









Allah menciptakan segala sesuatu dengan sempurna dan sesuai dengan diri kita.








Hanya saja kita lebih sering ber-suuzhon (buruk sangka) kepada Allah daripada ber-husnuzhon (berbaik sangka).








Orang yang ditakdirkan Allah s.w.t tidak boleh melihat bukanlah orang yang paling menderita di dunia ini kerana boleh jadi Allah menyelamatkannya mereka dari melakukan maksiat mata apabila diberi penglihatan.



















Sumber


Beri label negatif mempersenda boleh cetus permusuhan







Beri label negatif mempersenda

boleh cetus permusuhan







KEWUJUDAN segelintir manusia bersifat mazmumah seperti cepat berhasad, kuat berdengki, menimbulkan khianat, menyembunyikan kenyataan sebenar, suka melihat individu dicela, dipulau, diperkatakan peribadinya dan dinafikan hak seterusnya tersisih adalah sukar dibendung.






Kehadiran golongan ini sukar dielakkan di dalam komuniti perjawatan, masyarakat, persekitaran tempat kerja dan penempatan manusia. Menangani golongan ini terlalu sukar kerana sifat sedemikian hanya dapat diatasi dengan memiliki kesedaran beragama dan rasa tanggungjawab sebagai mukmin sejati yang mengetahui natijah timbul akibat sesuatu tindakan, perbuatan dan amalan negatif dilakukan seperti maksud hadis Rasulullah SAW.










Daripada Abu Hurairah ra bahawa sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud:








“Janganlah kamu dengki-mendengki,

janganlah tipu-menipu, janganlah benci-membenci,

janganlah berpaling muka, dan janganlah berjual beli di atas jualan orang lain.

Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.

Orang Islam dengan orang Islam adalah bersaudara.

Mereka tidak boleh menzalimi, tidak boleh membiarkan dalam kehinaan,

tidak boleh berbohong dan menghina sesama Islam.

Takwa itu ada di sini.

Kata Nabi Muhammad SAW

menepuk sebanyak tiga kali ke dadanya.

Memadai seseorang itu dianggap jahat apabila dia

menghina saudaranya.

Setiap orang Islam ke atas orang Islam lain

haram darah, harta dan kehormatan."



(Riwayat Muslim)













" Janganlah kamu dengki-mendengki,

janganlah tipu-menipu, janganlah benci-membenci,

janganlah berpaling muka, dan janganlah berjual beli

di atas jualan orang lain. Dan jadilah kamu

hamba Allah yang bersaudara. "




- Riwayat Muslim








Dalam menjalani kehidupan seharian di rumah, pejabat, masjid, kampus dan taman perumahan biasanya wujud pengasingan aktiviti disebabkan beberapa alasan seperti perbezaan fahaman parti, minat, kecenderungan serta tingkat kedudukan dan pangkat seseorang. Jelas, perpecahan umat Islam kerana pergeseran politik, menimbulkan keretakan, perselisihan dan prasangka sejak dulu lagi sudah cukup menjadi barah terhadap perkembangan kemasyarakatan di negara kita.







Selain itu, ada manusia memiliki kedudukan, atau lebih berkuasa dalam masyarakat sering mengeluarkan kenyataan, pendapat dan tanggapan label yang boleh memecahbelahkan perpaduan tanpa memikirkan kesannya. Paling keji, apabila ada sesetengah pihak sanggup mencipta istilah dan memberi label lebih menjurus kepada maksud negatif yang boleh melahirkan pelbagai fahaman, persepsi dan tafsiran bersifat liar dan tidak tepat kepada seseorang yang ditujukan.







Individu yang diberikan label tertentu, atau ungkapan buruk sudah pasti akan menerima hukuman selamanya dan istilah itu akan merantai kehidupannya. Sikap gemar melabel dengan ungkapan tidak baik ini sudah cukup berkesan dalam memecahbelahkan keharmonian masyarakat dan memberikan tekanan kuat kepada golongan yang ditujukan. Justeru, orang berkedudukan atau berpengaruh perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan, pendapat dan tafsiran tertentu kerana apa diperkatakan olehnya akan menjadi pegangan yang diikuti orang ramai.







Larangan amalan, perbuatan, dan perkataan yang mengandungi unsur penghinaan, celaan dan bahan cemuhan dijelaskan dalam ayat al-Quran.











Firman Allah SWT bermaksud:








“Wahai orang yang beriman,

janganlah sekumpulan orang lelaki

merendahkan kumpulan yang lain,

boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka.

Dan jangan pula sekumpulan perempuan

merendahkan kumpulan lainnya,

boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik.

Dan janganlah

suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil

dengan gelaran yang mengandung ejekan.

Seburuk-buruk panggilan adalah

(panggilan) yang buruk

sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat,

maka mereka itulah orang yang zalim.”


(Surah al-Hujurat, ayat 11).






Dalam persekitaran tempat kerja juga wujud budaya melabel bertujuan menghalang saingan dalam mengharapkan imbuhan, jawatan, anugerah dan pembahagian tugas. Dalam hal ini, jika seseorang pekerja diberikan label tertentu oleh pihak berpengaruh, individu itu biasanya akan tersisih atau dipinggirkan pekerja lain, malah tidak mendapat perhatian dari pihak pengurusan.










Justeru, pembinaan falsafah kemuliaan diri boleh dibina dengan sentiasa memahami maksud ayat al-Quran yang boleh menjadikan seseorang berfungsi dengan baik walau di mana dia berada, bekerja dan bergaul.














Firman Allah SWT bermaksud:










“Dan

sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya

dengan sesuatu apa juga.

Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa,

dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin,

dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh,

dan rakan sejawatan, dan orang musafir yang terlantar,

dan juga hamba yang kamu miliki.

Sesungguhnya

Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri”.




(Surah an-Nisa, ayat 36)