Sabtu, 30 Julai 2011

Kelebihan Ramadhan













KELEBIHAN RAMADHAN



Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.




1. Abu Hurairah menyatakan :


Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :


Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.


-Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-




2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :


Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.



- Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-




3. Abu Hurairah telah berkata :


Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud :


Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.


- Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-




4. Daripada Abu Hurairah telah berkata:


Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :


Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan :


Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar).


Telah berkata Abu Hurairah :


Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya:


Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah?


Baginda S.A.W bersabda :


Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam)


.-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-




5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata:


Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :


Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata :


Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.


-Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-




PENERANGAN HADIS



1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.



2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.



3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.



4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.



5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.



6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.



7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.



8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.



9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.



10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.



11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.




Biografi



1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.



2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani.



3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.




P/S : Salam Ramadhan buat semua umat Islam seluruh dunia.



Semoga sentiasa mendapat rahmat dan berkat dari Nya.









Ahad, 10 Julai 2011

Qarin Adalah Jin

50


Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai “kembar” manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.



Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.



Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat.



Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.



Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas’ud r.a. maksudnya:


“Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin,

dan juga Qarin daripada bangsa malaikat.

Mereka bertanya:

“Engkau juga ya Rasulullah.”

Sabdanya:

“Ya aku juga ada, tetapi Allah

telah membantu aku sehingga Qarin itu

dapat kuislamkan dan hanya menyuruh aku

dalam hal kebajikan sahaja.”

(Riwayat Ahmad dan Muslim)



Aisyah r.ha. menceritakan bahawa pada suatu malam

Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata:



“Aku merasa cemburu.”

Tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya:

“Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?”

Aku berkata:

“Bagaimana aku tidak cemburu orang

yang seumpama engkau ya Rasulullah.”

Sabda Baginda:

“Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?”

Aku bertanya:

“Apakah aku ada syaitan?”

Sabda Baginda:

“Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.”

Aku bertanya lagi:

“Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?”

Jawab Baginda:

“Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku

telah masuk Islam.”

(Riwayat Muslim)



Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a.,

sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:



“Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s.

dengan dua perkara, iaitu

Pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku

sehingga dia Islam.

Kedua, para isteriku membantu akan daku

tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir

dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.”

(Riwayat Baihaqi)




Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan:


Suatu ketika syaitan yang mendampingi oran beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”




Qarin akan berpisah dengan “kembar”nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang.



Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.



Wallahualam…






Khamis, 7 Julai 2011

Rumusan tentang syafaat




Rumusan tentang syafaat

SEORANG Muslim hakiki tidak akan berpegang bahawa orang yang diminta tolong atau yang dipohon itu berkuasa melakukan sesuatu, atau meninggalkannya, tanpa keterlibatan Allah, secara langsung atau tidak.



Dengan iktikad adanya keterlibatan Allah, adakah dia masih lagi dekat kepada mensyirikkan Allah? Kita berlindung dengan Allah daripada menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik atau kafir, hanya kerana suatu kesalahan, atau kejahilan, atau mungkin kerana lupa, atau kerana melakukan ijtihad (yang salah).



Kita katakan: Kalaupun kebanyakan mereka salah dalam mengungkapkan kata-kata ketika memohon keampunan, syurga, kesembuhan dan pelepasan daripada Rasulullah SAW secara langsung; namun tauhid mereka tidak boleh turut dipersalahkan atau disesatkan.



Ini kerana maksud mereka yang sebenar hanya untuk mendapatkan pertolongan kepada Allah melalui perantaraan wasilah tersebut. Seolah-olah mereka mengatakan, "Wahai Rasulullah! Pohonkanlah kepada Allah agar Dia mengampuni dosaku dan merahmatiku. Aku bertawassul denganmu kepada-Nya dalam memenuhi keperluanku, melepaskan kesulitanku, dan merealisasikan segala keinginanku".



Para sahabat r.a sering memohon pertolongan kepada Rasulullah SAW, meminta syafaat dan mengadukan keadaan mereka kepada Baginda SAW. Tidak kira sama ada masalah kefakiran, kesakitan, bala bencana yang menimpa, hutang piutang ataupun kelemahan mereka sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini.



Hakikatnya, Rasulullah SAW tidak memenuhi permohonan mereka itu dengan dirinya sendiri, atau kekuatannya sendiri. Tetapi Baginda SAW dapat melakukannya hanya dengan izin, perintah dan kekuasaan Allah SWT.



Baginda SAW adalah seorang hamba yang diperintahkan, yang mempunyai kedudukan dan pangkat istimewa di sisi Tuhannya. Baginda SAW mempunyai kemuliaan, yang dimanfaatkan oleh manusia yang beriman dengannya, membenarkan risalahnya dan meyakini keistimewaan dan kemuliaannya untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah.



Kita meyakini, bahawa orang yang mempunyai keyakinan yang bercanggah dengan keyakinan ini adalah syirik tanpa disangkal lagi.



Oleh yang demikian, kita melihat Rasulullah SAW mengingatkan kita mengenainya berdasarkan keperluan situasi. Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa baginda SAW adalah penghulu anak-anak Adam.



Dalam keadaan yang lain pula, baginda SAW menegaskan bahawa tuan atau penghulu yang sebenar adalah Allah. Dalam satu pendirian yang lain, para sahabat memohon pertolongan dengan baginda SAW, dan baginda SAW pula memberitahu dan mengajar mereka supaya bertawassul dengannya.



Dalam satu keadaan, Baginda SAW menyatakan pula bahawa hanya Allah yang menjadi tempat memohon pertolongan, dan bukan dirinya. Ada kalanya, baginda SAW menjadi tempat sahabat-sahabat memohon dan meminta pertolongan, lalu nabi SAW memenuhi permohonan mereka.



Bahkan juga, baginda SAW pernah memberikan mereka pilihan; sama ada mahu bersabar menghadapi musibah yang menimpa mereka dengan mendapat jaminan syurga, atau pun bala yang menimpa mereka dihapuskan segera.



Dalam keadaan yang lain, baginda SAW bersabda kepada para sahabat r.a: "Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah. Jika kamu memohon pertolongan, maka pohonlah kepada Allah".



Pada ketika yang lain, baginda SAW bersabda:


"Barang siapa melepaskan kesulitan seorang Mukmin…."


Dalam satu keadaan, baginda SAW pernah menegaskan:


"Tidak ada yang dapat mendatangkan kebaikan kecuali Allah SWT".



Dengan ini, jelaslah bahawa akidah kita, alhamdulillah, adalah akidah yang paling bersih dan suci. Seorang hamba itu, walau betapa tinggi darjat dan martabatnya, hatta semulia-mulia makhluk Nabi Muhammad SAW sekalipun, hanya dapat memberi dan menahan, memberi kemudaratan dan manfaat, mengkabulkan permohonan dan menolong dengan pertolongan dan keizinan Allah SWT.



Justeru, apabila dipohon suatu pertolongan atau diminta bantuan daripada baginda SAW, nabi SAW hanya menghadap kepada Allah Yang Maha Agung dan Maha Luhur, lalu memohon dan meminta kepada-Nya, serta memohon diberi hak syafaat.



Kemudian permohonan baginda SAW itu dikabulkan dan baginda SAW pun memberikan syafaatnya.



Apa yang jelas, baginda SAW tidak pernah menyatakan kepada mereka: "Janganlah kamu meminta sesuatu kepadaku, janganlah kamu memohon kepadaku, jangan kamu mengadu keadaan kamu kepadaku, tetapi mengadaplah kepada Allah dan pohonlah kepada-Nya, kerana pintu-Nya selalu terbuka. Dia (Ilmu-Nya) berada hampir, dan Maha Mengkabulkan permohonan hamba-Nya. Dia tidak memerlukan kepada seseorang, bahkan tidak ada di antara-Nya dan di antara makhluk-Nya suatu hijab atau penjaga pintu".



Larangan mengkafir



Kesimpulannya, sesungguhnya tidak boleh mengkafirkan orang yang memohon pertolongan (al Mustaghith), kecuali jika dia beriktikad adanya selain Allah yang mempunyai kekuasaan untuk mencipta dan mengadakan.



Tiada maknanya di sini membezakan di antara makhluk yang masih hidup dengan yang telah mati, kerana jika seseorang itu meyakini bahawa ada selain Allah yang mampu mengadakan, bererti dia menjadi kafir. Ini ternyata berbeza dengan pendapat kaum muktazilah yang menyatakan bahawa manusia mencipta perbuatannya sendiri. Namun, jika dia meyakini adanya tasabbub (sebab) dan iktisab (usaha) maka dia tidak menjadi kafir.



Paling maksimum yang diyakini oleh seseorang mengenai orang yang telah mati ialah mereka itu melakukan tasabbub dan iktisab sebagaimana orang-orang yang masih hidup. Mereka bukanlah mencipta, juga bukan mengadakan seperti Allah, kerana tidak rasional jika manusia meyakini bahawa mereka yang telah mati itu mempunyai kemampuan melebihi orang yang masih hidup.



Mereka juga meyakini bahawa yang masih hidup itu hanya melakukan kasab dan sabab. Hal ini merupakan puncak keyakinan mukmin mengenai makhluk. Jika tidak, dia bukan lagi mukmin.



Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:


"Sesungguhnya, segala perbuatan kamu diperlihatkan kepada mayat-mayat dari keluarga terdekatmu. Jika perbuatan itu baik, mereka berasa gembira dengannya. Jika perbuatan itu sebaliknya, mereka berkata, "Ya Allah! Janganlah Engkau matikan mereka, sehingga Engkau kurniakan hidayah kepada mereka sebagaimana yang telah Engkau kurniakan kepada kita".

(Riwayat Ahmad)



Diriwayatkan pula daripada Ibnu al Mubarak dengan sanadnya yang sampai kepada Abu Ayyub r.a, beliau mengatakan:


"Segala perbuatan orang yang hidup itu diperlihatkan kepada yang telah mati. Jika mereka melihatnya baik, mereka merasa senang dan bergembira. Jika mereka melihatnya buruk, mereka berkata, Ya Allah! Kembalikanlah dia kepada amal soleh".

(Lihat Al-Ruh, Ibnu al-Qayyim, ms. 7).



Alhamdulillah, dengan ini sampailah kita ke penghujung perbahasan ringkas kita tentang tajuk syafaat atau memohon pertolongan kepada makhluk sebagai perantaraan kepada Allah SWT.



Sudah tentu akhbar dan majalah bukanlah medan untuk perbahasan lengkap dan khusus isu-isu agama. Dengan izin dan taufik-Nya, kita akan memulakan pula siri perbahasan tentang hakikat nabi SAW dan kenabian baginda SAW agar kita mampu menunaikan hak baginda SAW ke atas kita dengan sesempurna mungkin.






Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Isnin, 4 Julai 2011

Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Sya‘ban




Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Sya‘ban


Keistimewaan bulan ini bahawa amalan seluruh manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Maka antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya‘ban adalah:



1. Memperbanyak puasa sunat.



Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya‘ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.



2. Bertaubat dan beristiqhfar


Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika. Tegasnya hukum taubat itu adalah wajib dari segi syara‘. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah yang dikatakan taubat nasuha.

Taubat nasuha tidak akan tercapai tanpa mendatangkan terlebih dahulu syarat-syarat yang ditentukan. Umpamanya jika dosa itu antara hamba dengan Tuhan:


1. Hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu.


2. Hendaklah dia benar-benar menyesali dan merasa dukacita atas perbuatan maksiatnya itu.


3. Hendaklah dia berjanji dan berazam untuk tidak akan kembali mengulangi melakukannya.


Manakala jika dosa itu bersangkut paut dengan hak orang lain, maka selain syarat-syarat sebagaimana yang disebutkan di atas, ditambah lagi satu syarat iaitu hendaklah membersihkan dirinya daripada hak orang itu atau orang yang melakukan dosa itu memohon maaf kepada orang berkenaan.



Selain daripada itu, peranan taubat itu sendiri tidak terhenti setakat membersihkan diri daripada segala dosa dan maksiat. Lebih daripada itu ia juga merupakan suatu cara untuk kita sentiasa berlindung diri kepada Allah subhanahu wa Ta‘ala memohon keberkatan ketika kita memulakan dan membuat sesuatu pekerjaan yang berfaedah dan mengharapkan kurnia, taufiq serta diselamatkan daripada ditimpa musibah, kesusahan, kesulitan dan sebagainya.



Adapun istighfar itu pula ialah pernyataan memohon ampun kepada Allah daripada semua dosa. Lafaz istighfar itu di antaranya ialah bererti: “Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung”.



3. Memperbanyak zikir dan berdoa



Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.



Terdapat banyak ayat al-Qur'an dan hadis yang memerintahkan agar manusia mengambil berat tentang zikir. Banyak faedah yang diperolehi hasil daripada berzikir. Antaranya ialah:



i. Menenangkan hati:



Ini bersesuaian dengan janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.



ii. Kawalan Diri dan Perlindungan Malaikat:



Seseorang itu merasa terkawal kerana Allah sentiasa menyertainya di mana sahaja dia berada. Akibatnya paling minima dia takut hendak berbuat maksiat dan bersedia pula untuk melakukan ketaatan.



Bahkan dia juga mendapat kawalan sepenuhnya daripada malaikat. Bagi orang yang sekadar duduk di majlis zikir sekalipun tidak bersama berzikir akan mendapat juga rahmat Allah dan kawalan malaikat.



iii. Terpelihara Daripada Godaan dan Pujukan Syaitan.



iv. Meningkatkan Rasa Kecintaan Kepada Allah:



Untuk meningkatkan kecintaan kepada Allah, mestilah memahami dan menghayati bacaan tasbih, doa dan istighfar yang diucapkan itu.



Antara keistemewaan amalan zikir itu pula ialah:



i. Zikir boleh dilaksanakan bila-bila masa walaupun sedang melakukan pekerjaan tanpa terikat dengan waktu. Ia juga boleh dilaksanakan dalam keadaan duduk, tidur, berdiri dan baring.



ii. Boleh dilaksanakan walaupun dalam keadaan berhadas sama ada hadas kecil mahu pun hadas besar. Walau bagaimanapun makruh berzikir secara lisan ketika berada di dalam tandas.



Begitu juga dengan perkara doa. Doa boleh dilakukan tanpa mengira tempat dan masa. Doa ialah memohon sesuatu hajat atau perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan cara merendahkan diri dan tawadhu‘ kepadaNya.



Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Sya‘ban ini sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, bersembahyang sunat terutama di waktu malam, banyak bersedekah dan sebagainya. Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di bulan Sya‘ban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat di bulan Sya‘ban berbanding bulan-bulan yang lain?

Baginda bersabda:





Maksudnya:


“Bulan itu (Sya‘ban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa”.



(Hadis riwayat an-Nasaie)


Sabtu, 2 Julai 2011

Erti Syaaban.


اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان


"Allahuma Bariklana fi rajab

wa syaaban wa ballighna Ramadan"


Maksudnya:


"Ya Allah Ya Tuhan kami,

anugerahkanlah keberkatan untuk kami

pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami

Ya Allah hingga Ramadan

(yakni panjangkan umur kami

Ya Allah sehingga kami dapat

bertemu dengan Ramadan."




Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.


Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya:


“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan

dengan bulan Syaaban?”

Para sahabat menjawab,

“Allah dan RasulNya lebih mengetahui”

Sabda Rasulullah SAW,

“Kerana dalam bulan itu berkembanglah

kebaikan yang banyak sekali.”



Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.


Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.





Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:


  • Memperbanyakkan puasa sunat . Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
  • Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

  • Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

(Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).


http://rantauperempuan.files.wordpress.com/2010/07/sungai-bulan.jpg